PENGUNJUNG SETIA

10 April 2012

JANGAN BERI TEKANAN PADA ANAK


WARTAWAN SINAR HARIAN

LEDANG – Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengingatkan ibu bapa supaya tidak terlalu memberikan tekanan kepada anak-anak dengan menetapkan syarat kepada mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Menurutnya, tindakan sedemikian akan memberi kesan emosi kepada anak-anak sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran, malahan ada sebilangannya yang gagal.

“Ibu bapa wajar membantu mereka dengan memberikan sokongan, bimbingan dan perhatian dalam membentuk keyakinan untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Setiap ibu bapa pasti menyimpan harapan tinggi mahu lihat anak mereka berjaya tetapi mereka juga harus mempunyai rasa tanggungjawab dan komited membantu serta mendorong mereka memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pembelajaran,” katanya ketika berucap
merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-39 Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK), di sini.

Jelas beliau, untuk merealisasikan impian tersebut, maka tanggungjawab itu tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah semata-mata.

“Walaupun kita mahu lihat anak berjaya dalam pelajaran tetapi perlu mengelakkan daripada menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah semata-mata dan ibu bapa perlu bekerjasama dengan pihak sekolah untuk membina kecemerlangan anak-anak bersama.

“Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk menasihat dan memberikan kemudahan belajar seperti menghantar anak ke kelas tambahan selain pembelajaran yang diperoleh di sekolah,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan; Ketua Penolong Pegawai Daerah Ledang, Mustaffa Kamal Datuk Shamsuddin; Yang Dipertua PIBG, Padil Md Amin dan Guru Besar, Nik Fauziah Nik Yusoh.

Tambah Abdul Ghani, peluang melanjutkan pelajaran semakin luas dan mereka perlu merebut peluang yang diberikan.

“Sebagai contoh, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memperuntukkan kira-kira RM3 juta setiap tahun bagi membolehkan kira-kira 70,000 pelajar terpilih mengikuti Projek Hikmah – Tiusyen Kampung secara percuma.

“Ia bertujuan membantu pelajar kurang berkemampuan mengikuti kelas tambahan bagi meningkatkan penguasaan dalam pelajaran untuk mencapai kecemerlangan yang diharapkan,” katanya.

Katanya, keberkesanan program itu sudah terbukti apabila ramai pelajar yang mengikuti program tersebut berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Untuk sampingannya, anak-anak digalakkan menyertai program kokurikulum bagi membina jati diri yang kukuh untuk menghadapi cabaran masa depan yang hebat," katanya.

Dalam majlis itu, Abdul Ghani turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 kepada tiga murid yang memperolehi 5A dan lima murid 4A termasuk wang tunai sumbangan PIBG sekolah berkenaan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 10 APRIL 2012

PELAJAR MAUT AKIBAT KERACUNAN

MUAR 9 April - Seorang kanak-kanak tujuh tahun maut dipercayai akibat keracunan makanan selepas memakan nasi lemak dibeli di sebuah pasar malam di Tangkak dekat sini pada Isnin lalu.

Fakhira Batrisya Zainal Abidin, murid tahun satu dari Taman Wawasan Tangkak, dikatakan memakan nasi lemak yang dibeli bapanya, Zainal Abidin Alami, 35, daripada seorang peniaga di sebuah pasar malam dekat Taman Tangkak Jaya pada 31 Mac lalu.

Berikutan itu, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik serta ahli keluarganya mengalami cirit-birit sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia pada pagi 2 April lalu.

Bapa saudara mangsa, Mohammed Fadzir Moktar, 27, berkata, bapa mangsa merupakan pensyarah di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang membeli nasi lemak berkenaan dan membawanya pulang untuk dimakan bersama keluarganya.

"Selepas itu, mereka bertiga mengalami masalah cirit birit dan pada pagi Isnin lalu ketika mahu mengejutkan Fakhira Batrisya dari tidur, abang ipar saya mendapati anaknya sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohammed Fadzir berkata, abang ipar dan kakaknya kini masih mendapat rawatan di Hospital Putra Batu Pahat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Haron Idris mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kematian mangsa namun punca sebenar kematian kanak-kanak itu belum dapat dipastikan.

"Siasatan awal mendapati, 25 individu mengalami keracunan makanan dipercayai akibat memakan nasi lemak dan murtabak yang dibeli di sebuah pasar malam di Tangkak.

"Bagaimanapun, kesemua mereka sudah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tangkak dan tidak berdepan masalah kesihatan serius," katanya.

Haron berkata, mangsa meninggal dunia sebelum sempat dihantar ke hospital dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr. Robiah Kosai berkata, peniaga terbabit kini digantung lesen perniagaan untuk sementara waktu bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Robiah berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya terbukti peniaga berkenaan bersalah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 10 APRIL 2012

PUPIL DIES AFTER FOOD POISONING FROM NASI LEMAK

TANGKAK: About 25 people came down with food poisoning after eating nasi lemak and murtabak bought from a night market here.

Most were given out-patient treatment at Tangkak Hospital but a Year One pupil allegedly died.

It is learnt that Fakhira Barisya Zainal Abidin, seven, her father and mother suffered serious food poisoning after eating the nasi lemak.

According to her uncle Mohammed Fadzir Moktar, 27, the girl’s father, Zainal Abidin Alami, 35, and mother are being warded at Putra Hospital in Batu Pahat.

He said Zainal Abidin, a lecturer at the Mara College here, had bought the nasi lemak from a stall on March 31 and started purging soon after.

“When he went to wake Fakhira Barisya up on the morning of April 2, she was already dead,” Mohammed Fadzir said yesterday.

State Women, Family, Health and Commu­nity Development Committee chairman Dr Robia Kosai said the Health Department had temporarily suspended the trader’s licence.

She said a detailed investigation would be carried out to determine the cause of the family’s illness.

Ledang police chief Supt Haron Idris said police had yet to determine the cause of death.

SOURCE: THE STAR, APRIL 10, 2012

KETUA KAMPUNG SUDAH MOHON LEBAR JALAN TIGA KAMPUNG


? SAYA mewakili penduduk Kampung Paya Kepong, Parit Timin dan Parit Dahlan, dekat Ledang, Johor memohon tindakan segera daripada pihak berkuasa melaksanakan projek kemudahan untuk kesenangan penduduk kampung bagi membesarkan bahu jalan sekitar kampung kami.

Jalan utama bermula dari Masjid Jamek Paya Kepong, Parit Timin sehingga ke Telok Rimba dekat Sungai Mati, Muar agak sempit dan tidak memuaskan walaupun digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat setiap hari.

Malah pernah berlaku kemalangan di jalan berkenaan hingga mengakibatkan maut kerana ia sempit dan tidak memuaskan dan saya berharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan tindakan segera.

LAHIR SEBELUM MERDEKA,

Ledang

MERUJUK kepada masalah yang dikemukakan, jalan sempit yang menghubungkan tiga kampung iaitu Paya Kepong, Parit Sialang dan Telok Rimba sudah dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab ketika mesyuarat peringkat mukim pada tahun lalu.

Antara cadangan dikemukakan termasuk melebarkan seluas satu meter lagi jalan berkenaan kerana ia agak sempit iaitu hanya 3.5 meter ketika ini yang menyebabkan kenderaan berdepan kesukaran terutama ketika berselisih antara satu sama lain.

Perkara berkenaan sudah dimajukan kepada Pejabat Daerah Ledang untuk tindakan lanjut, manakala kerja-kerja pembersihan parit di sebelah jalan itu sentiasa dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.

Saya juga meminta tuan punya kebun yang berada di tepi jalan terbabit supaya dapat membersihkan laluan berhampiran bagi keselesaan orang ramai yang melaluinya.

ZULKIFLI SHAKOR,
Ketua Kampung Parit Sialang.

SUMBER: BERITA HARIAN, 10 APRIL 2012

MATI MAKAN NASI LEMAK PASAR MALAM

LEDANG: Tindakan seorang bapa membelikan makanan kegemaran anak sulungnya di sebuah pasar malam dekat Tangkak di sini, mengundang tragedi apabila anak sulungnya itu mati akibat keracunan makanan selepas tiga hari menikmati makanan berkenaan.

Pensyarah di Kolej MARA Tangkak, Zainal Abidin Ali, 35, tidak menyangka nasi lemak yang dibelinya sebagai hidangan makan malam untuk keluarganya meragut nyawa anak sulungnya, Fakhira Batrisyia, 7, selain dirinya serta isteri, Farhana Mokhtar, 32, terpaksa dimasukkan wad sejak lapan hari lalu akibat keracunan makanan kritikal.

Pasangan itu yang kini masih menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di sini, trauma mengenangkan kematian anak sulung mereka.

Zainal berkata, beliau sekeluarga singgah di pasar malam dekat Taman Tangkak Jaya pada 31 Mac lalu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Wawasan Tangkak, selepas selesai membeli-belah bersama keluarga di Muar.

"Oleh kerana anak sulung saya menggemari nasi lemak, saya membeli empat bungkus nasi lemak selain murtabak dan soto sebagai hidangan makan malam kami. Namun, hanya saya, isteri dan anak sulung yang memakan nasi lemak.

"Dua lagi anak kami berusia dua dan lima tahun hanya menjamah martabak, manakala soto yang dibeli terpaksa dibuang kerana sudah basi," katanya.

Farhana berkata, Fakhira mula mengadu sakit perut sebelum muntah dan cirit-birit pada tengah malam, sebelum beliau dan suami turut mengalami simptom sama.

"Kami mahu membawa Fakhira ke klinik keesokan harinya, namun membatalkan hasrat itu selepas arwah keletihan. Pada masa sama, saya dan suami juga keletihan akibat turut muntah dan cirit-birit. "Namun pada pagi 2 April lalu, arwah dan suami saya semakin lesu, lalu saya memutuskan untuk membawa Fakhira ke Hospital Tangkak, namun segalanya sudah terlambat, apabila anak saya disahkan meninggal tanpa sempat dibawa ke hospital," katanya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Haron Idris, berkata siasatan awal mendapati 25 individu mengalami keracunan makanan akibat memakan nasi lemak dan martabak dibeli di pasar malam berkenaan.

Katanya, kematian mangsa ketika ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tetapi siasatan lanjut sedang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri, Dr Robia Kosai, berkata siasatan Jabatan Kesihatan Johor mendapati peniaga yang menjual nasi lemak itu berasal dari Merlimau, Melaka.

SUMBER: BERITA HARIAN, 10 APRIL 2012

IBU BAPA PERLU BANTU KEJAYAAN

LEDANG: Ibu bapa bertanggungjawab membentuk keyakinan anak masing-masing dengan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran mereka bagi mengecapi kecemerlangan akademik dan membesar menjadi insan matang.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ibu bapa tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada pengurusan sekolah bagi membolehkan anak mereka mencapai prestasi akademik cemerlang.

Beliau berkata, tidak dinafikan kebelakangan ini terdapat ibu bapa terlalu ghairah melihat anak mereka mencapai keputusan peperiksaan membanggakan hingga memberi tekanan kepada cahaya mata masing-masing.

Menurutnya, perkara itu seharusnya dielakkan dan sekiranya anak mereka lemah dalam pelajaran, ibu bapa seharusnya mengkaji punca perkara itu berlaku dan mengambil langkah bagi mengatasinya.

"Ia termasuk menghantar anak ke kelas tambahan, selain memberi dorongan kepada mereka mengatasi kelemahan.

"Malah ibu bapa seharusnya bekerjasama dengan pengurusan sekolah bagi membantu murid atau pelajar yang lemah dalam akademik ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-39 Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK), baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan; Ketua Penolong Pegawai Daerah Ledang, Mustaffa Kamal Shamsuddin; Yang Dipertua PIBG, Padil Md Amin dan Guru Besar, Nik Fauziah Nik Yusoh.

SUMBER: HARIAN METRO, 10 APRIL 2012

07 April 2012

BAKAL PENGANTIN CARI BAPA

Wartawan Sinar Harian

Bakal pengantin cari bapa

MUAR – Seorang wanita merayu orang ramai supaya membantu mengesan bapa kandungnya, Jumaat Hassan, 63, un­tuk menjadi wali pernikahannya yang akan berlangsung pada 5 Mei ini.

Difahamkan Junaidah Jumaat, 30, bakal melangsungkan perkahwinan di Parit Raja, Gersik, Ledang.

Menurutnya, ibu dan bapanya berpisah kira-kira 29 tahun lalu, dan sejak itu dia tidak pernah melihat wajah bapanya.

“Sejak mereka berpisah, saya dibesarkan sepenuhnya oleh ibu, Darmi Ongso, 60, bersama tiga beradik yang lain.

“Setakat ini saya hanya dapat tahu bapa kandung masih hidup tetapi tidak dapat ditemui,” katanya kepada Sinar Harian.

Junaidah berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjejaki bapa termasuk berjumpa dengan saudara mara sebelah bapa tetapi menemui jalan buntu.

"Selepas berpisah dengan ibu, hubungan kami dengan bapa terputus.

“Cuma ibu ada memaklumkan bapa merupakan bekas kakitangan syarikat air di Singapura dan berkahwin lain sebelum berpisah dengan ibu.

“Ketika berusia setahun, saya tinggal di Singapura bersama ibu dan ayah, tetapi apabila ayah berkahwin lain” katanya.

Jelasnya, permasalahan itu juga mendorong ibunya membawa dia dan adik beradik lain pulang ke kampung di Parit Raja, Gersik.

Katanya, dia difahamkan bapanya masih berada di Singapura bersama isteri barunya tetapi tidak tahu lokasi tempat tinggal mereka.

Menurut Junaidah, jika bapanya tidak ditemui, Mahkamah Rendah Syariah Ledang akan membenarkan abang sulungnya, Juraini Jumaat, 35, menjadi wali bagi pernikahannya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 07 APRIL 2012

BAKAL PENGANTIN CARI BAPA TERPISAH SEJAK UMUR SETAHUN


MUAR: Seorang bakal pengantin dari Parit Raja, Gersik, di sini, meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan bapa kandungnya yang terpisah sejak dia berusia setahun untuk menjadi wali pada majlis pernikahannya pada 5 Mei ini.

Junaidah Jumaat, 30, berkata, dia tidak pernah mengenali bapanya kerana dibesarkan ibu, Darmi Ongso, 60, sejak kecil.

"Saya berusaha mengesan bapa, Jumaat Hassan, 63, di merata lokasi tetapi tidak berjaya. Jika bapa tidak ditemui, Mahkamah Rendah Syariah Ledang akan membenarkan abang sulung, Juraini yang berusia 35 tahun menjadi wali.

"Saya dimaklumkan saudara sebelah keluarga bapa bahawa dia masih hidup, namun mereka sendiri tidak tahu dia berada di mana," katanya, semalam.

Menurut Junaidah, sejak berpisah dengan ibu, Jumaat tidak pernah berhubung dengan mereka hingga kini.

Junaidah berkata, berdasarkan maklumat diberikan ibunya, Jumaat adalah bekas kakitangan syarikat air di Singapura dan berkahwin lain sebelum berpisah dengan Darmi.

"Ketika saya berusia setahun, keluarga kami menetap di Singapura, tetapi selepas bapa berkahwin baru, ibu kembali ke Parit Raja untuk membina hidup baru.

"Saya juga pernah berusaha mengesan bapa di Singapura, namun gagal kerana tidak mempunyai alamat tepat," katanya.

Menurut Junaidah, bapanya turut terputus hubungan dengan ahli keluarga lain.

"Saya mohon bapa tampil segera bagi mewalikan pernikahan saya. Walaupun sudah lama terpisah namun saya tetap mahu bersua dengan bapa," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 07 APRIL 2012

35 TAHUN NANTI DEWAN BESAR

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: Penantian warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sagil Kampong di sini untuk memiliki dewan sendiri sejak 35 tahun lalu berakhir selepas kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM300,000 yang diumumkan sendiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman ketika merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) 2012 sekolah itu, semalam.

Guru Besarnya, Debot A Majid berkata, pihaknya gembira dengan kelulusan itu kerana ia bakal memberi keselesaan kepada semua warga pengajar serta murid sekolah berkenaan.

Katanya, buat masa ini mereka terpaksa bersesak di dalam dewan kecil setiap kali sesuatu majlis berlangsung.

Menurutnya, sekolahnya memerlukan dewan lebih besar dan selesa kerana jumlah pelajar serta tenaga pengajar bertambah dan mencecah 450 orang.

"Sejak kebelakangan ini, sekolah memiliki rekod pencapaian memberangsangkan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

"Ini terbukti dengan pencapaian 11 murid mendapat 5A dan tujuh memperoleh 4A 1B dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan baru-baru ini.

"Dalam bidang kokurikulum pula, ada murid sekolah ini mewakili negeri ke peringkat kebangsaan selain dipilih menjadi tuan rumah Pertandingan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) tidak lama lagi.

"Saya mewakili pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas kelulusan peruntukkan itu dan berharap pembinaan dewan memberi keselesaan kepada warga sekolah ini bagi meneruskan program pembelajaran," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, ibu bapa hari ini perlu mempunyai ilmu tambahan dalam mendidik anak-anak.

Beliau berkata, cabaran dan masalah sosial yang melanda golongan muda hari ini jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Katanya, nakal remaja dulu tidak seperti remaja hari ini menyebabkan ibu bapa perlu lebih peka mengawasi anak masing-masing.

"Jika dulu, anak-anak hanya boleh terpengaruh dengan rakan sebaya atau persekitaran mereka saja, tetapi kini, dengan adanya Internet pengaruhnya lebih luas.

"Justeru, bagi menanganinya semua pihak perlu mencari kekuatan untuk berdepan masalah berkenaan.

"Kekuatan dari segi pegangan hidup dan agama dapat membantu masyarakat menghadapi segala cabaran mendatang," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 07 APRIL 2012

06 April 2012

BAKAL PENGANTIN CARI BAPA JADI WALI


JUNAIDAH Jumaat menunjukkan surat permohonan wali hakim dari Mahkamah Rendah Syariah Ledang, semalam untuk membolehkannya bernikah pada 5 Mei depan di Muar.


MUAR 5 April - Seorang bakal pengantin sedang mencari bapa kandungnya yang berpisah sejak dia berumur satu tahun untuk menjadi wali pernikahannya yang dijadualkan pada 5 Mei depan.

Junaidah Jumaat, 30, yang bakal melangsungkan perkahwinan di Parit Raja, Gersik dekat sini, tidak pernah melihat wajah ayahnya kerana dibesarkan ibu, Darmi Ongso, 60, sejak kecil.

"Saya sudah puas mencari bapa kandung, Jumaat Hassan, 63, tetapi tidak ditemui. Sejak berpisah dengan ibu dan saya empat beradik, kami terputus hubungan dengan bapa.

"Selain puas berusaha bertanya dengan saudara mara, saya juga berusaha mencarinya melalui laman sosial Facebook tetapi hampa," katanya semasa berkunjung ke pejabat Utusan Malaysia cawangan Muar di sini hari ini.

Dia yang bekerja kilang berkata, ibunya memaklumkan bahawa bapanya merupakan bekas kakitangan syarikat air di Singapura dan berkahwin lain sebelum mereka berpisah.

Mereka sekeluarga tinggal di Singapura dan ketika itu dia berumur setahun, namun apabila bapanya berkahwin baru, mereka semuanya pulang ke Parit Raja untuk membina hidup baru hingga kini.

Anak ketiga itu memberitahu, bapanya dikatakan masih berada di Singapura, tetapi tidak mengetahui di mana tempat tinggal bersama isteri barunya.

Junaidah memberitahu, jika bapanya tidak ditemui, pihak Mahkamah Rendah Syariah Ledang akan membenarkan abang sulungnya, Juraini Jumaat, 35, sebagai wali pernikahannya nanti.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 APRIL 2012

05 April 2012

JASA BANTU 10 WARGA EMAS TERLANTAR SAKIT

LEDANG: Prihatin dengan nasib warga emas yang terlantar sakit, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Daerah Ledang berkunjung ke 10 kediaman golongan berkenaan di beberapa kampung sekitar Kesang, kelmarin untuk menziarah serta menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian selain wang tunai.

Pegawainya, Mohd Fadli Saat berkata, pihaknya terpanggil menziarahi golongan berkenaan bagi mendapatkan gambaran sebenar sakit mereka serta bantuan yang boleh disalurkan.

Menurut Mohd Fadli, kunjungan berkenaan dibuat sempena program Jasa Prihatin yang turut disertai Pengarah Jasa Negeri Johor, Muhammad Abu Bakar.

"Kami mendapat maklumat 10 warga emas di kampung di sekitar Kesang uzur akibat sakit tua serta angin ahmar. Kami datang untuk menziarah bagi bertanyakan khabar serta menghulurkan sumbangan.

"Ia diharap dapat mengurangkan beban keluarga mereka dan pada masa sama, kami akan cuba bantu golongan itu dari semasa ke semasa," katanya.

Menurut Fadli, selain menziarahi warga emas yang uzur, program Jasa Prihatin turut membantu beberapa penduduk di sekitar daerah berkenaan seperti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, Tangkak dan Gambir.

"Kami menghulurkan bantuan membaiki atap rumah penduduk yang bocor dengan menyumbangkan bahan binaan seperti kayu dan zink," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 05 APRIL 2012

PROGRAM SEKITAR LEDANG PADA 7 APRIL 2012

PROGRAM 7 APRIL 2012

1. Ahli Parlimen Ledang, yang Berhormat IR Tuan Haji Hamim Bin Samuri akan merasmikan Karnival Seni Silat Daerah Ledang yang akan diadakan di Sek. Keb. Payamas Tangkak pada 07 April 2012 jam 8.00 malam.


Sebarang pertanyaan sila hubungi Ketua Kg Payamas di talian 013-6093862.



2. Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Gambir, Yang Berhormat Encik M. Asojan a/l/ Muniyandy akan menghadiri Majlis Sembang Santai Belia DUN Gambir 2012 anjuran Persatuan Belia Lagenda Ledang yang akan diadakan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir pada 07 April 2012 jam 9.00 malam.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Persatuan Belia Lagenda Ledang di talian 019-7989800.



SUMBER: E-PRESS JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

PROGRAM SEKITAR LEDANG PADA 6 APRIL 2012

PROGRAM 6 APRIL 2012

1. Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, akan merasmikan Program Jelajah “Janji Ditepati” Peringkat Daerah Ledang selain itu Menteri Besar turut menyampaian Bantuan Touch Point Bagi DUM Serom di majlis ini di Kediaman Puan Yome Binti Kejoi, Kg Parit Sialang,Mukim Kundang pada 06 April 2012 jam 8.30 pagi. Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat Daerah Ledang di talian 06-9787100.

2.
Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, akan merasmikan Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan, Wanita, Pemuda & Puteri Bahagian Ledang Bagi Tahun 2012 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak Ledang pada 06 April 2012 jam 2.30 petang. Sebarang pertanyaan sila hubungi UMNO Bahagian Ledang di talian 06-9783114.


SUMBER: E-PRESS JABATAN PENERANGAN MALAYSIA


03 April 2012

JASA BANTU IBU TUNGGAL BAIKI RUMAH


LEDANG: Seorang ibu tunggal yang hidup dalam kemiskinan terpaksa mendiami rumah usang di Kampung Bekoh, Tangkak di sini, bersama anak dan cucunya.

Lebih menyedihkan, setiap kali hujan, bahagian dapur rumah Gayah Tawil, 65, dibasahi air hujan dan terpaksa ditadah menggunakan besen.

Menurut Gayah, pendapatan anak lelakinya yang hanya bekerja kampung tidak mencukupi untuk mengganti zink dan akibat bimbang ia diterbangkan angin ia terpaksa ditindih dengan kayu.

"Saya pernah membuat permohonan bagi mendapatkan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun hampa.

"Saya tinggal bersama tiga anak dan tiga cucu di rumah ini, walaupun anak bekerja, pendapatan diperoleh tidak mencukupi untuk mengganti zink yang bocor," katanya yang ditemui pada program gotong-royong anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Daerah Ledang untuk membaik pulih kerosakan rumah berkenaan.

Gayah yang bersyukur dengan bantuan berkenaan berkata, keluarganya kini tidak perlu risau lagi apabila hujan.

"Terima kasih kerana membantu golongan berpendapatan rendah seperti kami," katanya.

Program Jasa Prihatin itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee dan Pegawai Jasa Daerah Ledang, Mohd Fadli Saat.

Mohd Fadli berkata, pihaknya simpati dengan keadaan rumah Gayah yang uzur dan menyalurkan bantuan berupa bahan binaan seperti zink dan kayu.

"Kerja menggantikan zink yang bocor itu dijalankan secara gotong-royong bersama penduduk Kampung Bekoh bagi meringankan beban keluarga berkenaan," katanya.

Sementara itu, Goh berkata, melalui program Jasa Prihatin, ia memberi peluang kepada pemimpin bertemu penduduk kampung sambil beramah mesra dan menyelami masalah dihadapi mereka.

SUMBER: HARIAN METRO, 03 APRIL 2012

ANGGOTA POLIS PATAH KAKI, KENDERAAN TERBABAS

Wartawan Sinar Harian

Anggota polis patah kaki, kenderaan terbabas

LEDANG – Seorang anggota polis nyaris maut apabila kereta peronda yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 19.5 Jalan Segamat-Muar dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.16 petang, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mangsa, Koperal Sidi Ahmad Dollah, 51, mengalami kecederaan dan patah kaki kanan.

Menurutnya, mangsa merupakan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, Terengganu memandu kenderaan tersebut bersendirian.

“Mangsa dalam perjalanan dari Terengganu ke Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri.

“Mungkin mangsa kepenatan menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan yang dipandunya itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 03 APRIL 2012