PENGUNJUNG SETIA

06 April 2012

BAKAL PENGANTIN CARI BAPA JADI WALI


JUNAIDAH Jumaat menunjukkan surat permohonan wali hakim dari Mahkamah Rendah Syariah Ledang, semalam untuk membolehkannya bernikah pada 5 Mei depan di Muar.


MUAR 5 April - Seorang bakal pengantin sedang mencari bapa kandungnya yang berpisah sejak dia berumur satu tahun untuk menjadi wali pernikahannya yang dijadualkan pada 5 Mei depan.

Junaidah Jumaat, 30, yang bakal melangsungkan perkahwinan di Parit Raja, Gersik dekat sini, tidak pernah melihat wajah ayahnya kerana dibesarkan ibu, Darmi Ongso, 60, sejak kecil.

"Saya sudah puas mencari bapa kandung, Jumaat Hassan, 63, tetapi tidak ditemui. Sejak berpisah dengan ibu dan saya empat beradik, kami terputus hubungan dengan bapa.

"Selain puas berusaha bertanya dengan saudara mara, saya juga berusaha mencarinya melalui laman sosial Facebook tetapi hampa," katanya semasa berkunjung ke pejabat Utusan Malaysia cawangan Muar di sini hari ini.

Dia yang bekerja kilang berkata, ibunya memaklumkan bahawa bapanya merupakan bekas kakitangan syarikat air di Singapura dan berkahwin lain sebelum mereka berpisah.

Mereka sekeluarga tinggal di Singapura dan ketika itu dia berumur setahun, namun apabila bapanya berkahwin baru, mereka semuanya pulang ke Parit Raja untuk membina hidup baru hingga kini.

Anak ketiga itu memberitahu, bapanya dikatakan masih berada di Singapura, tetapi tidak mengetahui di mana tempat tinggal bersama isteri barunya.

Junaidah memberitahu, jika bapanya tidak ditemui, pihak Mahkamah Rendah Syariah Ledang akan membenarkan abang sulungnya, Juraini Jumaat, 35, sebagai wali pernikahannya nanti.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 APRIL 2012

Tiada ulasan: