PENGUNJUNG SETIA

23 April 2012

KONTRAKTOR MELAYU PERLU TINGKATKAN MUTU KERJA

Tapak pembangunan terminal penyimpanan Petroleum di Pengerang oleh Dialog Group Berhad di atas kawasan seluas 202 hektar











Ditulis oleh Aivizanoorwani Shah Shahroni     

LEDANG: Kontraktor Melayu perlu meningkatkan kualiti kerja dan kepakaran dalam bidang pembinaan agar dapat bersama-sama terlibat dalam pembangunan yang sedang berlaku di negeri Johor termasuk di Pengerang yang akan muncul sebagai hab minyak dan gas.
Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman, berkata ia adalah cabaran kepada kontraktor Melayu untuk memainkan peranan dan memberi sumbangan kepada pembangunan negeri ini.

"Pada masa kini, terdapat pelbagai projek yang memerlukan kepakaran sedang berjalan di negeri Johor. Oleh itu, kontraktor Melayu haruslah meningkatkan tahap kepakaran dan seterusnya merebut peluang yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor (PKMMNJ) Daerah Ledang serta Perasmian Penubuhan dan Mesyuarat Agung Tahunan Pertama Koperasi Kontraktor dan Usahawan Melayu Ledang Berhad (KOPMEL), di sini, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Ledang, Ir Hamim Samuri dan Senator Haji Ahamat@Ahamad Yusop.

Katanya, pembangunan hab minyak dan gas itu memerlukan komitmen daripada kontraktor bagi menyiapkan kerja-kerja pembangunan berkenaan dalam masa yang singkat selain kepakaran dalam pembinaan loji minyak dan gas berkenaan.

"Konsortium kontraktor Melayu perlu merebut peluang ini dan bersama-sama dalam usaha merealisasikan pembangunan hab berkenaan di Pengerang.

"Selain projek pembinaan loji penapisan dan penyimpanan minyak yang bernilai RM60 bilion oleh Petronas, Kerajaan Negeri telah diberi tanggungjawab untuk membina kawasan perpindahan 2,000 keluarga di Pengerang yang terlibat dengan projek pembangunan itu," katanya.

Jelasnya, mengikut perancangan, penempatan semula itu perlu siap sebelum Mac 2013 dengan pembinaan rumah di Plot A dan B di atas tanah seluas 202.34 hektar.
SUMBER: KHABAR ORANG JOHOR, MEDKOM 23 APRIL 2012

Tiada ulasan: