PENGUNJUNG SETIA

07 April 2012

35 TAHUN NANTI DEWAN BESAR

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: Penantian warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sagil Kampong di sini untuk memiliki dewan sendiri sejak 35 tahun lalu berakhir selepas kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM300,000 yang diumumkan sendiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman ketika merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) 2012 sekolah itu, semalam.

Guru Besarnya, Debot A Majid berkata, pihaknya gembira dengan kelulusan itu kerana ia bakal memberi keselesaan kepada semua warga pengajar serta murid sekolah berkenaan.

Katanya, buat masa ini mereka terpaksa bersesak di dalam dewan kecil setiap kali sesuatu majlis berlangsung.

Menurutnya, sekolahnya memerlukan dewan lebih besar dan selesa kerana jumlah pelajar serta tenaga pengajar bertambah dan mencecah 450 orang.

"Sejak kebelakangan ini, sekolah memiliki rekod pencapaian memberangsangkan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

"Ini terbukti dengan pencapaian 11 murid mendapat 5A dan tujuh memperoleh 4A 1B dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan baru-baru ini.

"Dalam bidang kokurikulum pula, ada murid sekolah ini mewakili negeri ke peringkat kebangsaan selain dipilih menjadi tuan rumah Pertandingan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) tidak lama lagi.

"Saya mewakili pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas kelulusan peruntukkan itu dan berharap pembinaan dewan memberi keselesaan kepada warga sekolah ini bagi meneruskan program pembelajaran," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, ibu bapa hari ini perlu mempunyai ilmu tambahan dalam mendidik anak-anak.

Beliau berkata, cabaran dan masalah sosial yang melanda golongan muda hari ini jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Katanya, nakal remaja dulu tidak seperti remaja hari ini menyebabkan ibu bapa perlu lebih peka mengawasi anak masing-masing.

"Jika dulu, anak-anak hanya boleh terpengaruh dengan rakan sebaya atau persekitaran mereka saja, tetapi kini, dengan adanya Internet pengaruhnya lebih luas.

"Justeru, bagi menanganinya semua pihak perlu mencari kekuatan untuk berdepan masalah berkenaan.

"Kekuatan dari segi pegangan hidup dan agama dapat membantu masyarakat menghadapi segala cabaran mendatang," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 07 APRIL 2012

Tiada ulasan: