PENGUNJUNG SETIA

03 Februari 2011

BANJIR LUAR BIASA

LEDANG – Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyifatkan kejadian banjir pada tahun ini berbeza dan luar biasa berbanding dengan suasana pada tahun 2006.

Menurutnya, kenaikan air pada paras yang tinggi dikenal pasti menjadi faktor yang menyebabkan banjir kali ini lebih serius.

“Saya menyifatkan banjir pada tahun ini agak luar biasa berbanding tahun 2006 kerana berlaku dalam tempoh yang sangat pantas. Rata-rata mangsa mengatakan pengalaman banjir kali ini lebih teruk dan air naik dalam tempoh masa yang sangat singkat.

“Kenaikan paras air yang tinggi dalam tempoh masa yang singkat menyebabkan ramai keluarga terlibat dan terperangkap dalam banjir kali ini,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Penghulu Sungai Mati, Ledang, semalam.

Lebih 43,000 mangsa banjir di seluruh Johor ditempatkan di 232 pusat pemindahan banjir bagi menampung 10,300 keluarga.

Menurutnya, Segamat mencatatkan bilangan mangsa banjir tertinggi iaitu kira-kira 21,000 mangsa, diikuti Ledang dan Batu Pahat yang masing-masing mencatatkan kira-kira 5,000 mangsa.

“Statistik tersebut diperoleh berdasarkan maklumat yang diterima sehingga jam 8 pagi hari ini (semalam),” katanya.

Beliau berkata, keadaan banjir juga surut dengan pantas seperti di Johor Bahru walaupun beberapa kawasan masih lagi digenangi air.

“Beberapa kawasan yang masih banjir adalah Ledang kerana air turun daripada Sungai Tangkak, Sungai Cohong dan Sungai Kesang.

Manakala banjir di Muar seperti di Bukit Kepong, Lenga, Pagoh dan Panchor disebabkan limpahan air daripada Segamat dan Labis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Saya minta penduduk peka dengan keselamatan diri dan elakkan memandu di atas jalan raya yang telah dinaiki air,” katanya.

Difahamkan Abdul Ghani meluangkan masa melawat 30 pusat pemindahan banjir di daerah Ledang bersama-sama Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Johor (Juita), Datin Paduka Profesor Dr Jamilah Arifin, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M.Asojan, ADUN Tangkak, Goh Tee Tee dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abd Rahman.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 3 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: