PENGUNJUNG SETIA

08 Februari 2011

DIJEMPUT AJAL PADA HARI JADI

Oleh Hai Rozzaman Jalal
am@hmetro.com.my

REDA...Kamaronzaman mententeramkan Norezan selepas kehilangan anak tersayang.
REDA...Kamaronzaman mententeramkan Norezan selepas kehilangan anak tersayang.
TONG MAUT...Azry lemas di dalam tong berisi air ini.
TONG MAUT...Azry lemas di dalam tong berisi air ini.

LEDANG: “Sepatutnya semalam (kelmarin) kami menyambut ulang tahun kelahirannya yang genap setahun, namun Tuhan lebih menyayanginya dan dia pergi dulu meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Kamaronzaman Samah, 41, bapa kepada Mohamad Azry Shah, yang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tong berisi air di rumah mereka di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir di sini, semalam.

Mengimbas kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, Kamaronzaman yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, isterinya, Norezan Wok, 37, berada di ruang tamu manakala anak bongsunya itu dikatakan merangkak mengikut abangnya, Mohamad Faizul Shah, 9.

“Faizul keluar melalui pintu dapur yang terbuka untuk bermain dan tanpa disangka, Azry merangkak mengekorinya.

“Apabila mendapati Azry tiada di dalam rumah, isteri bergegas mencarinya sebelum ditemui lemas dalam tong berisi air berkenaan,” katanya.

Menurutnya, Norezan cuba menyelamatkannya namun anak bongsu daripada lima beradik itu gagal diselamatkan dan isterinya kemudian menghubunginya memaklumkan kejadian.

Dia yang berada di tempat kerja di Seri Melaka, Sengkang, dekat sini, bergegas pulang tetapi hanya mampu menatap jasad anak kesayangannya itu.

“Azry dikejarkan ke klinik berhampiran oleh adik saya tetapi dia gagal diselamatkan.

“Kami kini kehilangan penyeri keluarga, apa yang buat kami lebih terharu ialah Azry belum sempat memakai baju baru dibelikan Norezan sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya,” katanya yang reda dengan kejadian itu.

Bapa saudara Azry, Mohd Safie Samah, 37, berkata tong besar itu berisi air yang disimpan untuk kegunaan harian berikutan bekalan air paip terputus sejak beberapa hari lalu akibat banjir.

“Azry mungkin memanjat baldi yang terletak berhampiran tong itu lalu terjatuh ke dalamnya, dia mungkin hendak bermain dengan air dalam tong itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Tiada unsur jenayah dalam kejadian dan jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Mangsa kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kundur, pagi tadi (semalam),” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 08 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: