PENGUNJUNG SETIA

08 Februari 2011

PELAJAR MANGSA BANJIR GEMBIRA DAPAT BERSEKOLAH SEMULA

LEDANG 7 Feb. - Biarpun sebahagian kelengkapan sekolah rosak ekoran rumah dilanda banjir di sini, ia tidak mematahkan semangat para pelajar untuk memulakan kembali alam persekolahan mereka hari ini

Rata-rata mereka yang ditemui Utusan Malaysia nampak lebih bersemangat memulakan sesi persekolahan dan menemui rakan-rakan serta guru sekali gus berkongsi pengalaman menghadapi banjir lalu.

Bagi pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir, Nor Aishah Md. Nan, 15, dia tetap ke sekolah kerana tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran.

"Saya pula akan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, jadi saya memang perlu ke sekolah kerana tahun ini penting bagi saya.

"Lagipun sekolah tidak terjejas, malah kami juga diberi kelonggaran untuk memakai pakaian biasa," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini hari ini.

Perkara sama turut dinyatakan oleh pelajar tingkatan dua, Nurul Hidayani Sham, 14, yang tidak mahu menjadikan banjir sebagai alasan untuk tidak ke sekolah.

"Saya dapat berjumpa dengan kawan-kawan lain di sekolah dan berkongsi pengalaman menghadapi banjir di kampung masing-masing," katanya.

Dua sahabat, Mohd. Shahrul Fahmi, 9, dan Mohd. Amar Muzaffar Jasni, 11, masing-masing murid darjah tiga dan lima Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gambir memberitahu, mereka begitu teruja dapat kembali bersekolah.

"Kami gembira kerana dapat bersekolah semula, walaupun sesetengah barangan sekolah tidak lengkap," kata Mohd. Shahrul pula.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 8 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: