PENGUNJUNG SETIA

30 Ogos 2023

PERTANDINGAN RUMAH CERIA MERDEKA SEMARAKKAN SAMBUTAN AMBANG MERDEKA 2023 KAMPUNG PARIT KASSAN

Antara rumah yang menyertai pertandingan Rumah Ceria Merdeka 2023 bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir.

TANGKAK:
Bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-66, Jawatankuasa Sambutan Ambang Merdeka 2023 Peringkat Kampung Parit Kassan mengadakan pertandingan Rumah Ceria Merdeka 2023.

Pengerusi sambutan, Mohamad Farhan Mohd Janis berkata, pertandingan itu diadakan bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk kampung sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Katanya, pertandingan menghias rumah itu terbahagi kepada dua kategori iaitu Rumahku Ceria Merdeka untuk penilaian sebelah siang manakala Rumahku Warna-warni Merdeka pula dihakimi pada sebelah malam.

Mohamad Farhan Mohd Janis

"Sebanyak 18 penyertaan diterima daripada kalangan penduduk Kampung Parit Kassan yang begitu bersemangat membuat hiasan dengan memasang bendera Jalur Gemilang dan Johor ditambah pelbagai idea kreatif masing-masing selaras dengan tema tahun ini Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.

“Penganjuran pertandingan ini bukan bermatlamatkan hadiah semata-mata tetapi untuk menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kemerdekaan," katanya ketika ditemui di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, di sini.

Acara pertandingan masakan dan gubahan yang diadakan sempena program Ambang Merdeka 2023 Peringkat Kampung Parit Kassan

Mohamad Farhan berkata selain pertandingan Rumah Ceria Merdeka, pihaknya juga menganjurkan pelbagai aktiviti pertandingan untuk disertai masyarakat kampung pelbagai peringkat umur termasuk menjala, gubahan masakan, basikal berhias dan sukaneka.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Roslan Mohd Talib (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan yang dianjurkan.

Katanya, aktiviti pertandingan tersebut diadakan di Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan pada petang 30 Ogos sehinggalah menjelang detik 12 tengah malam 31 Ogos di mana penduduk kampung akan menyambutnya beramai-ramai.

Pelancaran aktiviti menjala dan sukaneka telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Roslan Mohd Talib dengan gimik menebar jala. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pelbagai kategori bagi acara yang dijalankan pada sebelah petang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, Sahrihan Jani (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang sempena Malam Ambang Merdeka 2023.

Pada sebelah malam pula diadakan pertandingan karaoke dan acara kerusi berirama. Kemeriahan sambutan detik 12 malam 31 Ogos turut disambut bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, YB Sahrihan Jani yang turut menyanyikan beberapa lagu patriotik sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang. -INFOLEDANG

Tiada ulasan: