PENGUNJUNG SETIA

12 Oktober 2009

KUMPULAN MARHABAN SEKOLAH MERIAHKAN AIDILFITRI

Salah satu kumpulan marhaban Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK), Bukit Gambir bergambar selepas selesai mengunjungi rumah penduduk.

Kumpulan Marhaban SK Parit Kasan sedang berselawat di rumah Sijas Pikan di Kampung Parit Kassan.

Sebahagian murid Sekolah Agama Parit Kassan (SAPK) sedang bermarhaban di rumah Zamri Ahmad dalam program marhaban Aidilfitri di Kampung Parit Kassan.

Teks dan Foto: ADI SABARIMAN

BUKIT GAMBIR: Beberapa buah sekolah rendah dan agama telah mengadakan program kunjungan marhaban ke rumah-rumah ibu bapa pelajar sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Badan Kebajikan Sekolah Agama (BKSA) itu merupakan aktiviti tradisi yang dilaksanakan saban tahun dengan kerjasama pihak sekolah bagi memeriahkan bulan Syawal.

Pada cuti hujung minggu yang lalu, beberapa sekolah telah mengadakan aktiviti tersebut di antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kasan, SK Simpang 5 Darat, Sekolah Agama (SA) Parit Kassan dan SA Simpang 5 Darat.

Setiausaha PIBG SKPK, Ismail Mohamed berkata, sekolahnya turut mengadakan program kunjungan marhaban ke rumah-rumah ibu bapa pelajar dan program ini dikelolakan oleh Panitia Pendidikan Islam.

Katanya, program tersebut bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara pihak sekolah dengan ibu bapa pelajar yang anak mereka belajar di sekolah ini.

"Sekolah kami membuat lapan kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada 20 orang murid serta diiringi guru-guru dan ahli jawatankuasa PIBG.

"Kumpulan tersebut berkunjung ke rumah-rumah pelajar yang tinggal di Kampung Parit Kassan, Parit Haji Idris, Parit Jarum Darat dan Parit Ghani," katanya.

Pengerusi BKSA Parit Kassan, Rozaini Abd Hamid berkata, sebanyak lima kumpulan marhaban telah dibentuk yang terdiri daripada murid-murid Darjah 4, 5 dan 6 dengan diiringi guru-guru dan ahli jawatankuasa BKSA.

Menurutnya, kumpulan marhaban itu berkunjung ke rumah-rumah pelajar di sekitar Kampung Parit Kassan dan Parit Haji Idris yang telah membuat persetujuan untuk dikunjungi.

Katanya, program ini dapat melatih pelajar bertemu masyarakat setempat membaca doa serta berucap memohon kemaafan daripada tuan rumah yang dikunjungi.

"Selain bermarhaban dan bermaaf-maafan sempena Aidilfitri, kami turut menyediakan tabung derma dan kutipan yang diperolehi akan digunakan untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan murid-murid sekolah," katanya.

Sementara itu, Setiausaha PIBG SKS5D, Tarmizi Md Nas pula memberitahu, sekolahnya mengadakan program marhaban secara bergabung dengan SA Simpang 5 Darat dan tradisi itu telah dijalankan sejak dahulu lagi.

"Dengan tujuh kumpulan marhaban terdiri daripada murid-murid, guru dan ahli jawatankuasa PIBG dan BKSA, kumpulan tersebut berkunjung ke rumah-rumah pelajar di sekitar Kampung Simpang 5 Darat, Parit Bunga Raya Hujung dan Parit Pulai.

"Seperti sekolah-sekolah lain, kami juga menyediakan tabung derma dan hasil derma yang diperolehi akan dibahagi sama rata di antara SKS5D dengan SAS5D memandangkan rumah yang dikunjungi serta murid-murid yang menyertainya adalah murid yang sama belajar di kedua-dua sekolah itu," katanya.~INFOLEDANG

11 Oktober 2009

KORBAN NAHAS

Oleh ZALIFAH MOHD YATIM

TANGKAK: Seorang pekerja memproses tauhu terkorban manakala abang dan dua rakannya cedera apabila kereta yang mereka dinaiki terbabas di Kilometer 33.5 Jalan Solok, di sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.45 pagi, Salzelan Bidin, 22, yang tersepit dalam kenderaan itu mati di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala.

Abangnya Salzeli, 24, serta dua lagi rakan termasuk pemandu, Jamaluddin Mokhtar, 22, dan penumpang, Shamsul Anuar, 23, yang patah tangan dan kaki dihantar oleh orang awam ke Hospital Tangkak untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superitendan Harun Idris, berkata mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Bukit Gambir ke Tangkak sebelum kereta mereka terbabas dan masuk ke laluan kanan sebelum terhumban ke dalam longkang.

“Dua penumpang belakang yang terselamat mendakwa mereka tertidur kerana keletihan selepas bekerja sepanjang malam memproses tauhu. Pemandu kereta itu juga dipercayai mengantuk, menyebabkan kenderaan terbabas,” katanya.

Abang sulung Salzelan dan Salzeli, Salleh, 26, berkata adik kedua dan ketiga daripada sembilan beradik itu keluar ke tempat kerja kira-kira 9.30 malam kelmarin.

Katanya, kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan balik ke rumah di Kampung Pangkalan Besar, di sini, selepas selesai menghantar tauhu kepada pelanggan di sekitar Bukit Gambir.

Menurutnya, sebelum pergi kerja, sikap Salzelan berlainan apabila lebih banyak mendiamkan diri berbanding kebiasaannya.

“Biasanya dia suka bersembang tetapi malam sebelum dia pergi kerja, tidak berbunyi suaranya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat Hospital Tangkak, di sini, semalam.

Menurutnya, jenazah Salzelan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Sialang Darat, pagi semalam.

Berikutan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sayuti Mohammad di talian 06-97512222 bagi membantu siasatan.

SUMBER: METRO AHAD, 11 OKTOBER 2009

TERKORBAN SELEPAS HANTAR TAUHU

Oleh Zalifah Mohd Yatim
bhnews@bharian.com.my

KERETA mangsa remuk selepas terbabas di Jalan Solok, Tangkak, awal pagi semalam.

Kereta dinaiki 4 rakan sekerja terbabas masuk longkang longkang

TANGKAK: Seorang pekerja memproses tauhu maut, manakala tiga rakan sekerja termasuk abangnya parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 33.5, Jalan Solok, semalam.

Dalam kemalangan jam 5.45 pagi itu, Salzelan Bidin, 22, yang dalam perjalanan pulang ke Kampung Pangkalan Besar, di sini maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk penumpang depan dengan kecederaan teruk di kepala.

Abang mangsa, Salzeli, 24, dan dua rakannya iaitu pemandu kereta Honda Civic, Jamaluddin Mokhtar, 22, dan Shamsul Anuar, 23, parah dan dirawat di Hospital Tangkak, di sini.

Mereka dihantar orang ramai ke hospital berkenaan, manakala mayat Salzelan dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superitendan Harun Idris, berkata nahas berlaku ketika kereta terbabit yang dalam perjalanan dari Bukit Gambir ke Tangkak terbabas memasuki laluan kanan dan terhumban ke longkang.

Katanya, pemandu mungkin keletihan dan mengantuk menyebabkannya gagal mengawal kenderaan.

"Polis meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sayuti Mohammad di 06-97512222 bagi membantu siasatan," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Salleh, 26, berkata Salzeli iaitu adik kedua dan mangsa, adik ketiga daripada sembilan beradik itu keluar ke tempat kerja jam 9.30 malam kelmarin.

Beliau berkata, mereka terbabit dalam kemalangan selepas menghantar tauhu kepada pelanggan di sekitar Bukit Gambir.

Katanya, kali terakhir bertemu pada malam sebelum itu Salzelan lebih banyak mendiamkan diri berbanding biasa.

"Jenazah adik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Sialang Darat," katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Tangkak, semalam.

SUMBER: BERITA MINGGU, 11 OKTOBER 2009

MAUT SELEPAS HANTAR TAUHU

LEDANG 10 Okt. - Seorang pekerja sebuah kilang membuat tauhu maut selepas kereta yang dinaikinya terbabas ke dalam longkang di Kilometer 33.5, Jalan Solok di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu, mangsa, Salzelan Bidin, 22, yang duduk di sebelah pemandu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mayatnya yang tersepit terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat.

Abang mangsa, Salzeli, 24, serta dua rakannya, Jamaluddin Mokhtar, 22, dan Shamsul Anuar, 23, yang menaiki kenderaan itu turut cedera parah.

Semua yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kemalangan berlaku semasa mangsa dan rakan-rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Pangkalan Besar, Tangkak di sini setelah menghantar tauhu kepada para pelanggan di sekitar Bukit Gambir.

"Siasatan awal mendapati, kereta tersebut terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum terhumban ke dalam longkang,'' katanya di sini hari ini.

Harun meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sayuti Mohammad di talian 06-97512222 bagi membantu siasatan.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 11 OKTOBER 2009

10 Oktober 2009

UMNO CAWANGAN PARIT KASSAN ANJUR PROGRAM MARHABAN

Kumpulan marhaban Umno Cawangan Parit Kassan bergambar di rumah Ketua Umno Cawangan, Muslim Jasmin.

TEKS & FOTO: KHAIRUN HANEFFA

BUKIT GAMBIR:
Kemeriahan menyambut Aidilfitri sama ada di kampung mahupun di bandar terserlah apabila menerima kunjungan sanak saudara dan rakan-rakan ke rumah lebih-lebih lagi di minggu pertama sambutan.

Di pertengahan bulan Syawal pula, kemeriahan itu masih terasa di mana mereka akan mengadakan rumah terbuka dengan menjemput rakan-rakan dan keluarga meraikan sambutan Aidilfitri bersama-sama terutama di sebelah malam disebabkan dengan kesibukan waktu bekerja pada sebelah siang.

Namun begitu ada juga yang menubuhkan kumpulan marhaban dengan mengunjungi rumah-rumah jiran tetangga sekiranya mereka tinggal di taman-taman perumahan ataupun rumah-rumah penduduk jika mereka tinggal di kampung.

Malah kumpulan marhaban tersebut bukan sahaja dianggotai oleh golongan dewasa tetapi turut disertai oleh remaja dan kanak-kanak.


Sehubungan dengan itu, Umno Cawangan Parit Kassan dalam bahagian Ledang telah mengadakan program marhaban ke rumah-rumah penduduk sempena sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.


Muslim Jasmin

Ketuanya, Muslim Jasmin, 70, berkata program marhaban yang dianjurkan itu merupakan aktiviti tahunan cawangannya dan tahun ini adalah tahun ketiga ia dilaksanakan yang dianggotai ahli-ahli jawatankuasanya.

Katanya, tujuan program itu diadakan adalah untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim dan ukhwah di antara pemimpin masyarakat di kampung dengan ahli jawatankuasa yang menyertai rombongan marhaban tersebut.

"Di samping itu, kita juga dapat bermaaf-maafan sambil bertanya khabar di antara ahli-ahli rombongan dengan tuan rumah yang dikunjungi.

"Kita mengadakan program ini pada waktu malam, bermula dari jam 9 hinggalah selesai dan setiap malam kita menetapkan lima atau enam buah rumah untuk dikunjungi," katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini sebanyak 30 buah rumah telah menerima kunjungan kumpulan marhabannya dan berjaya diselesaikan selama enam malam berturut-turut.

"Selain rumah ahli jawatankuasa cawangan, kami turut mengunjungi rumah Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pengerusi Masjid dan Surau serta Imam-imam di kampung ini," katanya.

Katanya lagi, selain mengadakan kunjungan marhaban, rombongan itu turut membuat kutipan derma untuk dimasukkan ke dalam tabung cawangan bagi membiayai aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan kelak.

Turut menyertai kumpulan marhaban itu, Timbalan Ketua Cawangan, A Rahman Sulaiman, Pengerusi JKKK Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar serta Timbalannya, Mohd Janis Abu Bakar dan mantan Ketua Kampung Parit Kassan, Salleh Sahari.

Muslim berkata, program yang diadakan ini bukan sahaja untuk berkunjung-kunjungan malah untuk menyatupadukan masyarakat di kampungnya kerana ia turut disertai golongan dewasa dan remaja.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah yang dikunjungi kerana turut menyediakan pelbagai juadah untuk dinikmati ahli rombongan marhaban.


Mohd Hamzah Basar

Sementara itu, Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar, 52, menyifatkan program seumpama itu amat baik di mana ia akan menjadi contoh kepada generasi akan datang untuk mengadakan kegiatan yang bermanfaat ini.

"Melalui program ini kita dapat mengumpul serta menyatukan golongan dewasa dan remaja melaksanakan program yang dirancang sehingga berjaya di samping dapat berkunjung ke rumah mereka yang lebih tua.

"Harapan kita agar program marhaban ini akan terus hidup kerana jika sesebuah kampung itu tiada kegiatan marhaban pada Aidilfitri, kemeriahannya tiada malah kampung itu dirasakan sepi," katanya.

Katanya lagi, sempena Aidilfitri ini juga kita dapat berkumpul dan bertemu dengan sanak saudara dan kunjungan marhaban merupakan platform terbaik untuk berjumpa dan bermaaf-maafan sesama mereka.~INFOLEDANG

09 Oktober 2009

KUMPULAN MARHABAN PELAJAR BERKUNJUNG DARI RUMAH KE RUMAH


Pelajar dan ahli BKSAPK mengadakan program marhaban di Parit Kassan, Bukit Gambir, Ledang baru-baru ini.

LEDANG 8 Okt. – Amalan marhaban memang menjadi pelengkap pada sambutan Syawal di negeri ini dan tradisi itu tetap diteruskan oleh Badan Kebajikan Sekolah Agama Parit Kassan (BKSAPK), Bukit Gambir yang berkunjung dari rumah ke rumah baru-baru ini.

Biarpun sudah tiga minggu Syawal dirai, badan kebajikan berkenaan mengambil kesempatan pada cuti hujung minggu untuk mengadakan program marhaban rumah ke rumah ibu bapa pelajar sekolah tersebut.

Pengerusi BKSAPK, Rozaini Abd. Hamid berkata, sebanyak lima kumpulan marhaban yang terdiri daripada 20 murid, guru dan ahli jawatankuasanya menyertai program tersebut.


KUMPULAN pelajar dan ahli BKSAPK yang mengadakan program marhaban di Parit Kassan, Bukit Gambir, Ledang.


Menurutnya, program itu dianjurkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah dengan ibu bapa pelajar sempena Aidilfitri.

“Selain itu, kami juga menyediakan tabung derma sekolah untuk kegunaan menjalankan aktiviti yang melibatkan murid-murid sekolah ini,” katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Rozaini berkata, sambutan yang diberikan oleh ibu bapa pelajar amat menggalakkan dan mereka gembira menerima kunjungan kumpulan marhaban itu.

‘‘Setakat ini sebanyak 70 buah rumah di Kampung Parit Kassan dan Parit Haji Idris telah dikunjungi oleh kumpulan marhaban itu,’’ katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 9 OKTOBER 2009

11 LELAKI DITAHAN CURI MOTOSIKAL

LEDANG 8 Okt. - Seramai 11 lelaki diberkas di sekitar Ledang dan Segamat bulan lalu kerana terlibat dalam kes curi motosikal yang disyaki digunakan untuk aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 17 hingga 22 tahun itu ditahan dalam siri tangkapan di Sungai Mati, Grisek dan Segamat.

Jelas beliau, operasi yang dijalankan dari 24 hingga 30 September itu turut merampas komponen motosikal dan empat buah motosikal curi bernilai lebih RM20,000.

"Dengan penahanan suspek-suspek ini, polis percaya sebanyak 20 kes curi motosikal yang bermula dari April lalu berjaya diselesaikan.

"Siasatan lanjut turut mendapati seorang suspek yang berusia 20 tahun turut terlibat dalam kes ragut di Bukit Gambir pada 25 September lalu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Harun, suspek-suspek terbabit menyasarkan Honda Ex5 dalam kegiatan curi yang dilakukan.

"Mereka bukannya sebuah kumpulan, sebaliknya beroperasi secara individu dalam kejadian jenayah ini.

"Motosikal-motosikal yang dicuri ini telah diambil komponennya dan dipercayai digunakan untuk aktiviti mat rempit," katanya.

Jelas beliau, hampir kesemua daripada suspek terbabit merupakan penganggur melainkan dua daripadanya yang bekerja sebagai pemandu lori dan buruh.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 9 OKTOBER 2009

07 Oktober 2009

SABARIAH, NORAENI CARI IBU BAPA KANDUNG


Noraeni (kanan) menunjukkan gambarnya sewaktu kecil bersama ibu bapa angkatnya, mengharapkan akan ada maklumat yang membolehkan dia bersatu semula dengan ibu bapa kandungnya di Wisma MCA, semalam.

MUAR 6 Okt. - Kehadiran Syawal setiap tahun turut membawa bersama kepiluan bagi Sabariah @ Sahariah Salleh, 44, kerana sehingga kini masih gagal menjejaki ibu bapa kandungnya.

Sejak ibu bapa angkatnya meninggal dunia, keinginan Sabariah untuk bertemu dengan ibu bapa kandung semakin mendalam biarpun terpisah sejak dilahirkan pada 1965.

Jelas Sabariah, dia hanya mengetahui kedudukannya sebagai anak angkat semasa majlis perkahwinannya pada tahun 1992 kerana menggunakan wali hakim.

"Ibu bapa angkat, Hindon Hussin dan Salleh Ali amat berahsia orangnya dan mereka langsung tidak mahu saya tahu yang saya adalah anak angkat.

"Maklumat yang saya peroleh amat sedikit, itu pun daripada mak saudara saya yang memberitahu saya diserahkan oleh sebuah keluarga keturunan Cina," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Jelasnya, ibu saudaranya itu, Hasmah Hussin, 70, memberitahu bahawa ibu bapanya berasal dari Jasin, Melaka dan dia telah diserahkan kepada ibu bapa angkat sebaik sahaja dilahirkan pada Februari 1965 di Hospital Besar Melaka.

"Ibu saudara saya ketika itu sedang menjalani latihan bidan di hospital tersebut dan berumur sekitar 22 atau 24 tahun semasa peristiwa itu.

"Difahamkan saya diserahkan kerana ibu bapa kandung saya telah mempunyai dua anak perempuan sebelum saya dan mengikut kepercayaan masyarakat Cina, anak perempuan ketiga berturut-turut mungkin akan membawa nasib tidak baik," katanya.

Beliau yang menetap di Sungai Abong di sini berkata, dia bersama suaminya telah berusaha untuk menjejaki ibu kandungnya sejak 10 tahun lalu namun sehingga kini usaha itu menemui kegagalan.

Beliau amat berharap mereka yang mengenali keluarga kandungnya dapat menghubunginya di talian 013-6984009 atau 019-7774009.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Noraeni Mohamed, 52, masih berharap untuk bertemu semula dengan ibu bapa kandungnya yang juga berketurunan Cina setelah berpisah sejak dilahirkan.

Bagi suri rumah itu, kedua ibu bapa itu dikenali sebagai Cheong Yen dan Goh Moi Kia dan sekiranya masih hidup, usia mereka kini mungkin sudah menjangkau lingkungan 70-an.

Noraeni yang dilahirkan pada 5 April 1957 di Sungai Buloh, Selangor telah diserahkan kepada ibu bapa angkatnya iaitu Mohamed Haron dan Mek Esah Salleh dan menetap di Kota Bharu, Kelantan.

Mohamed yang merupakan pengawal di Istana Kelantan, meninggal dunia 21 tahun lalu manakala isterinya pula meninggal dunia empat tahun lalu.

Noraeni ketika ditemui di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini hari ini berkata, arwah ibu angkatnya sempat berpesan kepadanya supaya mencari semula ibu bapa kandungnya.

"Saya tidak mengetahui butiran atau latar belakang ibu bapa kandung saya malah tidak dapat membayangkan wajah mereka. Tetapi, saya teringin hendak berjumpa mereka semula sekiranya ada kesempatan," jelas Noraeni yang ditemani dua anaknya meminta bantuan ketua biro, Datuk Michael Chong.

Dia berkahwin dengan Allahyarham Dr. Ahmad Basri Md. Yusoff, yang pernah menjadi pegawai khas kepada bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad.

Noraeni kini mempunyai enam orang anak, lima lelaki dan seorang perempuan.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kedua ibu bapa Noraeni itu diminta menghubungi biro pengaduan berkenaan di talian 03-21618044.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 7 OKTOBER 2009

05 Oktober 2009

KUNJUNGAN MARHABAN ERATKAN SILATURAHIM

Sebahagian daripada kumpulan Marhaban Sekolah Agama Parit Kassan, Bukit Gambir bergambar bersama guru serta ahli jawatankuasa Badan Kebajikan SAPK selepas selesai program marhaban.

Kumpulan Marhaban Sekolah Agama Parit Kassan, Bukit Gambir sedang berselawat di rumah pelajar yang dikunjungi dalam program yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan SAPK.

OLEH Khairun Haneffa

LEDANG 4 OKT:
Kemeriahan suasana Aidilfitri masih terasa walaupun telah berada di pertengahannya dengan kunjungan kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Sempena cuti hujung minggu yang lalu, Badan Kebajikan Sekolah Agama Parit Kassan (BKSAPK), Bukit Gambir telah mengadakan program marhaban ke rumah ibu bapa pelajar yang belajar di sekolah itu.

Pengerusi BKSAPK, Rozaini Abd Hamid berkata sebanyak lima kumpulan yang terdiri daripada 20 orang murid diiringi guru-guru serta Ahli Jawatankuasa badan bagi setiap kumpulan telah menyertai program tersebut.

Menurutnya, tujuan utama program itu dilaksanakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara pihak sekolah dengan ibu bapa pelajar di samping bermaaf-maafan sempena Aidilfitri.

"Selain itu, kami juga menyediakan tabung derma di mana dana yang dikumpul itu akan dimasukkan ke dalam tabung badan untuk kegunaan pihak sekolah menjalankan aktiviti yang melibatkan murid-murid sekolah ini," katanya ketika ditemui pada program itu.

Rozaini berkata, sambutan yang diberikan oleh ibu bapa pelajar amat menggalakkan di mana mereka menerima kunjungan kumpulan marhaban ini dengan perasaan gembira serta menyediakan pelbagai juadah.

Tambahnya lagi, sebanyak 70 buah rumah di Kampung Parit Kassan dan Parit Haji Idris telah dikunjungi oleh kumpulan marhaban itu manakala bagi rumah yang tidak dikunjungi pula telah memberikan derma kepada tabung badan kebajikan.

03 Oktober 2009

KOLEJ KOMUNITI YPJ TAWAR 3 KURSUS

JOHOR BAHRU 2 Okt. - Kolej Komuniti Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) Muar akan mengambil 60 pelajar baru bagi tiga kursus jangka pendek yang ditaja sepenuhnya oleh Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Kursus berkenaan ialah Binaan Bangunan (enam bulan), Pemasangan Pendawaian Bangunan (tiga bulan) dan Sistem Pengedaran dan Penyejukbekuan Udara (empat bulan).

Pengurus Kolej Komuniti YPJ Muar, Abdullah Omar berkata, ketiga-tiga kursus itu akan dimulakan pada 16 hingga 22 Oktober ini.

Ia terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau mereka yang berusia antara 17 hingga 35 tahun serta mempunyai kebolehan membaca, menulis dan mengira.

"Mereka yang mengikuti kursus ini akan menikmati beberapa kemudahan percuma seperti yuran kursus, asrama dan makan minum yang ditaja sepenuhnya oleh ABM dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, para peserta juga berpeluang menjalani latihan industri selama sebulan dengan elaun sebanyak RM500 serta dibekalkan pakaian seragam dan kad perlindungan insurans (Kad Hijau).

Abdullah memberitahu, sijil-sijil program ini akan dianugerahkan oleh CIDB dengan kursus dijalankan sepenuhnya di Kolej Komuniti YPJ Muar, Batu 2, Parit Bunga, Muar.

Mereka yang berminat boleh menghubungi 06-9541194 atau 019-6814669 (Abdullah) dan 017-3063949 (Hairina) untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 3 OKTOBER 2009

'DOAKAN KEJAYAAN ANAK-ANAK SELEPAS SOLAT'


Othman Rahman (duduk dua dari kanan) serta isteri Noraini Abd. Rahman berkongsi kegembiraan dengan anak-anaknya selepas dipilih Tokoh Ibu Bapa Mithali Daerah Muar di Masjid Sultan Ibrahim, Muar, kelmarin.

MUAR 2 Okt. - "Setiap kali selepas solat, kami berdua sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak dan amat memberi penekanan soal pendidikan agama kepada mereka."

Itu rahsia kejayaan membesarkan tujuh cahaya mata yang dikongsi Othman Rahman, 79, serta isterinya, Noraini Abd. Rahman, 69, yang diumumkan sebagai Tokoh Ibu Bapa Mithali peringkat daerah Muar 2009 semalam.

Othman melahirkan kesyukuran dengan pengiktirafan tersebut kerana ia merupakan berkat kesabaran beliau dan isterinya selama membesarkan anak-anak mereka.

"Kami sentiasa memohon untuk kebaikan anak-anak dan doa itu tidak putus-putus kami panjatkan.

"Hubungan dengan anak-anak juga perlu sentiasa terjalin erat dan kami akan berhimpun beramai-ramai setiap kali mendapat peluang," katanya yang merupakan guru takmir di jabatan-jabatan kerajaan dan surau-surau di sekitar daerah ini.

Majlis penyampaian anugerah anjuran Pejabat Agama Islam Daerah itu disempurnakan Pegawai Daerah, Mislan Karmani di Balai Masjid Sultan Ibrahim, di sini.

Anugerah kepada tokoh ibu dan bapa mithali peringkat mukim di daerah ini turut disampaikan kepada para pemenang pada majlis itu.

Othman yang merupakan bekas penyelia Asrama Anak Yatim Muar turut berbangga dengan kejayaan kesemua tujuh anak mereka iaitu empat lelaki dan tiga perempuan kerana berjaya melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi.

Anak sulungnya, Dr. Zulkifli kini memegang jawatan Pegawai Kesihatan Daerah manakala anak lain ialah Saidah (guru); Muhamad Haidhir (Ketua Penolong Pengarah Di Jabatan Perdana Menteri); Ruwaidah (guru) dan Hadfizah, suri rumah yang memiliki diploma daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Anak keenamnya, Alyasa'a pula bekerja sebagai Eksekutif Kanan Kewangan UEM manakala anak bongsunya, Muhamad Fa'aiz kini merupakan Eksekutif Pentadbiran Kolej Universiti Limkokwing.

Noraini yang merupakan suri rumah memberitahu, sambil membesarkan anak-anak di rumah, dia turut menjalankan kelas tuisyen di rumah.

"Untuk membesarkan anak-anak, saya buat banyak kerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga termasuk membuat kuih dan menjual kain baju," katanya yang merupakan ahli jawatankuasa hal ehwal wanita daerah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 3 OKTOBER 2009

02 Oktober 2009

TIME FOR UNITY IN DIVERSITY

By HAMDAN RAJA ABDULLAH

MUAR: Malaysians of all races and faiths celebrated Hari Raya Aidilfitri with their Muslim friends and this was evident at open houses hosted by Johor leaders over the past weekend.

This tradition, which is unique to Malaysia, instils better understanding among the people.

Deputy Youth and Sports Minister Datuk Razali Ibrahim said the open house celebration during festivals was something to be preserved.

“We see people of different races from all walks of life coming together and feeling proud to be Malaysian.

“We hope the people will promote and protect this tradition,” he said at his open house in Parit Jawa recently.

Razali, who treated some 10,000 guests including political and government leaders to a dinner, said he was pleased to see the attendance of many non-Muslim children.

Ledang MP Hamim Samuri, who hosted a dinner in Tangkak, said the event gave him and his family the opportunity to meet people, including special children from community centres.

“We want special children to enjoy Hari Raya as our guests,” he said.

Meanwhile, Jorak assemblyman Dr Shahruddin Mohd Salleh was happy to see a huge crowd at his first Hari Raya open house.

Besides politicians, government leaders, including district officer Mislan Karmani, hosted open houses.

SOURCE: THE STAR, OCTOBER 2, 2009

KESESAKAN JALAN MAHARANI DIATASI

MUAR 1 Okt. - Masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Maharani, di sini dijangka dapat diatasi dengan pembinaan lorong khas untuk ke Pasar Awam Maharani.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Ab. Wahab Ridwan berkata, pihaknya kini berada dalam peringkat kajian untuk memastikan masalah kesesakan yang kerap berlaku pada waktu puncak itu dapat diatasi.

"Kita telah melakukan percubaan dengan mewujudkan lorong khas ini sebelum Aidilfitri lalu dan ia menampakkan perubahan positif.

"Dengan kajian lanjut, kami mungkin akan membina lorong khas ini secara kekal pada waktu terdekat ini," katanya di sini hari ini.

Kesesakan di Jalan Maharani kerap berlaku berikutan ia menerima aliran trafik kenderaan dari Tanjung Agas yang melalui Jambatan Muar dan menempatkan banyak persimpangan jalan utama di bandar ini.

Keadaan itu lebih teruk pada musim perayaan apabila bandar ini menerima jumlah kenderaan yang lebih banyak daripada hari biasa.

Justeru, MPM mengalu-alukan cadangan orang ramai untuk menambah baik laluan berkenaan demi keselesaan semua pihak.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 OKTOBER 2009

01 Oktober 2009

GUNA TAKTIK PINJAM TELEFON SEBELUM RAGUT

MUAR 30 Sept. – Dua lelaki yang menggunakan taktik meminjam telefon mangsa sebelum melakukan jenayah ragut, berjaya diberkas polis di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar bandar ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli berkata, salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan baru sahaja dibebaskan dari penjara tahun lalu atas kesalahan pecah rumah.

“Kedua-dua mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kami percaya dengan tertangkapnya dua suspek itu, beberapa kes ragut yang dilaporkan di sekitar daerah ini diselesaikan.

“Kejayaan ini hasil daripada Operasi Utama Perdana yang dijalankan sejak sebulan lalu bagi melakukan rondaan pencegahan jenayah,” katanya.

Sementara itu, mangsa kes ragut tersebut, Noorana Md. Isa berkata, dia berada di tempat letak kenderaan di Jalan Ali sebelum didatangi dua lelaki tersebut.

Menurutnya, suspek meminta untuk meminjam telefon bimbitnya dengan alasan ingin membuat panggilan kecemasan kerana bateri telefon bimbit mereka sudah lemah.

“Saya langsung tidak menyangka kedua-dua lelaki ini kemudiannya bertindak melarikan telefon bimbit saya.

“Dengan bantuan seorang rakan, kami cuba mengejar dan akhirnya terjumpa mereka di Jalan Haji Abu kira-kira 200 meter dari tempat saya diragut,” katanya sambil memberitahu telefon bimbit tersebut bernilai RM400.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 OKTOBER 2009

PENDUDUK MUAR BOLEH SALUR CADANGAN MELALUI EMEL

MUAR 30 Sept. - Penduduk yang mempunyai sebarang cadangan untuk menambah baik bandar ini kini boleh menyalurkannya menerusi emel di alamat ideasformuar@gmail.com yang dilancarkan hari ini.

Ahli Majlis Perbandaran Muar (MPM), Chua Teck Boon berkata, saluran maklumat tersebut dibuka bagi memberi keselesaan kepada para penduduk untuk memberi pandangan dan ia menepati penggunaan secara menyeluruh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada masa kini.

"Kami ingin menjemput semua warga Muar supaya turut mengambil bahagian secara proaktif dalam proses pembangunan sebuah bandar yang berwawasan, cekap dan dinamik.

"Selain itu, usaha ini diharap dapat mengeratkan hubungan antara MPM bersama penduduk setempat dan menyemarakkan lagi semangat kepunyaan di kalangan warga Muar," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Yang Dipertua MPM, Ab. Wahab Ridwan di sini hari ini.

Teck Boon berkata, lapan isu yang diharap mendapat perhatian orang ramai ialah pelancongan, ekonomi tempatan, alam sekitar, perancangan pembangunan setempat, peluang pekerjaan, pelaburan asing, keselamatan dan taraf kehidupan berkualiti.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 OKTOBER 2009