PENGUNJUNG SETIA

11 Oktober 2009

KORBAN NAHAS

Oleh ZALIFAH MOHD YATIM

TANGKAK: Seorang pekerja memproses tauhu terkorban manakala abang dan dua rakannya cedera apabila kereta yang mereka dinaiki terbabas di Kilometer 33.5 Jalan Solok, di sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.45 pagi, Salzelan Bidin, 22, yang tersepit dalam kenderaan itu mati di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala.

Abangnya Salzeli, 24, serta dua lagi rakan termasuk pemandu, Jamaluddin Mokhtar, 22, dan penumpang, Shamsul Anuar, 23, yang patah tangan dan kaki dihantar oleh orang awam ke Hospital Tangkak untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superitendan Harun Idris, berkata mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Bukit Gambir ke Tangkak sebelum kereta mereka terbabas dan masuk ke laluan kanan sebelum terhumban ke dalam longkang.

“Dua penumpang belakang yang terselamat mendakwa mereka tertidur kerana keletihan selepas bekerja sepanjang malam memproses tauhu. Pemandu kereta itu juga dipercayai mengantuk, menyebabkan kenderaan terbabas,” katanya.

Abang sulung Salzelan dan Salzeli, Salleh, 26, berkata adik kedua dan ketiga daripada sembilan beradik itu keluar ke tempat kerja kira-kira 9.30 malam kelmarin.

Katanya, kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan balik ke rumah di Kampung Pangkalan Besar, di sini, selepas selesai menghantar tauhu kepada pelanggan di sekitar Bukit Gambir.

Menurutnya, sebelum pergi kerja, sikap Salzelan berlainan apabila lebih banyak mendiamkan diri berbanding kebiasaannya.

“Biasanya dia suka bersembang tetapi malam sebelum dia pergi kerja, tidak berbunyi suaranya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat Hospital Tangkak, di sini, semalam.

Menurutnya, jenazah Salzelan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Sialang Darat, pagi semalam.

Berikutan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sayuti Mohammad di talian 06-97512222 bagi membantu siasatan.

SUMBER: METRO AHAD, 11 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: