Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
(Dari kiri), KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Tan Sri Abdul Rahman Mamat, Timbalan Menteri Miti, Datuk Jacob Dunggau Sagan, Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Miti, Datuk Mukhriz Mahathir mengatakan sesuatu selepas selesainya sesi sidang akhbar Kajian Semula Sidang Automatif, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail |
KUALA LUMPUR: Mulai 1 Januari tahun depan semua kenderaan penumpang berusia lebih 15 tahun diwajib membuat pemeriksaan tahunan di Puspakom sebagai syarat memperbaharui cukai jalan.
Peraturan itu yang dianggar membabitkan kira-kira sejuta kenderaan, adalah antara 18 langkah baru yang diperkenalkan dalam kajian semula Dasar Automotif Nasional (NAP) bagi meningkatkan daya saing industri automotif tempatan serta menawarkan kenderaan lebih selamat, mesra alam dan berteknologi tinggi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata keperluan pemeriksaan mandatori itu adalah langkah awal ke arah pelaksanaan sepenuhnya Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV).
"Kini terdapat 2.7 juta kenderaan penumpang berusia lebih 10 tahun di jalan raya. Berbanding negara lain, Malaysia memiliki kadar pelupusan kenderaan lama yang rendah dan purata usia kenderaan yang tinggi.
"Buat masa ini, kerajaan membuat keputusan bahawa kenderaan yang berusia lebih 15 tahun wajib melakukan pemeriksaan bagi memastikan ia selamat dan boleh digunakan. Bagaimanapun butiran terperinci masih belum diputuskan lagi," katanya pada sidang media selepas membentangkan dasar baru hasil kajian semula NAP di sini, semalam.
Difahamkan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk mewujudkan sistem pemeriksaan kenderaan yang lebih tersusun.
Kajian semula NAP juga antara lain:
Mustapa berkata, menerusi langkah baru itu, usaha sama strategik antara Proton Holdings Bhd, pengeluar kenderaan nasional dan Pembuat Perkakasan Asal (OEM), akan diwujudkan.
Kajian semula itu bagaimanapun mengekalkan pembekuan ke atas lesen pengilangan bagi kontrak pemasangan kenderaan kecuali menggunakan lebihan kapasiti sedia ada.
Pada masa sama, Mustapa berkata, langkah semasa untuk meringankan impak liberalisasi pasaran akan dikekalkan di mana Dana Pembangunan Automotif dan Dana Penyelarasan Perindustrian akan diteruskan.
Dasar baru itu juga menyaksikan peningkatan pengecualian pada pendapatan statutori pada nilai peningkatan eksport kenderaan, alat ganti dan komponen.
Pengecualian pendapatan statutori akan dinaikkan kepada 30 peratus daripada 10 peratus bagi barangan yang mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus nilai tambah dan sehingga 50 peratus daripada 15 peratus bagi barangan yang mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus nilai tambah.
Mustapa berkata, di bawah dasar kajian semula itu, Kementerian Pengangkutan akan memberikan keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bagi mewujudkan standard dan kemudahan pengujian Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA).
Mengenai standard bahan api, katanya, kerajaan akan melaksanakan standard EURO 4M menjelang 2011.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mewujudkan rangka pelan yang jelas bagi standard dan kualiti bahan api. Spesifikasi EURO 2M bagi bahan api dan diesel diperkenalkan sejak September lalu.
SUMBER: BERITA HARIAN, 29 OKTOBER 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan