|
|
MUAR 13 Okt. – Seramai 55 pelajar tahun akhir Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencurahkan bakti di Kampung Panjang Sari, Pagoh, di sini baru-baru ini menerusi kem motivasi bahasa Inggeris dan Matematik secara khusus kepada anak-anak kampung berkenaan.
Berlangsung selama tiga hari bermula 9 Oktober lalu, mahasiswa dan mahasiswi terbabit menjadi abang dan kakak angkat kepada murid-murid di kampung itu disamping memberi tunjuk ajar mengenai kaedah pembelajaran yang terbaik.
Hubungan mesra yang terjalin juga diharap dapat menjadi inspirasi kepada murid-murid untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke peringkat universiti dan mencapai cita-cita yang gemilang.
Majlis perasmian program kem motivasi tersebut telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Panjang Sari di sini disempurnakan oleh Pengerusi Biro Pengajian Tinggi Pergerakan Pemuda UMNO, Shahrin Jamaluddin.
Dalam ucapannya, Shahrin telah menyarankan mahasiswa dan mahasiswi terbabit untuk menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk berbakti kepada masyarakat khususnya dalam membimbing golongan pelajar sekolah.
‘‘Program seumpama ini adalah detik permulaan dan saya berharap hubungan yang terjalin akan terus berkekalan supaya menjadi pendorong kepada anak-anak di Kampung Panjang Sari ini.
‘‘Jikalau boleh, para mahasiswa mengambil tahu mengenai peperiksaan yang diambil oleh adik-adik angkat mereka dan memberi galakan dari semasa ke semasa,” katanya di sini baru-baru ini.
Turut hadir Guru Besar Sekolah Kebangsaan Panjang Sari, Nazirah Taib serta Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad.
Menurut Shahrin, kesempatan untuk mengadakan program di kawasan luar bandar ini merupakan juga peluang terbaik untuk golongan mahasiswa bergaul dengan masyarakat dan mempelajari aspek sosiologi.
‘‘Mahasiswa perlu mempunyai falsafah untuk meningkatkan kehidupan kerana daripada masyarakat kita datang dan kepada masyarakat kita berkhidmat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Kem Motivasi berkenaan, Jogiana Yii, berkata, pihaknya berharap mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat dalam program itu dapat meningkatkan lagi bakat kepimpinan dengan menjadi fasilitator kepada murid-murid sekolah tersebut.
‘‘Kami yang merupakan pelajar-pelajar dari Fakulti Pendidikan UTM, Skudai menganggap, program ini adalah pendedahan terbaik untuk kami mempraktikkan perkara-perkara yang telah dipelajari di universiti.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 OKTOBER 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan