PENGUNJUNG SETIA

01 Oktober 2009

GUNA TAKTIK PINJAM TELEFON SEBELUM RAGUT

MUAR 30 Sept. – Dua lelaki yang menggunakan taktik meminjam telefon mangsa sebelum melakukan jenayah ragut, berjaya diberkas polis di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar bandar ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli berkata, salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan baru sahaja dibebaskan dari penjara tahun lalu atas kesalahan pecah rumah.

“Kedua-dua mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kami percaya dengan tertangkapnya dua suspek itu, beberapa kes ragut yang dilaporkan di sekitar daerah ini diselesaikan.

“Kejayaan ini hasil daripada Operasi Utama Perdana yang dijalankan sejak sebulan lalu bagi melakukan rondaan pencegahan jenayah,” katanya.

Sementara itu, mangsa kes ragut tersebut, Noorana Md. Isa berkata, dia berada di tempat letak kenderaan di Jalan Ali sebelum didatangi dua lelaki tersebut.

Menurutnya, suspek meminta untuk meminjam telefon bimbitnya dengan alasan ingin membuat panggilan kecemasan kerana bateri telefon bimbit mereka sudah lemah.

“Saya langsung tidak menyangka kedua-dua lelaki ini kemudiannya bertindak melarikan telefon bimbit saya.

“Dengan bantuan seorang rakan, kami cuba mengejar dan akhirnya terjumpa mereka di Jalan Haji Abu kira-kira 200 meter dari tempat saya diragut,” katanya sambil memberitahu telefon bimbit tersebut bernilai RM400.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: