PENGUNJUNG SETIA

28 Oktober 2009

25 MURID SJKC KAY HIAN SERTAI SAMBUTAN AIDILFITRI

MURID dan guru SK Simpang 5 Darat dan SJKC Kay Hian bergambar bersama selepas mengadakan program sambutan Aidilfitri.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Seramai 25 orang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kay Hian, Parit Pulai menyertai program sambutan Aidilfitri yang dianjurkan Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat, Bukit Gambir, di Dewan Firdausi sekolah itu.

Guru Besar SK Simpang 5 Darat (SKS5D), Mazlan Ahmad, berkata pihaknya menjemput murid dan guru SJKC Kay Hian menyertai program itu kerana sekolah itu merupakan rakan dalam Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dengan sekolahnya.

“Melalui program RIMUP, murid-murid di sekolah saya dapat berkenalan dan bertukar pendapat mengenai apa juga hal yang berkaitan pelajaran mahupun kehidupan seharian.

“Sempena sambutan Aidilfitri ini, murid SJKC Kay Hian dapat mempelajari budaya masyarakat Melayu terutama daripada segi juadah yang disediakan seperti ketupat, rendang, lodeh dan sambal kacang.

“Selain itu, murid kedua-dua buah sekolah itu dapat berinteraksi sesama mereka terutama ketika menikmati juadah yang disediakan dan makan secara berselerak,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Guru Besar SJKC Kay Hian, Chua Kean Soon, Guru Penolong Kanan SKS5D, Ahmad Tarmizi Mohd Nas dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKS5D, Mohd Noh Abd Montalib.

Mazlan berkata, program tersebut amat bermakna kepada setiap murid kerana ia dapat menyemaikan semangat perpaduan di kalangan mereka yang berlainan bangsa.

Katanya, mereka telah dihiburkan dengan persembahan zapin dan koir oleh murid SK Simpang 5 Darat dan mereka menunjukkan minat terhadap kesenian Melayu itu.

Beliau berkata, yang menarik pada majlis itu inyanyian beberapa lagu raya secara beramai-ramai yang disertai semua murid dan guru kedua-dua sekolah selain acara marhaban.

Sementara itu Chua berkata, beliau cukup terharu apabila dijemput ke majlis sambutan Aidilfitri itu kerana program tersebut amat bermakna kepada warga sekolahnya.

Katanya, suasana yang meriah dapat menjalin hubungan mesra di antara murid kedua-dua sekolah selain menyemaikan semangat perpaduan.

“Semangat 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dapat diterjemahkan dalam program seumpama ini untuk memperkukuhkan lagi perpaduan di antara kaum,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 28 OKTOBER 2009

Tiada ulasan: