PENGUNJUNG SETIA

10 Oktober 2009

UMNO CAWANGAN PARIT KASSAN ANJUR PROGRAM MARHABAN

Kumpulan marhaban Umno Cawangan Parit Kassan bergambar di rumah Ketua Umno Cawangan, Muslim Jasmin.

TEKS & FOTO: KHAIRUN HANEFFA

BUKIT GAMBIR:
Kemeriahan menyambut Aidilfitri sama ada di kampung mahupun di bandar terserlah apabila menerima kunjungan sanak saudara dan rakan-rakan ke rumah lebih-lebih lagi di minggu pertama sambutan.

Di pertengahan bulan Syawal pula, kemeriahan itu masih terasa di mana mereka akan mengadakan rumah terbuka dengan menjemput rakan-rakan dan keluarga meraikan sambutan Aidilfitri bersama-sama terutama di sebelah malam disebabkan dengan kesibukan waktu bekerja pada sebelah siang.

Namun begitu ada juga yang menubuhkan kumpulan marhaban dengan mengunjungi rumah-rumah jiran tetangga sekiranya mereka tinggal di taman-taman perumahan ataupun rumah-rumah penduduk jika mereka tinggal di kampung.

Malah kumpulan marhaban tersebut bukan sahaja dianggotai oleh golongan dewasa tetapi turut disertai oleh remaja dan kanak-kanak.


Sehubungan dengan itu, Umno Cawangan Parit Kassan dalam bahagian Ledang telah mengadakan program marhaban ke rumah-rumah penduduk sempena sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.


Muslim Jasmin

Ketuanya, Muslim Jasmin, 70, berkata program marhaban yang dianjurkan itu merupakan aktiviti tahunan cawangannya dan tahun ini adalah tahun ketiga ia dilaksanakan yang dianggotai ahli-ahli jawatankuasanya.

Katanya, tujuan program itu diadakan adalah untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim dan ukhwah di antara pemimpin masyarakat di kampung dengan ahli jawatankuasa yang menyertai rombongan marhaban tersebut.

"Di samping itu, kita juga dapat bermaaf-maafan sambil bertanya khabar di antara ahli-ahli rombongan dengan tuan rumah yang dikunjungi.

"Kita mengadakan program ini pada waktu malam, bermula dari jam 9 hinggalah selesai dan setiap malam kita menetapkan lima atau enam buah rumah untuk dikunjungi," katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini sebanyak 30 buah rumah telah menerima kunjungan kumpulan marhabannya dan berjaya diselesaikan selama enam malam berturut-turut.

"Selain rumah ahli jawatankuasa cawangan, kami turut mengunjungi rumah Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pengerusi Masjid dan Surau serta Imam-imam di kampung ini," katanya.

Katanya lagi, selain mengadakan kunjungan marhaban, rombongan itu turut membuat kutipan derma untuk dimasukkan ke dalam tabung cawangan bagi membiayai aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan kelak.

Turut menyertai kumpulan marhaban itu, Timbalan Ketua Cawangan, A Rahman Sulaiman, Pengerusi JKKK Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar serta Timbalannya, Mohd Janis Abu Bakar dan mantan Ketua Kampung Parit Kassan, Salleh Sahari.

Muslim berkata, program yang diadakan ini bukan sahaja untuk berkunjung-kunjungan malah untuk menyatupadukan masyarakat di kampungnya kerana ia turut disertai golongan dewasa dan remaja.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah yang dikunjungi kerana turut menyediakan pelbagai juadah untuk dinikmati ahli rombongan marhaban.


Mohd Hamzah Basar

Sementara itu, Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar, 52, menyifatkan program seumpama itu amat baik di mana ia akan menjadi contoh kepada generasi akan datang untuk mengadakan kegiatan yang bermanfaat ini.

"Melalui program ini kita dapat mengumpul serta menyatukan golongan dewasa dan remaja melaksanakan program yang dirancang sehingga berjaya di samping dapat berkunjung ke rumah mereka yang lebih tua.

"Harapan kita agar program marhaban ini akan terus hidup kerana jika sesebuah kampung itu tiada kegiatan marhaban pada Aidilfitri, kemeriahannya tiada malah kampung itu dirasakan sepi," katanya.

Katanya lagi, sempena Aidilfitri ini juga kita dapat berkumpul dan bertemu dengan sanak saudara dan kunjungan marhaban merupakan platform terbaik untuk berjumpa dan bermaaf-maafan sesama mereka.~INFOLEDANG

2 ulasan:

Azam berkata...

Tahniah .. Program yang menarik. Teruskan bagi membina generasi yang sihat. :)

Azam berkata...

Maaf, disini saya ingin memohon jasa baik.InsyaAllah saya (pengarah program) akan mengadakan program motivasi bagi lepasan SPM 2009 bermula pada 18 Disember ini. Motivasi program ini menggunakan pendekatan agama. Peserta pula adalah dari sekolah-sekolah tertentu.

Diharap dapat memberi sumbangan ke

>Maybank 5541 1010 1976
Persatuan Belia Islam Prihatin (MyConcern)

>CIMB 0408 0070 5595 29
Shahrin Azam

"Sedekah tidak mengurangkan rezeki"

Semoga Allah terima sumbangan tuan/puan sebagai amal kebajikan. :)