PENGUNJUNG SETIA

17 Jun 2009

MANGSA NAHAS BUANG UBAT BATUK RM100,000

TANGKAK: Seorang lelaki yang terbabit kemalangan dikatakan sempat membuang 19 tong ubat batuk bagi mengelak ditahan sebelum melarikan diri dengan menahan sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 172.6, Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, Toyota Camry dipandu lelaki berusia 30-an itu dirempuh sebuah Honda Civic.

Akibat kemalangan itu, lelaki yang belum dikenali identitinya dan tidak cedera sempat membuang sebahagian daripada lebih 50 tong mengandungi ubat batuk bernilai kira-kira RM100,000.

Sebelum pihak berkuasa tiba di tempat kejadian, lelaki itu melarikan diri dengan menahan sebuah lori yang menghala ke Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan, masing-masing sebuah Honda Civic yang melanggar belakang Toyota Camry dipandu lelaki yang melarikan diri itu.

Menurutnya, lelaki itu sempat membuang sebahagian tong mengandungi ubat batuk ke dalam kebun getah bersebelahan lebuh raya itu sebelum melarikan diri dengan menahan sebuah lori menghala ke Johor Bahru.

“Sejumlah 30 tong penuh berisi ubat batuk ditemui dalam kereta manakala bakinya ditemui dalam kebun getah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Pengangkutan Jalan dan lelaki yang melarikan diri itu kini dijejaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

SUMBER: HARIAN METRO, 17 JUN 2009

ADUN GAMBIR BERI SUMBANGAN PERIBADI BANTU MANGSA RIBUT

Sebahagian mangsa ribut yang hadir pada majlis penyampaian sumbangan oleh ADUN Gambir.

MUAR: Tiga puluh dua mangsa ribut di beberapa kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Ledang, di sini, menerima sumbangan peribadi RM100 seorang daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan, M Asojan, di sini, kelmarin.

Majlis penyampaian bantuan itu diadakan di kediaman Ketua Kampung Parit Pulai, Serom, Mohd Som Leman.

Asojan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, berkata bantuan itu sebagai tanda simpatinya terhadap penduduk dalam kawasan berkenaan yang ditimpa musibah itu pada 13 Mei lalu.

Beliau berkata, bantuan itu walaupun kecil diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi mangsa.

"Selaku wakil rakyat, saya memahami masalah yang dihadapi mangsa yang mengalami kerosakan rumah atau tempat berniaga akibat dilanda ribut, baru-baru ini.

"Saya berharap mangsa bersabar kerana kerajaan melalui agensi yang berkaitan akan menyalurkan bantuan untuk memperbaiki kerosakan premis kediaman atau perniagaan yang dialami," katanya pada majlis berkenaan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 17 JUN 2009

15 Jun 2009

PENGAJARAN BAHASA INGGERIS PERLU KREATIF

TANGKAK: Keupayaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah adalah isu yang banyak dibangkitkan selepas cadangan subjek itu menjadi syarat wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, pelbagai maklum balas diterima berhubung topik yang hangat diperkatakan itu selepas Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pandangan terus daripada masyarakat berhubung cadangan berkenaan.

Katanya, antara perkara yang dikhuatiri jika cadangan itu diluluskan, berhubung sistem pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan sama ada bersedia dilaksanakan dengan berkesan di sekolah luar bandar.

Dr Wee berkata, Kementerian Pelajaran juga tidak menafikan cabaran besar yang bakal dihadapi jika cadangan itu diluluskan ialah memastikan sistem pengajaran dan pembelajaran termasuk tenaga pengajar dapat dipertingkatkan.

"Teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih inovatif dan kreatif perlu bagi menarik minat pelajar untuk menguasai subjek itu dengan lebih baik.

"Kita tidak mahu Bahasa Inggeris hanya diajar seperti menghafal huruf abc... atau seperti membaca kamus, sebaliknya teknik sedia ada dipertingkat dengan lebih baik supaya berinovatif dan kreatif untuk menarik minat pelajar mendalami dan menguasai subjek berkenaan dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Perasmian Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Tokong Ong Kong di Sungai Senduk, Rawang, di sini, semalam.

Dr Wee berkata, berdasarkan kaji selidik berhubung cadangan itu, sebanyak 86 peratus pembaca News Straits Times (NST) dan 80 peratus lagi penonton Berita Edisi Mandarin di televisyen NTV7 bersetuju dengan pandangan berkenaan.

Malah, katanya, sejak topik itu dibincangkan, ramai yang meluahkan pandangan dan pendapat masing-masing di media massa terutama di ruangan khas untuk pembaca.

"Kita berharap lebih ramai lagi rakyat menyatakan pendirian dan pandangan masing-masing supaya satu keputusan yang terbaik akan dicapai," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 15 JUN 2009

DICEKUP SELEPAS TIGA JAM MERAGUT

LEDANG: Seorang lelaki berusia 28 tahun yang baru dibebaskan dari Penjara Simpang Renggam hujung bulan lalu, sanggup menunggang motosikal selama 30 minit dari kampungnya di Tanjung Keling, Melaka untuk menjalankan kegiatan ragut di sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi suspek apabila dia dicekup tiga jam selepas meragut seorang wanita membabitkan kerugian RM150 di Jalan Hospital berhampiran Hospital Tangkak di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harus Idris, berkata lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 9 pagi selepas dipercayai meragut seorang suri rumah berusia 39 tahun yang dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Tangkak.

Beliau berkata, suri rumah itu menunggang motosikal menuju ke hospital sebelum suspek mengekorinya dari belakang meragut beg tangan mangsa yang diletak dalam raga kenderaan itu.

Berikutan itu, wanita itu terpaksa menangguhkan hajatnya ke hospital selepas kehilangan beg tangan mengandungi wang tunai RM150, kad pengenalan dan kad bank sebelum membuat laporan di Balai Polis Tangkak kira-kira 15 minit selepas kejadian.

“Hasil maklumat, suspek yang menunggang sebuah motosikal Yamaha RXZ merah putih dengan nombor pendaftaran bermula huruf MX dikesan sekumpulan tiga anggota polis ketika berada di Batu 16, Jalan Muar-Tangkak kira-kira tiga jam selepas kejadian.

“Suspek dari Tanjung Keling, Melaka ditahan dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 15 JUN 2009

14 Jun 2009

MENJENGAH DUNIA FANTASI HASLIN

Ada orang membaca untuk lulus peperiksaan. Ada juga yang membaca untuk menambah pengetahuan dan tidak kurang juga yang menjadikan tabiat membaca sebagai hobi yang mengasyikkan.

Bagi Haslin Ismail, 25 tahun, membaca merupakan rutin harian yang mesti dilakukan dan yang paling digemarinya apabila membaca sesebuah novel.

Apabila selesai sahaja membaca, Haslin terus mencapai kanvas dan mula melukis berdasarkan bahan yang dibacaannya. Itulah keistimewaan pemuda yang berasal daripada Bukit Gambir, Muar, Johor ini.

Benar kata orang, ada orang melukis berpandukan apa yang dilihat. Sebahagiannya pula melukis berdasarkan apa yang dirasa. Maka sudah pasti kedua-duanya akan menghasilkan lukisan yang berbeza.

Bagi Haslin, lukisan kontemporari lebih disukai memandangkan lukisan jenis ini yang semakin meningkat. Walaupun ramai yang kurang senang dengan lukisan sebegini, ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Orang sering bertanya apa genre lukisan yang sering saya hasilkan. Selalunya saya akan memberitahu yang saya sangat menyukai surealisme.

“Saya suka berkhayal dan suka berada di alam khayalan. Cerita itu tetap sama dan kebiasaannya akan bermain dengan watak. Yang pastinya setiap watak lukisan ada watak, jalan cerita dan penceritaan,” jelas Haslin ketika ditemui semasa pameran Tingkap Tingkap Dunia Fantasi Haslin Ismail baru-baru ini.

Jelas Haslin, pameran solo yang diadakan di RA Fine Art Gallery, Kuala Lumpur ini merupakan satu pameran yang istimewa memandangkan dia masih lagi baru berkecimpung dalam dunia lukisan.

Jika diamati setiap inci lukisannya, pasti ramai yang kurang memahami apa yang cuba disampaikan. Setiap imej yang digambarkan kadangkala sukar diterjemah apatah lagi oleh orang biasa.

Malah ada sesetengah seniman yang langsung tidak dapat menerima lukisan yang dipaparkan dan ada yang memandang sinis sahaja hasil karyanya. Kebanyakan karya yang diketengahkan dalam pameran ini meliputi lukisan, lakaran, gabungan, media campuran, buku karya ciptaan dan instalasi.

Malah Haslin juga sebenarnya boleh dikategorikan sebagai kelompok seniman generasi baru yang mencipta karya-karya seni yang bersifat mirip new media evilism, misteri, fiksyen sains dan komik.

“Sukar memuaskan hati semua pihak. Saya melukis mengikut acuan saya dan bukannya orang lain. Mungkin hari ini ramai yang tidak dapat menerima apa yang cuba saya paparkan.

“Inilah yang dinamakan perjalanan hidup. Semua ini saya anggap sebagai cabaran untuk saya terus maju dan berjaya pada masa hadapan.

“Jika dilihat semasa awal pembabitan saya dahulu, memang perit. Banyak sangat ranjau yang terpaksa saya tempuhi untuk sampai ke tahap ini.

“Lima bulan pertama adalah masa yang amat sukar. Waktu itu hendak hidup pun susah. Tapi alhamdulillah, semua kesukaran itu dapat saya tempuh sehingga sekarang.

“Hanya pada tahun awal tahun 2008 sahaja barulah saya dapat hidup selesa. Nak kata boleh jadi kaya tidaklah. Tapi apa yang ada sekarang pun sudah cukup baik untuk saya,” jelas Haslin yang sudah menyertai lebih daripada 50 pameran di serata Malaysia.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh anak muda ini apabila memenangi satu pertandingan anjuran Balai Seni Lukis Negara dan British Council yang melayakkannya belajar di Universiti Robert Gordon, Scotland pada tahun 2006.

Walaupun hanya sempat mengikuti kursus pendek selama dua minggu sahaja, pengalaman yang dikutip dalam tempoh itu amat berguna dan tidak ternilai.

Perasaan teruja memang tidak dapat dibendung lagi. Bagi Haslin, dia merupakan insan yang bertuah yang terpilih ke sana walaupun dalam tempoh masa yang singkat.

“Banyak perkara yang saya pelajari di sana. Lagi jauh kita berjalan, lagi banyak pelajaran yang kita perolehi. Saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada pihak yang nampak bakat yang ada dalam diri ini.

“Sudah pasti impian saya kini mahu lebih berjaya seperti insan yang lain. Oleh itu saya telah membulatkan tekad untuk bekerja dengan lebih ‘rakus’ tanpa henti.

“Walau apa yang terjadi saya tetap akan melukis kerana inilah impian saya sejak kecil. Mana boleh mengalah dengan cepat. Kalau saya cepat putus asa, sampai bila pun saya tak akan berjaya seperti insan yang lain,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat dan melihat karya pelukis muda ini dengan lebih dekat boleh menghubungi 03 2161 7341 atau datang sendiri ke RA Fine Art Gallery, NO 6, Jalan Aman off Jalan Tun Razak, 55000 Kuala Lumpur.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 JUN 2009

13 Jun 2009

ADUN GAMBIR BERI SUMBANGAN KEPADA MANGSA RIBUT

Oleh ADI SABARIMAN

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan (kanan) sedang menyampaikan sumbangan peribadinya kepada Ketua Kampung Parit Pulai, Mohd Som Leman, petang semalam.

LEDANG 12 JUN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan telah menyampaikan sumbangan peribadinya untuk 32 mangsa ribut di Kampung Parit Pulai, di sini.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Johor berkata, sumbangan peribadi itu adalah untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa ribut di mana rumah mereka mengalami kerosakan akibat bencana tersebut.

Menurutnya, beliau turut merasai kesedihan yang dialami oleh mangsa ribut itu dan selaku wakil rakyat di kawasan ini beliau akan sentiasa menyelami perasaan penduduk dan sentiasa membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul di kampung-kampung di kawasannya.

"Walaupun sibuk dengan tugas sebagai Exco, namun saya tetap tinggal di Bukit Gambir dan berada di Pusat Khidmat Wakil Rakyat setiap Jumaat bagi menyelesaikan masalah yang timbul di DUN Gambir," katanya ketika berucap pada majlis itu yang diadakan di rumah Ketua Kampung Parit Pulai, Mohd Som Leman.

Tambah beliau lagi, kita amat beruntung kerana Kerajaan Negeri serta kepimpinannya amat prihatin dengan setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat seperti bantuan yang diberikan kepada mangsa ribut di beberapa buah kampung di kawasan Ledang ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Parit Pulai, Mohd Som Leman terharu dengan sumbangan yang diberikan dan ia menunjukkan keprihatinan wakil rakyat terhadap permasalahan yang dihadapi oleh penduduk.

Menurutnya, dalam kejadian ribut pada 23 Mei lalu, sebanyak 32 buah rumah milik penduduk kampung ini rosak akibat bencana ribut.

Beliau bagi pihak setiap mangsa berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh YB M Asojan walaupun jumlahnya tidak seberapa namun sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.

Tambahnya lagi, pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan UMNO Bahagian Ledang turut memberi bantuan kepada mangsa dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dijangka memberikan bantuan tidak lama lagi.

7 KAMPUNG TAK CUKUP TANAH KUBUR

TANGKAK: Penduduk di tujuh kampung di Serom berhadapan dengan masalah apabila Tanah Perkuburan Islam Kampung Serom 8, dekat sini, tidak mencukupi dan semua lotnya dijangka penuh dalam tempoh tiga tahun lagi.

Penduduk kawasan itu kini berdepan masalah berikutan ketiadaan tanah bersesuaian yang boleh dijadikan tapak tanah kubur berikutan kawasan sedia ada bersempadan dengan laluan utama dan ladang kelapa sawit.

Tanah perkuburan seluas kira-kira 0.8 hektar itu digunakan sejak beratus tahun lalu lagi iaitu sejak kampung berkenaan dibuka dan menjadi kawasan perkuburan kira-kira 5,000 penduduk termasuk enam lagi kampung berhampiran iaitu Serom 5, Serom 6, Parit Pulai, Sri Jaya, Parit Bunga Raya Hujung dan Simpang Lima Darat.

Ketua Kampung Serom 8, Hamzah Marzuki, berkata pihaknya menghadapi masalah kekurangan tanah yang boleh dijadikan tapak perkuburan baru berikutan tiada tanah wakaf yang bersesuaian selain kedudukan kubur sedia ada yang bersempadan dengan jalan raya dan ladang kelapa sawit.

Katanya, pihaknya merancang untuk mengambil tanah estet kelapa sawit seluas kira-kira empat hektar di kawasan kampung itu yang sesuai dijadikan tanah perkuburan sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang.

"Pada masa ini, kami menghadapi masalah kekurangan tanah kubur yang serius kerana kawasan yang kosong kini tinggal kurang suku ekar (0.1 hektar) menyebabkan saya menjangkakan dalam tempoh kurang tiga tahun lagi kami akan kehabisan tanah kubur," katanya.

Hamzah berkata, tanah perkuburan itu yang berusia beratus tahun iaitu sejak kawasan perkampungan mula dibuka menyebabkan banyak terdapat kubur lama sehingga ruang untuk kubur baru terhad.

Beliau berkata, masalah kekurangan kubur itu semakin meruncing berikutan tanah perkuburan sedia ada bukan sahaja digunakan untuk penduduk Kampung Serom 8, malah turut menjadi tanah perkuburan untuk penduduk di kampung sekitarnya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan berusaha untuk mengenal pasti tanah perkuburan baru yang lebih luas bagi kegunaan jangka panjang.

SUMBER: BERITA HARIAN, 13 JUN 2009

JOHAN JAAFAR: WHAT MAKES TRUE-BLUE MUARIANS TICK...

Johan Jaafar

After all, they are not “Johoreans” but “Muarians”. Johoreans are from Mars, they from Venus. There is a world of difference being a Muarian and a Johorean. Muarians seldom claim they are from the state of Johor anyway.

The latest reason for Muarians to gloat? The prime minister’s roots. Tell Muarians that Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hails from Pahang or, more precisely, Pekan. Wait a minute, take a look at his mother’s side. Tun Rahah Mohd Noah was born and bred in Muar. So Najib has as much a Muar root as he has the Pekan one.

Remember, Rahah came from an established Muar family. Her father, the late Tan Sri Noah Omar, was one of the first Muarians to study abroad. He went to Beirut, thus in Muar he was known as “Noah Beirut”. He later became chairman of Umno Johor and a member of the Federation Legislative and Johor State Council. One of the roads in Muar (Jalan Juned) was named after his grandfather.

Like many established Muar families, they were of Bugis decent, just like Tun Abdul Razak Hussein, whose ancestors came to Pahang from Sulawesi in 1722. When Razakwas sent to London to study law, he befriended the late Tan Sri Taib Andak who was six years his senior. Taib was married with four children then. He, too, came from an established Muar family.

Taib was Razak’s close confidant throughout his tenure as prime minister, which sadly was relatively short.

Taib, a career civil servant, became the first chairman of Felda and helped make Razak’s vision of providing “land for the landless and jobs for the jobless” a reality. An indefatigable crusader himself, Taib was instrumental in making Felda a success, especially in those difficult early years. For his tireless dedication to Felda, one of the schemes in Johor was named after him, Gugusan Taib Andak, near Kulai.

He later became chairman of Malayan Banking until 1981, the year the bank celebrated its 25th anniversary. He was at the helm since 1969. Such was the trust and close relationship between Razak and Taib over the years. Little wonder that when Razak was looking for a wife in the early 1950s, Taib played an instrumental role.

According to the book by Kalsom Taib, one of Taib’s daughters, it was Razak’s father, Datuk Hussein, who instructed Taib to help look for a girl suitable for Razak. According to the book, Hussein wanted Razak to marry “a Johorean”. The Muar girl Rahah was 18 at the time. As narrated in the book Taib Andak: In A Class Of His Own, Taib himself brought Razak to catch a glimpse of Rahah, who was then studying at the Convent School in Johor Baru. It was love at first sight.

According to the book, they were engaged for nine months. They were allowed to go out together only three times, even then they had to be chaperoned. The great day was Sept 4, 1952, when the akad nikah ceremony took place.

But Muarians being Muarians, they have a different version of events. Why place the first meeting between Razak and Rahah in Johor Baru? The local version has it that their first encounter was at a house belonging to Busu Zilah in Parit Bakar. See, Muarians are at their best when claiming credit for the legitimacy of being Muarians. After all, Muar (locals pronounce it “Mu-o”) is no ordinary town. Call it a pensioners’ abode, for it can be quiet and boring, and Muarians will take offence.

You think Muar is never a bustling centre or the intellectual capital of Johor? It had a railway service in the late 19th century. And Parit Jamil was home to one of the oldest printing presses the country had ever known.

Hey, the Malayan flag was raised only in 1957; Muar’s own flag had been around since 1905 or so, in fact, it is still in existence. It would not have been called Bandar Maharani for nothing. The Johor royalty have had their istana by the river since time immemorial. Muar is known as

Padang, too. If the record in the Sejarah Melayu (Malay Annals) is to be believed, the town was once known as Biawak Busuk, a resting place before Parameswara, the king from Singapura, decided to call Malacca home.

Muar is the birthplace of many of Johor’s illustrious sons and daughters. Many of them became political leaders and excelled in other endeavours.

Muarians will proudly tell you that to qualify to become the menteri besar of Johor, one has to come from Muar and be a former student of “Muar High” (er, Muar High School). All MBs in recent memory fit the bill — Tan Sri Othman Saad, Tan Sri Muhyiddin Yassin and Datuk Ghani Othman.

There was someone from another district who became an MB not too long ago but he did not last a term, for he was not from Muar. A new district, Tangkak, was born to split Muar, thanks to Ghani, who hails from Bukit Kangkar “on the other side of Muar”. Muarians don’t mind the departure.

They were never true-blue Muarians in the first place.

Imagine a people of their own uniqueness and style (or so they claim) living in an enclave they call Muar. They speak with a different accent, formulating their own lingo (the “ek”and “o”) and even having their own culinary specialties — asam pedas and mee bandung. Asam pedas outlets are big hits with outsiders. So, too, mee bandung, which ironically did not come from Bandung in Java. Who else takes satay in the morning, except for Muarians and, perhaps, Kuchingites.

Muarians love to tell stories about the grandeur of the town and its place in history. One thing about Muarians is that they are spinners extraordinaire. No PM has come from Muar but at least our deputy PM is a Muarian. And Muarian Noah fathered two daughters who later became
wives of PMs and was grandfather to the sixth PM of the country.

Talk about being proud, Muarians know the word better than most people in the country.



The writer, born in Muar, went to Muar High School, but resides in Petaling Jaya.


SOURCE: © NSTonline http://www.nst.com.my13 JUNE 2009

TERUS PELIHARA SEMANGAT PERPADUAN - MB

LEDANG 12 Jun - Masyarakat berbilang kaum di negeri Johor disaran untuk terus memelihara semangat perpaduan yang dinikmati sejak dahulu hingga kini bagi membolehkan keamanan terus terjamin.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, persefahaman yang telah diwujudkan antara kaum Melayu, Cina dan India di negeri ini perlu dikekalkan bagi memastikan Johor terus memacu kemajuan.

''Di negeri Johor, kita sudah lama hidup secara aman damai untuk menjadikan negeri kita tempat yang aman damai dan terus maju.

''Amat penting bagi kita semua untuk memelihara perpaduan yang dinikmati untuk masa hadapan sehingga ke anak cucu kita," katanya semasa merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pintu gerbang Kuil Subramaniar di Tangkak di sini hari ini.

Turut hadir ialah Exco kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir, M. Asojan, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri dan ADUN Tangkak, Goh Tee Tee selain Pengerusi Jawatankuasa kuil berusia 51 tahun itu, K. Gavinder serta setiausahanya, K. Balan.

Menteri Besar turut mengingatkan semua anggota masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan segelintir pihak yang cuba membawa perubahan di negara ini secara radikal tanpa menghormati keharmonian masyarakat yang telah selama ini wujud.

''Sama ada berasal dari kampung atau ladang, kesusahan hidup kita dahulu telah pun diatasi dan kita kini menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya.

''Lebih penting, kita sudah menerima antara satu sama lain dengan penuh rasa hormat dan percaya antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Abdul Ghani turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 daripada kerajaan negeri bagi membantu menampung kos pembinaan pintu gerbang Kuil Subramaniar serta memperluaskan dewan serbaguna kuil berkenaan.

Menurut beliau, komitmen kerajaan bukan sekadar membantu pembinaan masjid-masjid, malah memelihara kepentingan kaum lain yang memerlukan kuil dan tokong.:

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 JUN 2009

12 Jun 2009

SAJAK: PENYESALAN

PENYESALAN

Berada pada saat luput
keberanian bermaharajalela
hitam noda tak terkata.

Usaha usia muda
meletakkan harga diri
akan lumpuh suatu hari
saat ini memahami hakikat takdir.

Andai kembali saat itu
merungkai kesukaran cabaran
penuh ketabahan dan ketakwaan
dengan pengertian tanpa penyesalan
di penghujung jalan
merangkul kebahagiaan terkumpul.

Pasrah itulah keyakinan
mengikis ketebalan penyesalan
segala gerak anggota indera dan hati tanpa henti
pasti ada penghasilan
bekalan hari kemudian.

Md Ishak A Rahman
Tangkak, Johor.

SUMBER: SASTERA BERITA HARIAN 12 JUN 2009

140 SERTAI KAYUHAN MESRA BUKIT GAMBIR 2009

Naib Ketua UMNO Bahagian Ledang, Abdull Rahim Talib sedang membuat pelepasan peserta Kayuhan Mesra Bukit Gambir 2009, baru-baru ini.

Sebahagian peserta Kayuhan Mesra Bukit Gambir 2009 sedang melalui trek yang disediakan oleh pihak penganjur. (Foto: Adi Sabariman)

MUAR: Kira-kira 140 peserta termasuk ahli Kelab Sosial dan Sukan Berbasikal Maharani, (KSSBM), menyertai Program Kayuhan Mesra Bukit Gambir 2009, di Bukit Gambir, Ledang, kelmarin.


Program sempena cuti persekolahan itu dianjurkan kelab berkenaan bertujuan melahirkan bakat baru dalam sukan berbasikal di kalangan peminat di luar bandar.

Disamping itu, melalui program berkenaan dapat memperkenalkan Pekan Bukit Gambir yang kini rancak membangun dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan kerajaan dan swasta terutama kepada peserta luar kawasan.

Pengerusi KSSBM, Ng Keng Hwa, berkata peserta yang mengayuh basikal Mountain Bike (MTB) menjadikan jalan kampung di tengah kawasan pertanian dan dusun sekitar Bukit Gambir sebagai trek program ini.

Selain itu, katanya, melalui program ini dapat mengumpulkan peminat berbasikal MTB dari seluruh negara dengan menyertai kegiatan berfaedah sekali gus mengeratkan lagi persahabatan di kalangan mereka.

Beliau berkata, ia kerana program ini turut disertai peserta dari Johor Bahru, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu selain daerah Muar, Ledang dan Segamat.

"Turut menyertai program ini ialah seorang warga emas berusia 68 tahun dan peserta paling muda berusia 13 tahun.

"Selain mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat MTB, program ini turut menerima tajaan daripada beberapa syarikat swasta termasuk institusi kewangan," katanya ketika ditemui selepas acara melepaskan peserta program itu, di Bukit Gambir, Ledang, kelmarin. Acara pelepasan peserta disempurnakan oleh Naib Ketua Umno Bahagian Ledang, Abdul Rahim Talib

Keng Hwa berkata, antara sektor kewangan yang menaja program itu ialah cawangan Hongkong & Shanghai Bank Corporation (HSBC) Muar, Hin Lee Enterprise, Muar, Yuen Siang Sdn Bhd, Bio Green Plant Sdn Bhd, Cawanmas Beverage (M) Sdn Bhd dan Syarikat Seng Hin. Muar.

Beliau berkata, trek sejauh 45 kilometer itu bermula dari Pekan Bukit Gambir, menuju ke Sengkang, Kampung Termil, Felda Parit Haji Idris, Kampung Konggo, Sagil, Bukit Banjar, Seri Jaya, Serom 5 dan 8, Parit Pulai, Simpang 5 Darat - Parit Haji Idris - Parit Jarum Darat - Parit Ghani dan berakhir di Bandar Baru Bukit Gambir.

"Sepanjang laluan itu, peserta perlu melalui jalan kebun, mendaki dan menuruni bukit serta parit bagi menguji stamina dan kesabaran, ketahanan mental serta fizikal.

"Acara pelepasan peserta disempurnakan oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Ledang, Abdul Rahim Talib," katanya.

Beliau berkata, KSSBM ditubuhkan pada 7 Januari lalu dengan moto Berbasikal Ke Arah Gaya Hidup Sihat, kini mempunyai seramai 130 ahli, bercadang menganjurkan program ini empat kali setahun.

SUMBER: BERITA HARIAN, 12 JUN 2009

PENANTIAN SEDEKAD BERAKHIR


HAMIM Samuri (kanan) meneliti kerja-kerja pembinaan tali air konkrit di kawasan padi Teluk Rimba, Ledang, baru-baru ini.


LEDANG 11 Jun - Penantian selama 10 tahun para pesawah di Teluk Rimba, dekat sini untuk menikmati sistem pengairan yang lebih efisien bagi membantu meningkatkan hasil pengeluaran pertanian dijangka berakhir tidak lama lagi.

Ia ekoran pembinaan parit konkrit yang akan menyalurkan air ke sawah mereka.

Sistem perparitan konkrit tersebut akan memastikan kawasan padi mendapat bekalan air yang berterusan berbanding tali air tradisional yang menyaksikan 30 peratus daripada air disalirkan meresap ke dalam tanah.

Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan kerja-kerja pembinaan tali air konkrit yang telah dimulakan penghujung tahun lalu dan kini siap sebanyak 90 peratus.

Pembinaan sistem tali air baru di kawasan padi seluas 120 hektar itu hampir siap sepenuhnya dan kerja-kerja kini tertumpu bagi menyambungkan parit utama ke parit kecil.

Beliau berkata, pembinaan tali air tersebut menelan belanja RM1.5 juta daripada peruntukan kerajaan dan ia termasuk projek menaik taraf jalan di kawasan padi berkenaan.

"Manfaat daripada projek ini tentunya kepada 70 penanam padi di kawasan Teluk Rimba yang dijangka akan dapat meningkatkan hasil pengeluaran mereka.

"Mereka akan berkemampuan untuk mengeluarkan sebanyak lapan tan padi bagi setiap sehektar kawasan berbanding sekarang ini hanya enam tan," katanya ketika ditemui semasa melawat kawasan sawah padi Teluk Rimba, di sini baru-baru ini.

Menurut Hamim, dengan musim penanaman sebanyak dua kali setahun, pihaknya yakin pengeluaran padi di kawasan tersebut dapat ditingkatkan lagi.

"Sebenarnya, permohonan bagi projek tali air konkrit ini telah diusahakan sejak 10 tahun lalu, namun ia hanya diluluskan tahun lalu.

"Projek ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk meningkatkan hasil pertanian di samping menambah pendapatan masyarakat petani di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Teluk Rimba, Ismail Long berkata, para penduduk amat bersyukur dengan inisiatif kerajaan untuk merealisasikan pembinaan tali air konkrit di kawasan itu.

"Memang sebelum ini, berlaku masalah bekalan air tidak mencukupi sehingga menyebabkan kami terpaksa menggunakan pam air.

"Tetapi dengan adanya infrastruktur baru ini, saya rasa masalah pengairan yang selama ini menghantui para pesawah di sini akan dapat diatasi,'' katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 JUN 2009

PEMBINAAN TALI AIR DIJADUAL SIAP JULAI INI


Pembinaan tali air konkrit di kawasan padi Teluk Rimba, Ledang, berjalan mengikut jadual.

LEDANG 11 Jun - Para pesawah di Teluk Rimba di sini boleh menarik nafas lega kerana kerja-kerja pembinaan tali air konkrit di kawasan berkenaan berjalan lancar dan dijadual siap sebelum musim menanam padi pada hujung bulan depan.

Pembinaan tali air sepanjang 4.5 kilometer itu kini hanya menunggu kerja-kerja penyambungan kecil dari parit utama ke parit kecil.

Pembantu Teknik Tertinggi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Muar, Sa'dan Isnin berkata, hasil pemantauan pihaknya terhadap kontraktor yang dipertanggungjawabkan, mendapati segala kerja berjalan mengikut jadual ditetapkan.

"Kami sememangnya memahami yang kerja-kerja untuk membina tali air konkrit perlu dilakukan dalam tempoh singkat supaya tidak mengganggu aktiviti penanaman padi para penduduk.

"Oleh itu, kerja-kerja telah dilakukan dengan cepat dalam tempoh enam bulan ini supaya ia akan siap sebelum waktu menabur benih pada hujung Julai ini,'' katanya.

Sa'dan memberitahu, tali air berkenaan dibina dengan kedalaman 2.4 meter dan lebar 2.1 meter bagi membolehkan lebih banyak air disalirkan ke kawasan sawah.

"Projek pengairan kawasan sawah ini amat penting kerana bekalan airnya tidak boleh terputus-putus terutamanya ke blok-blok yang terpencil.

"Pengairan air ini dilakukan dengan menyambungkan air dari Sungai Kesang dan kami gunakan konkrit untuk memastikan jumlah air yang dibekalkan tidak berkurangan," katanya.

Katanya, selepas projek pembinaan tali air konkrit di Teluk Rimba selesai, pihaknya akan memperluaskan projek tersebut di kawasan padi di Sungai Balang, Muar.

"Walaupun Johor agak terkebelakang dari segi penggunaan tali air konkrit ini kerana tumpuan lebih banyak diberi di kawasan jelapang padi, namun usaha akan dipertingkatkan untuk membantu para pesawah di negeri ini," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 JUN 2009

09 Jun 2009

SM SAINS MUAR BAGS FIRST PRIZE IN FORUM

SEKOLAH Menengah Sains Muar emerged as the champion in the state-level secondary school Youth Forum Competition held at SM Teknik Kota Tinggi last week.

The SM Sains Muar team  with their trophies.
The SM Sains Muar team with their trophies.

The school team was represented by Form Five students Mohd Danial Abdul Rahman, Ruhaizat Rasliza, Siti Nooraida Hassan, Nur Farhanah Ehsan and Nor Faizah Baharuddin. Danial was also named as the best forum chairman.

The team was declared the winner after they displayed a high level of debating skills and articulation.

They chose to discuss on the subject of environmental pollution, which they believed was mainly caused by people's negative attitudes.

SOURCE: JOHOR STREETS, NST 9 JUNE 2009

08 Jun 2009

KARNIVAL USAHAWAN BELIA 25 - 28 JUN DI TANGKAK

JOHOR BAHRU 7 Jun - Bagi memberi pendedahan kepada golongan usahawan belia mengenai maklumat dan peluang perniagaan, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Johor akan menganjurkan Karnival Usahawan Belia peringkat negeri pada 25 hingga 28 Jun ini.

Karnival selama empat hari anjuran bersama Majlis Belia Daerah Ledang itu diadakan di Dataran Ledang, Tangkak.

Selain memberi pendedahan kepada usahawan belia mengenal pasti peluang pemasaran yang berkesan, program itu juga merupakan salah satu usaha untuk memperluaskan lagi perniagaan golongan berkenaan.

Ia juga bertujuan untuk mempromosikan produk keluaran usahawan belia di samping mewujudkan jaringan perniagaan antara mereka, kata JBS dalam kenyataan di sini.

Karnival bertema 'Satu Malaysia: Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan' itu diadakan sempena Majlis Perhimpunan Hari Belia peringkat negeri.

Sepanjang karnival tersebut, beberapa acara turut diadakan bagi memeriahkan program antaranya, pertandingan karaoke, kuiz, kursus dan seminar perniagaan, pameran serta jualan produk usahawan belia.

Justeru, JBS Johor menjemput orang ramai, khususnya yang tinggal berhampiran datang beramai-ramai me

meriahkan karnival berkenaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 8 JUN 2009