PENGUNJUNG SETIA

14 Jun 2009

MENJENGAH DUNIA FANTASI HASLIN

Ada orang membaca untuk lulus peperiksaan. Ada juga yang membaca untuk menambah pengetahuan dan tidak kurang juga yang menjadikan tabiat membaca sebagai hobi yang mengasyikkan.

Bagi Haslin Ismail, 25 tahun, membaca merupakan rutin harian yang mesti dilakukan dan yang paling digemarinya apabila membaca sesebuah novel.

Apabila selesai sahaja membaca, Haslin terus mencapai kanvas dan mula melukis berdasarkan bahan yang dibacaannya. Itulah keistimewaan pemuda yang berasal daripada Bukit Gambir, Muar, Johor ini.

Benar kata orang, ada orang melukis berpandukan apa yang dilihat. Sebahagiannya pula melukis berdasarkan apa yang dirasa. Maka sudah pasti kedua-duanya akan menghasilkan lukisan yang berbeza.

Bagi Haslin, lukisan kontemporari lebih disukai memandangkan lukisan jenis ini yang semakin meningkat. Walaupun ramai yang kurang senang dengan lukisan sebegini, ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Orang sering bertanya apa genre lukisan yang sering saya hasilkan. Selalunya saya akan memberitahu yang saya sangat menyukai surealisme.

“Saya suka berkhayal dan suka berada di alam khayalan. Cerita itu tetap sama dan kebiasaannya akan bermain dengan watak. Yang pastinya setiap watak lukisan ada watak, jalan cerita dan penceritaan,” jelas Haslin ketika ditemui semasa pameran Tingkap Tingkap Dunia Fantasi Haslin Ismail baru-baru ini.

Jelas Haslin, pameran solo yang diadakan di RA Fine Art Gallery, Kuala Lumpur ini merupakan satu pameran yang istimewa memandangkan dia masih lagi baru berkecimpung dalam dunia lukisan.

Jika diamati setiap inci lukisannya, pasti ramai yang kurang memahami apa yang cuba disampaikan. Setiap imej yang digambarkan kadangkala sukar diterjemah apatah lagi oleh orang biasa.

Malah ada sesetengah seniman yang langsung tidak dapat menerima lukisan yang dipaparkan dan ada yang memandang sinis sahaja hasil karyanya. Kebanyakan karya yang diketengahkan dalam pameran ini meliputi lukisan, lakaran, gabungan, media campuran, buku karya ciptaan dan instalasi.

Malah Haslin juga sebenarnya boleh dikategorikan sebagai kelompok seniman generasi baru yang mencipta karya-karya seni yang bersifat mirip new media evilism, misteri, fiksyen sains dan komik.

“Sukar memuaskan hati semua pihak. Saya melukis mengikut acuan saya dan bukannya orang lain. Mungkin hari ini ramai yang tidak dapat menerima apa yang cuba saya paparkan.

“Inilah yang dinamakan perjalanan hidup. Semua ini saya anggap sebagai cabaran untuk saya terus maju dan berjaya pada masa hadapan.

“Jika dilihat semasa awal pembabitan saya dahulu, memang perit. Banyak sangat ranjau yang terpaksa saya tempuhi untuk sampai ke tahap ini.

“Lima bulan pertama adalah masa yang amat sukar. Waktu itu hendak hidup pun susah. Tapi alhamdulillah, semua kesukaran itu dapat saya tempuh sehingga sekarang.

“Hanya pada tahun awal tahun 2008 sahaja barulah saya dapat hidup selesa. Nak kata boleh jadi kaya tidaklah. Tapi apa yang ada sekarang pun sudah cukup baik untuk saya,” jelas Haslin yang sudah menyertai lebih daripada 50 pameran di serata Malaysia.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh anak muda ini apabila memenangi satu pertandingan anjuran Balai Seni Lukis Negara dan British Council yang melayakkannya belajar di Universiti Robert Gordon, Scotland pada tahun 2006.

Walaupun hanya sempat mengikuti kursus pendek selama dua minggu sahaja, pengalaman yang dikutip dalam tempoh itu amat berguna dan tidak ternilai.

Perasaan teruja memang tidak dapat dibendung lagi. Bagi Haslin, dia merupakan insan yang bertuah yang terpilih ke sana walaupun dalam tempoh masa yang singkat.

“Banyak perkara yang saya pelajari di sana. Lagi jauh kita berjalan, lagi banyak pelajaran yang kita perolehi. Saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada pihak yang nampak bakat yang ada dalam diri ini.

“Sudah pasti impian saya kini mahu lebih berjaya seperti insan yang lain. Oleh itu saya telah membulatkan tekad untuk bekerja dengan lebih ‘rakus’ tanpa henti.

“Walau apa yang terjadi saya tetap akan melukis kerana inilah impian saya sejak kecil. Mana boleh mengalah dengan cepat. Kalau saya cepat putus asa, sampai bila pun saya tak akan berjaya seperti insan yang lain,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat dan melihat karya pelukis muda ini dengan lebih dekat boleh menghubungi 03 2161 7341 atau datang sendiri ke RA Fine Art Gallery, NO 6, Jalan Aman off Jalan Tun Razak, 55000 Kuala Lumpur.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 JUN 2009

Tiada ulasan: