PENGUNJUNG SETIA

12 Jun 2009

PENANTIAN SEDEKAD BERAKHIR


HAMIM Samuri (kanan) meneliti kerja-kerja pembinaan tali air konkrit di kawasan padi Teluk Rimba, Ledang, baru-baru ini.


LEDANG 11 Jun - Penantian selama 10 tahun para pesawah di Teluk Rimba, dekat sini untuk menikmati sistem pengairan yang lebih efisien bagi membantu meningkatkan hasil pengeluaran pertanian dijangka berakhir tidak lama lagi.

Ia ekoran pembinaan parit konkrit yang akan menyalurkan air ke sawah mereka.

Sistem perparitan konkrit tersebut akan memastikan kawasan padi mendapat bekalan air yang berterusan berbanding tali air tradisional yang menyaksikan 30 peratus daripada air disalirkan meresap ke dalam tanah.

Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan kerja-kerja pembinaan tali air konkrit yang telah dimulakan penghujung tahun lalu dan kini siap sebanyak 90 peratus.

Pembinaan sistem tali air baru di kawasan padi seluas 120 hektar itu hampir siap sepenuhnya dan kerja-kerja kini tertumpu bagi menyambungkan parit utama ke parit kecil.

Beliau berkata, pembinaan tali air tersebut menelan belanja RM1.5 juta daripada peruntukan kerajaan dan ia termasuk projek menaik taraf jalan di kawasan padi berkenaan.

"Manfaat daripada projek ini tentunya kepada 70 penanam padi di kawasan Teluk Rimba yang dijangka akan dapat meningkatkan hasil pengeluaran mereka.

"Mereka akan berkemampuan untuk mengeluarkan sebanyak lapan tan padi bagi setiap sehektar kawasan berbanding sekarang ini hanya enam tan," katanya ketika ditemui semasa melawat kawasan sawah padi Teluk Rimba, di sini baru-baru ini.

Menurut Hamim, dengan musim penanaman sebanyak dua kali setahun, pihaknya yakin pengeluaran padi di kawasan tersebut dapat ditingkatkan lagi.

"Sebenarnya, permohonan bagi projek tali air konkrit ini telah diusahakan sejak 10 tahun lalu, namun ia hanya diluluskan tahun lalu.

"Projek ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk meningkatkan hasil pertanian di samping menambah pendapatan masyarakat petani di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Teluk Rimba, Ismail Long berkata, para penduduk amat bersyukur dengan inisiatif kerajaan untuk merealisasikan pembinaan tali air konkrit di kawasan itu.

"Memang sebelum ini, berlaku masalah bekalan air tidak mencukupi sehingga menyebabkan kami terpaksa menggunakan pam air.

"Tetapi dengan adanya infrastruktur baru ini, saya rasa masalah pengairan yang selama ini menghantui para pesawah di sini akan dapat diatasi,'' katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 JUN 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tengoklah satu projek yg menyumbang bahan makanan pun ambil masa 10 tahun baru siap. dah cukup tua petani dikawasan tersebut menunggu. apatah lagi kalau projek yg bukan berkaitan makanan, cuba teka berapa lama agaknya baru siap? IKUT SUKA hati lah dia bila nak bagi. begitulah ,kalau ada kuasa gunalah sebaiknya untuk tolong orang kampung ni...dah tak ada kuasa esok ,baru iaia nak tolong siapa pun tak peduli lagi...banyak cara kalau nak tolong ni,tengoklah dgn mata hati....ikhlas, dan insaf...