PENGUNJUNG SETIA

28 Jun 2009

EKSPO KERJAYA TAWAR 7,000 PELUANG KERJA UNTUK WARGA JOHOR

LEDANG 27 Jun - Sebanyak 7,000 peluang pekerjaan terbuka luas kepada warga Johor yang menganggur menerusi penganjuran ekspo kerjaya di Danga City Mall, Johor Bahru hujung minggu ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sebanyak 6,000 peluang pekerjaan adalah dalam sektor swasta manakala bakinya di sektor awam.

Beliau berkata, ia sekali gus membuktikan bahawa walaupun negara dilanda krisis ekonomi global, peluang pekerjaan baru masih dapat diwujudkan.

"Sehubungan itu, kerajaan amat mengalu-alukan mereka yang masih menganggur di negeri ini untuk mengunjungi ekspo tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Kedai Kita milik Koperasi Peruncitan dan Pembekalan Ledang Berhad di Bukit Gambir di sini semalam.

Abdul Ghani turut menegaskan peluang pekerjaan di sektor awam adalah terbuka kepada mana-mana kaum dan bukan tertakluk kepada kaum bumiputera sahaja.

"Kami membuka permohonan kepada semua dan kami berharap mereka akan memanfaat sepenuhnya peluang yang terbuka luas ini," katanya.

Mengenai masalah penyesuaian kerja di kalangan lepasan universiti, Abdul Ghani berkata, ia dapat diatasi sekiranya mereka tidak memilih kerja.

"Mereka sepatutnya menghargai pilihan untuk dapat bekerja dan bukannya memilih untuk menganggur tanpa berbuat apa-apa.

"Daripada pekerjaan pertama itu sebenarnya mereka akan mendapat pengalaman dan kemahiran yang berharga untuk kerjaya mereka seterusnya," katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 28 JUN 2009

Tiada ulasan: