PENGUNJUNG SETIA

15 Jun 2009

PENGAJARAN BAHASA INGGERIS PERLU KREATIF

TANGKAK: Keupayaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah adalah isu yang banyak dibangkitkan selepas cadangan subjek itu menjadi syarat wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, pelbagai maklum balas diterima berhubung topik yang hangat diperkatakan itu selepas Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pandangan terus daripada masyarakat berhubung cadangan berkenaan.

Katanya, antara perkara yang dikhuatiri jika cadangan itu diluluskan, berhubung sistem pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan sama ada bersedia dilaksanakan dengan berkesan di sekolah luar bandar.

Dr Wee berkata, Kementerian Pelajaran juga tidak menafikan cabaran besar yang bakal dihadapi jika cadangan itu diluluskan ialah memastikan sistem pengajaran dan pembelajaran termasuk tenaga pengajar dapat dipertingkatkan.

"Teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih inovatif dan kreatif perlu bagi menarik minat pelajar untuk menguasai subjek itu dengan lebih baik.

"Kita tidak mahu Bahasa Inggeris hanya diajar seperti menghafal huruf abc... atau seperti membaca kamus, sebaliknya teknik sedia ada dipertingkat dengan lebih baik supaya berinovatif dan kreatif untuk menarik minat pelajar mendalami dan menguasai subjek berkenaan dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Perasmian Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Tokong Ong Kong di Sungai Senduk, Rawang, di sini, semalam.

Dr Wee berkata, berdasarkan kaji selidik berhubung cadangan itu, sebanyak 86 peratus pembaca News Straits Times (NST) dan 80 peratus lagi penonton Berita Edisi Mandarin di televisyen NTV7 bersetuju dengan pandangan berkenaan.

Malah, katanya, sejak topik itu dibincangkan, ramai yang meluahkan pandangan dan pendapat masing-masing di media massa terutama di ruangan khas untuk pembaca.

"Kita berharap lebih ramai lagi rakyat menyatakan pendirian dan pandangan masing-masing supaya satu keputusan yang terbaik akan dicapai," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 15 JUN 2009

Tiada ulasan: