PENGUNJUNG SETIA

01 Jun 2009

PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI DI NEGERI INI AKAN DISELESAIKAN

LEDANG, 1 Jun: Kerajaan Negeri memberi jaminan akan komited dalam usaha menyelesaikan isu projek perumahan terbengkalai di seluruh negeri ini bagi memastikan nasib pembeli terbela.
Isu pengguna ini adalah yang paling rumit untuk diselesaikan memandangkan ia berkaitan dengan pelbagai pihak termasuk pemaju, pembeli dan pihak bank.

Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman berkata, keadaan ini perlu dipandang serius dan ditangani agar pembeli tidak terus menanggung beban.

“Aduan sering diterima dari setiap daerah berhubung isu ini dan pihak kerajaan akan cuba membantu menyelesaikan masalah tersebut.

“Pembeli merasa kecewa kerana rumah yang dibeli tidak siap dibina walaupun deposit sudah dijelaskan.

“Selain itu, mereka turut berdepan dengan masalah terpaksa membuat bayaran pinjaman bulanan walaupun projek perumahan itu gagal disempurnakan,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup Seminar Kesedaran Pengguna dan Pelancaran Penubuhan Persatuan Pengguna Ledang di Dewan Serbaguna Bukit Gambir.

Katanya, projek perumahan Pekan Sungai Mati adalah antara yang sudah terbengkalai sejak 10 tahun dan kini masih di peringkat penyelesaian.

“Sepatutnya, isu ini sudah diselesaikan sejak lima tahun lalu tetapi memandangkan masalah di antara pemaju dan pihak bank ia masih tertangguh sehingga hari ini,” katanya.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof A. Rahman, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri dan wakil rakyat Bukit Gambir merangkap Exco Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, M. Asojan.

Turut berlangsung di majlis sama ialah Pelancaran Persatuan Pengguna Ledang dan penyampaian watikah perlantikan ahli persatuan kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penaja Persatuan Pengguna Ledang, Senator Ahmat Yusop.

Abdul Ghani berkata, beliau berharap agar persatuan pengguna yang ditubuhkan ini bakal memberi manfaat kepada penduduk Ledang dengan membantu menyalurkan informasi dan memberi kesedaran kepada pengguna mengenai hak dan tidak berlaku pembaziran ketika berbelanja.
foto l hairulabubakar l medkom
Lantik...Abdul Ghani menyampaikan watikah perlantikan ahli persatuan kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penaja Persatuan Pengguna Ledang, Senator Ahmat Yusop.

Tiada ulasan: