|
|
JOHOR BAHRU 29 Jun - "Saya sudah tak sabar nak mulakan kembara ini!"
Demikian luahan hati Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar Ismail mengenai Kembara Mahkota Johor (KMJ) Jelajah Pedalaman 2009 yang akan berlangsung 4 hingga 7 Julai ini.
Kerana terlalu teruja dan tidak sabar memulakan kembara edisi ke-11 itu, Tunku Mahkota telah membuat persiapan sejak enam bulan lalu.
"Segala persediaan telah dilakukan sejak enam bulan lalu. Saya tak sabar nak mulakan kembara ini," titah Tunku Ibrahim Ismail dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di Istana Pasir Pelangi di sini baru-baru ini.
Tunku Ibrahim Ismail turut menunjukkan bekalan makanan yang telah dibeli dan dibungkus bagi keperluan sepanjang kembara empat hari berkenaan.
Sebenarnya, bukan sahaja Tunku Ibrahim Ismail yang sudah tidak sabar mengadakan kembara berkenaan, malah seluruh rakyat jelata di negeri ini sentiasa menantikan setiap tahun bila acara itu akan diadakan.
Apa tidaknya, inilah masa dan peluang terbaik bagi rakyat mendekati keluarga diraja ini.
Sekali pandang, mungkin ramai yang berasa 'gerun' untuk mendekati Tunku Mahkota ini kerana statusnya sebagai anakanda Sultan Johor, namun setelah beberapa kali menemu bualnya sebelum ini, sebenarnya Tunku Ibrahim Ismail amat peramah, malah sering bergurau untuk menimbulkan suasana lebih mesra, tetapi tetap tegas dengan pendiriannya mengenai sesuatu isu.
Lebih menyerlahkan sifat kemesraan dan mudah berdamping dengan rakyat, Tunku Ibrahim Ismail yang diputerakan pada 22 November 1958, sering dilihat sanggup berpanas serta berhujan pada setiap siri KMJ yang diadakan sebelum ini.
Sikap mesra itulah menyebabkan rakyat begitu senang dan selesa setiap kali menemui dan bersalaman dengannya sehingga ramai yang melahirkan rasa kagum dan tersentuh dengan cara Tunku Mahkota mendekati rakyat.
Mengenai KMJ kali ini Tunku Ibrahim Ismail bertitah, ia akan mengambil masa kira-kira 80 jam atau empat hari tiga malam dengan jarak keseluruhan 1,030 kilometer.
Majlis pelepasan diadakan di Bukit Timbalan, Johor Bahru pukul 8 pagi pada 4 Julai dan penutupannya pada 7 Julai ini di Dataran Majlis Perbandaran Benut, Pontian pukul 12.45 tengah hari.
Program itu bakal disertai oleh 150 peserta dengan menaiki lebih 50 kenderaan pacuan empat roda (4WD).
Sepanjang kembara, rombongan yang terdiri daripada wakil rakyat dan pegawai kerajaan itu menjelajah ke kawasan pedalaman di seluruh 10 daerah di negeri ini.
Sebanyak 11 buah perkampungan Orang Asli dengan tiga buah kampung tradisi akan dilawati, antaranya kawasan Tadahan Air, Gunung Ledang, Tangkak dan Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi.
Tunku Mahkota mengakui perkara yang paling penting pada kembara kali ini adalah mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat di pedalaman terutamanya Orang Asli bagi menimbulkan kesedaran dan perubahan yang harus dilakukan mereka mengikut peredaran zaman.
"Bagaimanapun, ia tidak bermakna mereka turut menukar adat dan tradisi yang diamalkan sejak sekian lama. Itu saya tidak mahu mereka ubah.
"Biarlah mereka berubah dari segi sikap menerima pembangunan dan sebagainya," titah Tunku Ibrahim Ismail.
Selain itu, aspek pendidikan anak-anak Orang Asli turut akan diberi tumpuan bagi mengubah kehidupan mereka menjadi yang lebih baik.
Penyertaan wakil rakyat dan pegawai kerajaan pula bagi memberi ruang kepada mereka untuk melihat sendiri pembangunan yang telah dilaksanakan dan potensi lain yang boleh dilakukan untuk memajukan lagi sesuatu kawasan berkenaan, titah Tunku Mahkota.
Jadi, bagi seluruh rakyat Johor jangan lepaskan peluang bertemu dan beramah mesra dengan Tunku Mahkota yang berjiwa rakyat sempena KMJ kali ini.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 JUN 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan