junita@bharian.com.my
SHUKRI (kiri) memilih durian Muar yang dijual di Jalan Bentayan, Muar.
Fama ambil inisiatif beli durian Muar untuk dipasar ke JB dan Kuala Lumpur
MUAR: "Durian Muar sudah mula gugur, datanglah ke rumah" itu adalah antara kata-kata penduduk di daerah ini yang mempunyai dusun durian.
Bagaimanapun, keceriaan mereka untuk memperoleh hasil lumayan pada musim tahun ini, mungkin tidak menjadi kenyataan berikutan jumlah durian yang gugur hampir serentak menyebabkan berlaku lambakan buah berkenaan.
Durian Muar terutama dari daerah Ledang mulai gugur sejak minggu lalu dan jumlahnya yang banyak menyebabkan harganya menurun dengan cepat. Harga durian kampung kini hanya antara 50 sen hingga RM1 sekilogram, manakala harga durian klon sedikit terjejas antara RM2 hingga RM3 sekilogram.
Kejatuhan harga durian itu berlaku kira-kira seminggu selepas durian mulai gugur, selain keadaan cuaca panas yang menyebabkan orang ramai tidak gemar memakan durian.
Tinjauan Berita Harian mendapati deretan gerai menjual pelbagai jenis durian dapat dilihat di hampir semua jalan utama termasuk Jalan Muar-Tangkak, Jalan Tangkak-Segamat, Jalan Bukit Pasir, Jalan Temenggong Ahmad menghala ke Batu Pahat dan Jalan Muar-Melaka.
Berita Harian turut dimaklumkan bahawa antara durian Muar yang paling sedap ialah durian dari Tanjung Gading, Pagoh, Kampung Payamas dekat Tangkak, Bukit Bendar dan Kampung Sawah Laku.
Muar terkenal sebagai pengeluar durian kerana memiliki kebun durian yang luas sehingga ada pekebun yang mampu mengutip hasil durian lebih 500 kilogram sehari dan keadaan itu menjadi punca berlaku lambakan.
Lambakan durian itu menyebabkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengambil inisiatif membeli sendiri durian untuk dipasarkan ke kawasan luar daerah ini termasuk Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Pegawai Fama Daerah Muar dan Ledang, Abd Malek Ramli, berkata setakat ini pihaknya sudah membuka enam pusat pembelian durian dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada lima lagi bergantung kepada jumlah durian yang ada di pasaran.
"Kita membantu pekebun dengan membeli durian itu untuk dipasarkan ke luar daerah bagi memastikannya dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi," katanya.
Selain itu, katanya Fama turut mengadakan program eko-pelancongan iaitu membawa pelancong untuk menikmati durian di kebun yang terpilih, sekali gus memastikan harganya stabil.
Beliau berkata, program itu dimulakan sejak minggu lalu dengan lima bas pelancong dari Singapura dibawa ke daerah ini untuk menikmati durian dalam suasana kebun.
Katanya, pihaknya menjangkakan masalah lambakan durian berlaku sejak minggu ini dan keadaan itu dijangka berterusan berikutan semakin banyak durian gugur.
"Walaupun durian baru mula gugur sejak minggu lalu tetapi jumlahnya yang serentak dan banyak menyebabkan berlaku masalah lambakan durian di pasaran," katanya.
Seorang penggemar durian, Shukri Ahmad, 30, berkata kebanyakan penduduk memiliki dusun dan ada pula yang mendapat percuma daripada rakan menyebabkan ramai yang tidak membeli durian.
“Dengan berlaku lambakan dan kurang pembeli, masalah itu menyebabkan harga durian cepat jatuh,” katanya.
Katanya, beliau sendiri walaupun gemar makan durian tetapi jarang membelinya berikutan rakan atau saudara mara yang mempunyai dusun akan memberi percuma.
"Saya ada membeli durian sekali dua tetapi biasanya kawan dan saudara mara memberi secara percuma,” katanya.
Beliau berkata, jika dulu durian sukar diperoleh manakala harganya pula mahal, kini raja buah itu mudah diperoleh tanpa mengira musim selain harganya juga jauh lebih murah.
SUMBER: BERITA HARIAN, 18 JUN 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan