PENGUNJUNG SETIA

12 Disember 2009

DUA PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT

KUANTAN - Kegembiraan tujuh penunggang motosikal berkuasa tinggi berkonvoi dari Muar, Johor ke Kuantan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 86, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Ladang Simpai dekat pekan, kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Roslan Paimin, 43, seorang guru dari Bukit Gambir, Muar, Johor maut di tempat kejadian manakala rakannya Rosli Bunthing, 48, seorang kontraktor juga berasal dari Bukit Gambir disahkan meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah, Rompin.


Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Najid Jusoh berkata, seorang lagi penunggang, Hamzah Sa’amah, 35, dari Felda Institut Teratak Batu, Pasir Putih, Kelantan, patah lengan dan pergelangan tangan kanan serta cedera dirusuk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya pemandu kereta, Ramlah Endut, 41, dari Pontian, Johor turut parah dan menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah manakala dua anak lelakinya berusia 10 dan 14 tahun tidak alami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati, guru wanita memandu kereta jenis Proton Wira itu dipercayai dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Segamat.

“Apabila tiba di lokasi, pemandu terbabit dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan motosikal jenis Yamaha Virago 1000 cc yang ditunggang ketiga-tiga mangsa yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, empat lagi penunggang dipercayai sempat mengelak dan terselamat dalam nahas meragut dua nyawa dua rakan itu.

“Akibat pertembungan itu, tiga rakan terbabit tercampak ke atas jalan dan cedera parah menyebabkan Roslan mati di tempat kejadian, manakala Rosli menerima nasib sama selepas dihantar menerima rawatan di hospital,” katanya.

Katanya, jenazah mangsa dituntut keluarga sebelum dibawa pulang untuk urusan pengebumian selepas bedah siasat. Polis masih siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN PAHANG, 12 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: