zalifah@hmetro.com.my
TANGKAK: Sekumpulan 20 tetamu, termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun, diserang lebah ketika membuat persiapan dalam satu majlis perkahwinan di Kampung Melepang, Sagil di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, sekumpulan lebah menyerang sanak saudara pengantin perempuan, Saniah Abu Bakar, 26, menyebabkan enam ahli keluarga, termasuk dua adiknya, Noraini, 18, dan Zarinah, 23, serta seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Shahrul Iman Azman terpaksa diberikan rawatan pesakit luar di Wad Kecemasan Hospital Tangkak.
Saniah berkata, ketika kejadian dia sedang bersolek di dalam bilik pengantin dan terdengar jeritan di perkarangan rumahnya kerana sekumpulan lebah menyerang sanak saudara yang membuat persiapan sebelum majlis persandingan berlangsung, jam 11 pagi.
Katanya, dua tiga hari lalu, keluarganya ada menyembur racun serangga apabila nampak lebah di tiang lampu di hadapan rumahnya.
“Tidak sangka pula, sekumpulan lebah datang menyerang ketika majlis persandingan saya dan mungkin ada kaitan dengan kejadian dua tiga hari lalu.
“Kumpulan lebah itu banyak... terbang menghala ke rumah saya dan terus menyengat ahli keluarga yang sedang membuat persediaan di perkarangan rumah... nasib baik belum ada tetamu yang hadir,” katanya sambil menjelaskan majlis pernikahan sudah dijalankan pada sebelah malam kelmarin.
Sementara itu, bapanya Abu Bakar Omar, 71, berkata ketika kumpulan lebah itu datang menyerang rumahnya, dia duduk bersembang dengan saudaranya.
Katanya, dia hanya mendiamkan diri dan lebah itu tidak menyengatnya hanya berpusing-pusing di atas kepalanya.
“Saya diamkan diri dan tidak bergerak tetapi lebah berpusing-pusing di atas kepala sebelum pergi,” katanya tidak menyangka kejadian itu berlaku ketika majlis persandingan anak perempuan itu.
SUMBER: METRO AHAD, 13 DISEMBER 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan