PENGUNJUNG SETIA

20 Disember 2009

KETUA MASYARAKAT DISARAN AWASI REMAJA

LEDANG 19 Dis. – Ketua masyarakat di daerah ini disaran supaya mengawasi golongan remaja di kawasan mereka agar tidak terjebak dalam kancah gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah yang meningkatkan kadar jenayah daerah ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, pendekatan proaktif tersebut perlu diambil memandangkan peningkatan yang ketara dalam statistik kes jenayah yang melibatkan golongan remaja.

Jelas beliau, walaupun jumlah tersebut tidak membimbangkan, langkah pencegahan awal perlu diambil supaya kes jenayah yang merangkumi kes dadah, samun, pecah rumah, rempit dan curi motosikal dapat dibendung.

“Saya yakin ketua-ketua masyarakat akan dapat memainkan peranan ini dengan berkesan selaku penghubung atau pengantara antara polis dan masyarakat.

“Golongan remaja perlu mendapat didikan serta bimbingan agar tidak terjebak dengan sebarang kegiatan jenayah,” katanya pada majlis dialog bersama ketua-ketua masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di sini kelmarin.

Menurut Harun, beliau berpuas hati dengan kawalan keselamatan di daerah ini dengan setiap lapisan masyarakat memberi kerjasama baik kepada pihak polis.

“Alhamdulillah, keadaan adalah terkawal dan jenayah yang berlaku masih di peringkat rendah, namun saya ingin ingatkan setiap anggota masyarakat agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan jenayah.

“Sikap yang lebih berhati-hati dan tidak memberi peluang untuk penjenayah membolehkan kita tidak menjadi mangsa jenayah,” katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 20 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: