PENGUNJUNG SETIA

02 Februari 2010

RM5 JUTA BINA SEMULA BANGUNAN PENTADBIRAN JPJ MUAR


ABDUL Rahim Bakri (depan) meninjau sekitar bangunan pentadbiran JPJ cawangan Muar yang hampir musnah akibat kebakaran di Sungai Abong, Muar, semalam.


MUAR 1 Feb. - Kementerian Pengangkutan akan memperuntukkan kira-kira RM5 juta bagi membina semula bangunan pentadbiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Muar yang hampir musnah dalam kebakaran pada November lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, pembinaan semula bangunan berkenaan perlu segera dilaksanakan bagi keselesaan kakitangan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai.

"Saya akan menyediakan laporan mengenai perkara ini dengan seberapa segera untuk dibincangkan di peringkat tertinggi.

"Dianggarkan, peruntukan untuk meruntuhkan bangunan asal dan membina bangunan baru ini adalah sekitar RM5 juta namun ia bergantung kepada seberapa segera ia dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di bangunan JPJ tersebut di Sungai Abong di sini hari ini.

Hadir sama mengiringi beliau dalam lawatan itu adalah Pengarah JPJ negeri, Rosli Ramly; Ketua JPJ cawangan Muar, Azmil Zainal Adnan serta Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri.

Menurut Abdul Rahim, laporan siasatan pihak bomba terhadap kejadian kebakaran pada 30 November lalu didapati berpunca akibat litar pintas.

"Bangunan pentadbiran ini berusia hampir 30 tahun dan sistem pendawaian elektriknya adalah sistem lama yang sudah tidak lagi selamat.

"Sehubungan itu, bangunan asal ini tidak lagi boleh diguna pakai dan perlu diruntuhkan untuk dibina bangunan baru," katanya.

Katanya, berdasarkan kertas cadangan, bangunan baru yang akan dibina adalah setinggi tiga tingkat dan mampu menampung pertambahan kakitangan dari semasa ke semasa.

"Perkara ini sememangnya mendapat pertimbangan yang serius berikutan keadaan kurang selesa dan sempit yang terpaksa dihadapi para kakitangan di bangunan sementara," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 FEBRUARI 2010

Tiada ulasan: