MUAR 16 Feb. - Bagaikan adegan drama, orang ramai yang berada di sebuah stesen minyak di Pekan Pagoh di sini gempar menyaksikan seorang lelaki tiba-tiba mengejar pasangannya.
Situasi bertambah suspen apabila lelaki tersebut menikam wanita berkenaan di dada dengan sebilah pisau sebelum merodok perutnya sendiri.
Orang ramai yang tergamam melihat aksi ganas itu hanya tersedar ia bukan lakonan setelah darah membuak keluar dari dada mangsa dan perut suspek.
Difahamkan, segalanya berlaku apabila suspek tidak dapat menerima hakikat bahawa isterinya mahu bercerai.
Sebelum kejadian pada pukul 11.40 malam itu, kedua-duanya dikatakan bergaduh di dalam kereta di hadapan sebuah stesen minyak di pekan Pagoh di sini.
Mangsa, warga tempatan berusia 37 tahun kemudiannya meluru keluar dari kereta untuk mendapatkan bantuan setelah suspek berusia 41 tahun berang dengan permintaannya untuk bercerai.
Suspek yang merupakan warga Indonesia bertaraf penduduk tetap (PR) bagaimanapun dapat mengejar mangsa sebelum menikamnya.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pasangan tersebut dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar oleh orang awam untuk rawatan.
"Keadaan wanita itu kini dilaporkan stabil, namun suaminya kritikal," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, polis percaya punca kejadian disebabkan suspek tidak dapat menerima hakikat bahawa isterinya meminta cerai.
Pasangan yang menetap di pekan Pagoh itu mempunyai tiga orang anak berusia antara lima hingga 18 tahun.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 17 FEBRUARI 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan