MUAR 4 Feb. - Tiga remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melakukan khianat sehingga mengakibatkan kebakaran kecil di dua surau di sini pada 21 Januari lalu.
Remaja berusia antara 16 hingga 17 tahun itu, mengaku tidak bersalah dan memohon supaya dibicarakan.
Mereka didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan niat untuk menyebabkan kebinasaan rumah ibadat itu.
Perbuatan khianat tersebut didakwa dilakukan ke atas Surau Parit Beting, Jalan Salleh di antara pukul 12.30 tengah malam dan 1 pagi. Manakala Surau Silaturahim, Jalan Ismail pula antara pukul 2 hingga 3.15 pagi hari yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Sementara itu, salah seorang daripada remaja terbabit turut didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu berhubung kebakaran tersebut.
Laporan didakwa dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar pukul 3.54 pagi, hari kejadian.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Majistret Lydiana Mansur membenarkan setiap tertuduh diikat jamin berjumlah RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Pendakwaan ke atas mereka yang tidak diwakili peguam, dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar.
Dua daripada remaja terbabit dibebaskan setelah membayar wang jaminan manakala seorang lagi ditahan sehingga tarikh sebutan pada 6 April ini setelah gagal membuat bayaran.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 05 FEBRUARI 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan