PENGUNJUNG SETIA

20 Januari 2011

KERA MIANG GANGGU WANITA

LEDANG - Seramai 250 penduduk di Parit Tanjung Pinang Kesang Laut, di sini, dibelenggu ketakutan apabila terpaksa berhadapan gangguan kera liar yang semakin bermaharajalela di kampung berkenaan sejak kebelakangan ini.

Penduduk mendakwa dianggarkan kira-kira 100 kera mula menyerang kampung itu sejak dua tahun lalu.

Walau bagaimanapun, gangguan itu semakin ketara sejak setahun lalu sehinggakan ada kumpulan kera yang semakin berani mengganggu penduduk.

Penduduk, Mohd Zubir Md Salleh, 28, berkata, sejak gangguan daripada kera liar berkenaan penduduk di kampung itu terpaksa berhati-hati kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga.

Menurutnya, pada peringkat awal, kera terbabit sekadar berkeliaran di sekitar luar rumah penduduk di sini.

“Namun, lama-kelamaan ia semakin berani memasuki rumah penduduk dan menyelongkar makanan di dalam tudung saji.

“Senario ini telah menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk kerana boleh mengancam keselamatan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zubir berkata, sejak kehadiran kera itu penduduk juga terpaksa menanggung banyak kerugian apabila anak ayam ternakan mereka musnah dimakan haiwan liar berkenaan.

Katanya, selain itu, penduduk juga terpaksa berputih mata terutamanya ketika musim buah-buahan apabila hasil tanaman mereka rosak angkara kumpulan kera itu.

“Pelbagai usaha dilakukan penduduk untuk mengatasi masalah ini, tetapi tidak berhasil dan sebaliknya kera ini semakin membiak.

“Dipercayai pokok buluh yang ada di kampung ini menjadi sarang haiwan berkenaan membiak,” katanya.

Mohd Zubir berkata, lazimnya kera berkenaan bergerak secara berkumpulan dan waktunya menyerang rumah penduduk juga tidak menentu.

Katanya, ada sekumpulan kera yang agak agresif dan berani mengancam semula penduduk jika mereka mengambil tindakan menghalau kera berkenaan.

“Lebih membimbangkan apabila kumpulan kera ini sangat berminat mengganggu penduduk wanita sehinggakan ada sebahagiannya yang takut untuk tinggal bersendirian di rumah.

“Kami bimbang haiwan liar ini akan bertindak lebih ganas jika bilangannya semakin tidak terkawal,” katanya.

Mohd Zubir berkata, justeru itu, dia meminta jasa baik pihak berkenaan supaya dapat memberi perhatian dan mengambil langkah proaktif bagi membantu serta menyelesaikan masalah gangguan kera liar sejak sekian lama di kampung berkenaan sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku kepada penduduk di sini.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 20 JANUARI 2011

Tiada ulasan: