PENGUNJUNG SETIA

25 Januari 2011

PERSATUAN TERUS REALISTIK

LEDANG - Persatuan Kuil Subramaniam Tangkak terus realistik apabila menjadikan aktiviti kebajikan sebagai agenda utamanya bagi membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

Terbaru, persatuan berkenaan telah menyampaikan sebanyak 70 sumbangan berupa hamper kepada 13 penghuni Pusat Kebajikan Masyarakat Tangkak dan 57 pesakit Hospital Tangkak sempena sambutan Hari Ponggal, baru- baru ini.

Pada masa sama, persatuan itu turut mengadakan kempen derma darah yang melibatkan ahli persatuan dan orang awam di Hospital Tangkak.

Pengerusinya, K Govinden berkata, aktiviti berkenaan adalah acara tahunan persatuan ini dan akan diteruskan pada masa akan datang.

Menurutnya, aktiviti kebajikan itu diadakan bagi menterjemahkan keprihatinan persatuan ini terhadap kesusahan yang dihadapi sebahagian kumpulan masyarakat.

“Dengan cara ini secara tidak langsung menjadikan persatuan ini lebih dekat dan mesra dengan masyarakat setempat.

“Meskipun sumbangan yang diberikan sempena Hari Ponggal tetapi penerimanya tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ia sejajar dengan konsep Gagasan 1Malaysia dan telah dipraktikkan oleh persatuan berkenaan semenjak konsep itu diperkenalkan.

Manakala kempen menderma darah pula dilakukan berikutan senario masalah kekurangan bekalan darah Tabung Darah Negara.

“Secara tidak langsung ia dapat memupuk kesedaran orang ramai supaya tidak pentingkan diri kerana pada masa akan datang kita atau ahli keluarga akan memerlukan darah.

“Kami berhasrat untuk menggalakkan lebih ramai belia terlibat dalam kempen derma darah kerana pada masa ini bilangan yang menderma sangat terhad,” katanya.

Penerima, Tan Kee Sui, 75, yang dirawat di Hospital Tangkak berasa terharu dengan kunjungan persatuan berkenaan dan menerima sumbangan disampaikan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 25 JANUARI 2011

Tiada ulasan: