PENGUNJUNG SETIA

05 Januari 2011

PENUNTUT UTeM DIHEMPAP POKOK

LEDANG – Kegembiraan 14 penuntut Universiti Teknikal Melaysia Melaka (UTeM), yang berkelah di Pusat Perkelahan Gunung Ledang, bertukar menjadi detik mencemaskan apabila dua cedera setelah dihempap sebatang pokok di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, Muhamad Hafizudin Abdullah, 21 dan Salman Sabri Al-Farisi, 21, dihempap pokok semasa sedang beristirehat di pusat perkelahan itu selepas mandi manda bersama-sama 12 rakannya yang lain.

Ketika menceritakan detik tersebut, Muhamad Hafizudin berkata, kejadian berlaku sangat pantas seiring dengan angin kencang di kawasan terbabit.

Menurutnya, dia terdengar bunyi yang sangat kuat dan nampak sebatang pokok tua yang besar tumbang ke arahnya.

“Saya seperti tidak boleh berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat pokok ini tumbang ke arah saya.

“Selepas dahan pokok ini jatuh mengenai badan, barulah saya sedar dan berusaha untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, perancangan untuk berkelah bersama rakan-rakan lain sudah lama dirangka dan ia dibuat pada hari kejadian (semalam) memandangkan kelapangan masa yang ada.

“Sebaliknya, perkelahan kami kali ini memberikan satu pengalaman yang menakutkan dan tidak menyangka insiden ini akan berlaku.

“Tindakan pantas rakan-rakan lain meminta pertolongan daripada pihak pengurusan pusat peranginan berkenaan telah menyelamatkan kami,” katanya

Kedua-dua penuntut jurusan Sains Komputer yang mengalami kecederaan itu dibawa ke Hospital Tangkak kira-kira jam 3.45 petang.

Muhamad Hafizudin cedera pada bahagian tangan kanan dan dirawat di hospital berkenaan sebagai pesakit luar.

Manakala, Salman Sabri patah tulang rusuk kanan dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 5 JANUARI 2011

Tiada ulasan: