PENGUNJUNG SETIA

30 Januari 2011

LARANGAN PEMBAKARAN KEKAL

LEDANG - Larangan pembakaran mercun dan bunga api sempena sambutan Tahun Baru Cina pada 3 Februari depan kekal seperti tahun yang sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintenden Harun Idris berkata, larangan berkenaan bertujuan melindungi orang ramai daripada mengalami sebarang kecederaan, kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda akibat pembakaran mercun dan bunga api.

Menurutnya, bunga api yang diberi pengecualian juga masih sama iaitu jenis Pop-Pop kerana bunga api jenis ini tidak mengandungi bahan membakar serta tidak membahayakan orang ramai.

“Bagaimanapun, orang ramai diberikan kelonggaran untuk membakar bunga api dan mercun pada perayaan Tahun Baru Cina jika mereka mempunyai surat kebenaran daripada polis.

“Langkah ini bertujuan mengelakkan timbulnya pertikaian daripada pihak tertentu yang mengatakan polis tidak mengambil sebarang tindakan berhubung aktiviti pembakaran mercun dan bunga api,” katanya ketika Berdialog Bersama 20 Ketua Masyarakat Cina Daerah Ledang Sempena Perayaan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, kelmarin.

Beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada orang awam yang ingkar arahan berkenaan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 kerana didapati memiliki, mengilang atau mengimport mercun atau bunga api.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua- duanya,” katanya.

Harun berkata, Tahun Baru Cina akan berlangsung dengan meriah dan bermakna jika semua pihak mematuhi larangan berkenaan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beliau menegaskan polis akan mempergiatkan kawalan keselamatan termasuk rondaan di kawasan kediaman penduduk ketika perayaan Tahun Baru Cina bagi mengelakkan kejadian pecah rumah.

“Orang ramai dinasihatkan untuk memaklumkan kepada polis sebelum mereka pulang ke kampung halaman masing-masing semasa cuti perayaan Tahun Baru Cina.

“Ia untuk memudahkan polis menjalankan tugas pemantauan dan pencegahan jenayah di kawasan perumahan yang ditinggal kosong.

“Dengan cara ini mereka boleh meninggalkan kediaman dengan tenang tanpa memikirkan soal keselamatan harta benda,” katanya.

Beliau berkata, anggota polis sentiasa bersiap sedia 24 jam dan bertindak ke atas segala maklumat orang ramai berikan sebelum meninggalkan rumah.

“Kadar jenayah pecah rumah pada siang dan malam hari serta kecurian khususnya di musim perayaan dapat dibendung dengan berkesan sekiranya orang ramai bekerjasama dengan polis,” katanya.

Harun berkata, di samping itu, selain bantuan daripada polis, masyarakat juga perlu mengamalkan sikap ‘jaga tepi kain orang’ bagi mengurangkan kadar jenayah di kediaman masing-masing untuk kebaikan bersama.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 30 JANUARI 2011

Tiada ulasan: