MUAR: Persatuan Peniaga Kelapa Sawit Daerah Muar/Ledang meminta ahlinya tidak membeli buah sawit muda yang dijual oleh pekebun kecil bagi mengelakkan mereka menanggung kerugian.
Pengerusinya, Mohd Janis Abu Bakar, berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sudah mengeluarkan arahan melarang peniaga buah kelapa sawit membeli atau menerima buah muda daripada pekebun kecil sebaliknya hanya membeli buah masak saja.
Katanya, kerjasama antara pekebun kecil dengan peniaga perlu bagi memastikan hanya buah masak dan berkualiti saja yang dipetik bagi mendapatkan kadar perahan serta harga yang baik.
“Kami meminta kerjasama pekebun kecil sama ada yang memetik sendiri atau mengupahkannya dapat menuai buah kelapa sawit yang masak saja dan jangan memetik buah yang masih muda atau mengkal.
“Sekiranya terdapat pekebun kecil yang menuai buah muda, kami akan meninggalkannya di kebun dan hanya memilih buah masak saja untuk dihantar ke kilang pemproses,” katanya kepada Edisi Johor, di sini.
Mohd Janis berkata, pihak kilang akan memilih buah masak saja yang dihantar untuk diproses manakala buah muda dikembalikan kepada peniaga untuk dilupuskan selepas penggredan dijalankan.
Katanya, MPOB menempatkan pegawainya di setiap kilang bagi memantau dan memastikan buah kelapa sawit yang dihantar oleh peniaga untuk diproses mematuhi Manual Penggredan Buah Kelapa Sawit sebagaimana ditetapkan agensi itu.
Menurutnya, penuaian buah muda yang dilakukan pekebun kecil bukan saja merugikan mereka malah boleh merosakkan pokok kelapa sawit itu sendiri.
“Buah kelapa sawit yang belum masak tidak sepatutnya dituai di mana buah muda tidak menyumbang kepada pengeluaran minyak dan hanya buah masak dengan sekurang-kurangnya terdapat beberapa biji lerai boleh dipetik.
“Kualiti buah yang baik dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER) yang diproses dan memberikan pulangan harga yang lebih baik yang bakal diperoleh peniaga dan pekebun kecil,” katanya.
Mohd Janis berkata, ahli persatuan sentiasa bekerjasama dengan MPOB dalam memberi penerangan dan nasihat kepada pekebun kecil menerusi kempen tidak berurusniaga buah muda.
Katanya, apabila pekebun kecil memetik buah muda atau masih mengkal, peniaga terpaksa meninggalkannya di kebun dan ini akan merugikan mereka bukan saja dari segi pendapatan malah kesuburan pokok juga terjejas.
SUMBER: BERITA HARIAN, 15 MAC 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan