PENGUNJUNG SETIA

31 Mac 2011

PROMOSI HARI KHAMIS BAWA TUAH

Ahli Jawatankuasa Biro Promosi Peniaga Pasar Tani Kekal Bukit Gambir bersama pemenang di Port Dickson, Negeri Sembilan.

LEDANG – Tiga pemenang bertuah yang merupakan pelanggan tetap Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir diraikan dengan pakej percutian di Institut Latihan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Biro Promosi, Ameer Abd Aziz berkata, kemenangan tersebut turut diraikan bersama Biro Promosi Jawatankuasa Peniaga Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir.

Menurutnya, pakej percutian selama dua hari satu malam membolehkan pemenang bercuti bersama-sama keluarga masing-masing dalam cabutan bertuah yang diadakan sempena Promosi Hari Khamis anjuran biro itu pada penghujung tahun lalu.

“Tiga pemenang bertuah ini ialah Missiri Misti Bawi, Jamaludin Hashim dan Maniseh Jiman.

“Pakej percutian ini disediakan pihaknya sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaan yang dijalankan di kompleks berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, melalui Promosi Hari Khamis setiap minggu, pihaknya mengadakan pelbagai aktiviti dalam usaha menarik pelanggan di samping memperkenalkan kompleks itu kepada orang ramai termasuk menyediakan hadiah pakej percutian untuk pengunjung bertuah.

“Pemenang pakej percutian itu berasa seronok apabila dapat bercuti bersama keluarga masing-masing, malah kami turut meraikan mereka dengan pelbagai acara seperti karaoke dan sukaneka bagi menceriakan suasana percutian itu,” katanya.

Ameer berkata, program Promosi Hari Khamis akan diteruskan sepanjang tahun ini berikutan sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan di sini.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan dalam promosi pada kali ini dan pihaknya berusaha mengetengahkan budaya warisan Melayu seperti pantun, syair, dam haji dan congkak.

Sementara itu, penyelaras program, Royhamirul Elias berkata, dengan kelainan itu dapat memberikan nafas baru kepada Promosi Hari Khamis.

“Secara tidak langsung dapat menarik generasi muda khususnya pelajar sekolah mengenali serta menaikkan martabat seni pantun dan permainan tradisional.

“Kompleks Pasar Tani ini bukan hanya untuk penduduk setempat mendapatkan barangan keperluan harian saja, tetapi ia menjadi pusat sehenti bagi memperkenalkan budaya bangsa serta program kemasyarakatan dengan kerjasama pihak pengurusannya,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 31 MAC 2011

Tiada ulasan: