Othman Abd Kadir (kanan) menyampaikan sumbangan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri kepada Munirah Istaal (tengah) sambil diperhatikan anaknya, Mohd Shahaimi Abdullah (kiri) yang rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Bunga Raya Luar, Bukit Gambir.
LEDANG: Seorang ibu tunggal hanya sempat menyelamatkan kad pengenalannya manakala dokumen penting lain milik anak lelaki serta peralatan lain musnah apabila kediaman mereka hangus dijilat api dalam kejadian jam 3.30 pagi di Kampung Parit Bunga Raya Luar dekat Bukit Gambir, di sini.
Dalam kejadian itu, Munirah Istaal, 44, terjaga dari tidur apabila dikejutkan anaknya, Mohd Shahaimi Abdullah, 22, berikutan api mula marak dari bahagian tengah rumah papan untuk menyelamatkan diri.
Mohd Shahaimi berkata, sebelum tidur dia ada terbau benda hangit di ruang tengah rumah dan puas mencari puncanya tetapi tidak menjumpai lalu masuk tidur di ruang tamu.
“Malam tadi saya tidur jam 2 pagi selepas memeriksa punca bau hangit bersama sepupu, Mohd Junaidi Morsidi, 21 dan seorang kawan. Kebiasaannya saya tidur lewat selepas menonton televisyen dan bersembang dengan rakan.
“Saya terjaga dari tidur bila terasa bahang panas di tempat tidur dan mendapati api mula marak di bahagian atas rumah dan bergegas mengejutkan emak, sepupu dan kawan untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, Mohd Junaidi yang dalam keadaan panik terjun melalui tingkap untuk menyelamatkan diri manakala beliau berusaha menyelamatkan barangan yang belum terbakar.
Beliau hanya sempat mengeluarkan dua tong gas di dapur dan dua motorsikal dan apabila ingin menyelamatkan dokumen dan telefon bimbitnya api marak dan merebak ke seluruh rumah papan itu.
Katanya, ibunya mendapatkan pertolongan jiran untuk menghubungi Bomba dan Penyelamat Tangkak namun sejurus pasukan bomba tiba api telah memusnahkan keseluruhan rumah hanya dalam tempoh 15 minit.
Munirah yang masih terkejut dengan kejadian itu melahirkan rasa syukur, beliau, anak dan sepupunya terselamat walaupun rumah pusaka dan peralatannya musnah sama sekali.
Buat sementara waktu beliau dan anak menumpang di rumah jiran manakala Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri yang diberitahu mengenai kejadian itu melawat mangsa dan menghulurkan sumbangan melalui Pembantu Khasnya, Othman Abd Kadir sebagai melahirkan rasa simpati dan berharap keluarga itu dapat bersabar dengan bencana yang menimpa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan