PENGUNJUNG SETIA

24 Julai 2011

3,674 KEMALANGAN PEKERJA TAHUN LALU

LEDANG 23 Julai - Sebanyak 3,674 kes kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang tahun lalu semasa pergi dan balik ke tempat kerja serta perjalanan pergi dan balik untuk makan tengah hari.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Ismail Abi Hashim berkata, kemalangan tersebut rata-ratanya membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal dan kebanyakan mangsa adalah berusia antara 16 dan 24 tahun.

Menurutnya, Perkeso negeri membayar pampasan berjumlah RM5.1 juta bagi kes kemalangan untuk pergi dan balik ke tempat kerja, manakala RM1.2 juta bagi perjalanan pergi dan balik untuk makan tengah hari.

"Jumlah kemalangan yang tinggi ini amat membimbangkan dan kami berharap kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan pekerja dapat ditingkatkan," katanya selepas merasmikan Kempen Perjalanan Selamat Ke Tempat Kerja di kilang ST Microelectronics Sdn. Bhd., Tanjung Agas di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Pelaksanaan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Nazzair Nadimon serta Pemangku Pengurus Besar ST Microelectronics, Wee Shern Yoong dan Pengurus Perkeso cawangan Muar, Jamalluddin Mohammad.

Ismail berkata, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,848 kes kemalangan berlaku.

"Kami akan menjalankan kempen keselamatan secara berkala di seluruh negeri supaya budaya pemanduan berhemah dapat dipupuk dan seterusnya mengurangkan kadar kemalangan," katanya.

Dalam kempen keselamatan yang diadakan ST Microelectronics itu, para pekerja kilang terbabit diberi pendedahan mengenai aspek pemanduan berhemah oleh pegawai JKJR serta polis dengan diagihkan topi keledar dan jaket pantulan cahaya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 24 JULAI 2011

Tiada ulasan: