LEDANG 12 Julai - Pergerakan Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedia menjadi perisai pada bila-bila masa untuk mempertahankan keselamatan dan kesejahteraan negara.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Wanita UMNO dan BN serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain bukan sahaja bersedia, malah mempunyai cara tersendiri untuk mempertahankan negara.
"Jangan ambil mudah kekuatan kita. Kita cukup bersedia dan akan menjadi benteng dan perisai kepada negara. Kita mampu kerah semua Wanita UMNO dan BN untuk berarak, tetapi pucuk pimpinan menasihati kita supaya tidak melakukannya," katanya pada Majlis Pelancaran Skuad Sayang Parlimen Pagoh di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahmat, Parit Raja dekat sini hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh. Turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh, Senator Noriah Mahat.
Skuad Sayang berkenaan turut menerima sebuah van sumbangan Mutiara Motors yang disampaikan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Ahmad Kemin.
Pada majlis itu, Noorainee turut menyampaikan sumbangan ihsan Bakti kepada 11 keluarga mangsa ribut Kampung Tulang Gajah dekat sini baru-baru ini.
Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Skuad Sayang dan Wanita BN menggunakan pendekatan berhemah dan berdisiplin dalam mendekati masyarakat.
"Kita berjuang berlandaskan undang-undang dan berhemah. Wanita UMNO dan BN juga mesti menggunakan strategi terkini untuk memenangi hati masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, Noriah berkata, Skuad Sayang Parlimen Pagoh sentiasa bergerak aktif membantu golongan yang memerlukan seperti orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan penduduk miskin di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini skuad tersebut mempunyai lebih 1,500 ahli Wanita UMNO.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan