nadirah@hmetro.com.my
KULAIJAYA: Seorang bekas amil dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah wang zakat fitrah dan kutipan derma anak yatim berjumlah RM19,510 pada Ogos 2010.
Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman itu terhadap Redzuan Mohd Said, 28, yang juga bekas imam sebuah masjid di sini selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.
Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang hasil kutipan zakat fitrah dan kutipan derma anak yatim itu untuk kegunaan sendiri.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pasar raya di sini, antara 16 Ogos 2010 hingga 4 September 2011.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij) sebagai amil fitrah bagi mengutip zakat fitrah dan derma anak yatim di daerah ini.
Tertuduh bagaimanapun gagal menyerahkan wang kutipan itu kepada Pejabat Agama Islam Daerah serta Maij dan dengan itu dia dianggap melakukan pecah amanah jenayah.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan juga denda.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, A Karthiyayini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Zaiton mengarahkan hukuman penjara dijalankan bermula pada tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 28 Oktober lalu.
Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan bekas amil fitrah diburu polis selepas didakwa gagal menyerahkan kembali kutipan wang zakat tahun lalu.
Suspek yang sudah berumahtangga menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya pada 28 Oktober lalu, sehari selepas wajahnya disiarkan media.
SUMBER: HARIAN METRO, 02 NOVEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan