PENGUNJUNG SETIA

02 November 2011

PEMANCING UDANG DITEMUI MATI LEMAS

LEDANG 1 Nov. – Misteri kehilangan seorang pemancing sejak awal pagi semalam terjawab apabila mayatnya ditemui terapung di Sungai Muar berhampiran Jambatan Kedua, Tanjung Agas di sini hari ini.

Mayat Aman Endin, 64, ditemui pukul 8.15 pagi oleh seorang pemancing.

Menurut anak mangsa, Jamal Aman, 35, dia bersama bapanya keluar dari rumah datuknya di Parit Bunga kira-kira pukul 12 tengah malam semalam untuk memancing udang dengan menggunakan dua sampan berlainan di lokasi yang berbeza.

“Biasanya bapa memancing di kawasan Jeti Nelayan Sabak Awor dan saya memancing berhampiran Jambatan Kedua. Kami biasanya akan berjumpa semula di rumah datuk sebelum pukul 5 pagi,” katanya.

Bagaimanapun, dia mula bimbang apabila ayahnya tidak muncul dan lebih terkejut apabila diberitahu oleh seorang rakan pukul 11 pagi semalam yang menemui bot ayahnya terapung berhampiran Tanjung Emas dengan telefon bimbit serta kad pengenalan di atas bot itu.

“Saya dan rakan-rakan kemudian mencari ayah di sekitar Sungai Muar namun gagal dan kemudiannya membuat laporan polis pukul 5 petang,” katanya.

Mayat bapanya ditemui terapung berhampiran Jambatan Kedua, menghadap Jeti Parit Bunga oleh seorang pemancing kemudian dibawa naik oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam yang tiba di tempat kejadian setelah dimaklumkan.

Jamal memberitahu, bapanya yang tidak menghidap penyakit kronik serta pandai berenang mungkin terjatuh ke dalam sungai ketika memancing.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Supritendan Salleh Abdul Razak memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia kerana lemas.

Sementara itu di Bukit Pasir, Muar, seorang ahli perniagaan ditemui mati dalam keretanya di kawasan belakang kedainya.

Lau Chong Ann, 47, ditemui mati di tempat duduk pemandu. Turut ditemui, periuk berisi arang di tempat duduk belakang. Mayatnya ditemui isterinya yang mencari mangsa setelah menerima panggilan yang memberitahu suaminya tidak ke tempat kerjanya di Singapura.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli memberitahu, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: