PENGUNJUNG SETIA

02 November 2011

BEKAS AMIL DIJEL 4 TAHUN


REDZUAN Mohd. Said (tengah) diiringi dua anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Kulaijaya, Johor semalam.


KULAIJAYA 1 Nov. – Seorang bekas amil dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pecah amanah wang zakat bernilai RM19,510 pada Ogos tahun lalu.

Majistret Zaiton Anuar membuat keputusan itu terhadap Redzuan Mohd. Said, 28, yang merupakan bekas imam sebuah masjid di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang hasil kutipan zakat fitrah dan kutipan derma anak yatim sebanyak RM19,510 dengan menyalahgunakan wang tersebut untuk kegunaan sendiri di Pasaraya Tesco, Kulaijaya antara 16 Ogos 2010 hingga 4 September 2011.

Mengikut kertas pertuduhan, Redzuan dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebagai amil bagi mengutip zakat fitrah dan derma anak yatim di daerah ini.

Bagaimanapun, tertuduh gagal menyerahkan wang kutipan tersebut kepada Pejabat Agama Islam Daerah dan MAINJ.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, A. Karthiyayini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Zaiton memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 28 Oktober lalu.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan bekas amil fitrah diburu polis selepas didakwa gagal menyerahkan kutipan wang zakat tahun lalu.

Suspek yang berumah tangga menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya pada 28 Oktober lalu, sehari selepas wajahnya disiarkan media massa.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: