PENGUNJUNG SETIA

08 November 2011

TANGANI REMAJA TIDAK SEMBAHYANG JUMAAT


Remaja Islam perlu diberi pendedahan peringkat sekolah lagi bagi menghormati kesucian masjid. - Gambar hiasan

SEJAK kebelakangan ini, ramai pihak seolah-olah menutup sebelah mata isu remaja ataupun golongan belia yang tidak menunaikan solat Jumaat walhal mereka hanya datang melepak dan bersembang dalam kumpulan mereka.

Lebih mencemarkan pandangan mata, mereka merokok dan berbuat bising seperti merempit motor mereka.

Walaupun perkara ini nampak seperti bukanlah satu perkara besar, akan tetapi apakah natijahnya meninggalkan solat Jumaat dan apakah hukumnya jika perkara ini tidak diambil tindakan?

Mereka akan melepak di kawasan letak motor dan pelbagai impak yang boleh berlaku ketika itu seperti kecurian motor. Bukan hendak mengata bahawa apa yang buruk dituding kepada golongan muda tetapi mereka sendiri yang mencerminkan diri mereka dan dilabelkan seperti itu.

Langkah drastik perlu diambil oleh ibu bapa sendiri kerana pendidikan awal seseorang bermula dari rumah. Ibu bapa yang mendapati anak mereka tidak menunaikan solat Jumaat merekalah yang perlu mengambil tindakan dengan menasihati mereka.

Selain itu, perkara ini boleh dibendung oleh golongan kolar putih. Penguasa-penguasa dari Pejabat Kadi daerah boleh melaksanakan serbuan atau operasi di masjid bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas individu-individu yang tidak menunaikan solat Jumaat.

Pihak masjid juga mengambil inisiatif dengan mengarahkan remaja-remaja terbabit untuk masuk ke dalam dewan masjid dan tidak melepak di dalam perkarangan masjid.

Warga kolar biru juga perlu sama-sama membantu menangani gejala tidak sihat ini. Pihak polis juga boleh menempatkan anggota polis wanita di masjid-masjid bagi mengawasi gejala ini. Anggota Rela juga perlu membantu dan membuat rondaan. Pihak polis perlu membuat rondaan ke premis-premis hiburan agar remaja-remaja ini tidak bertandang di situ pada waktu sembahyang Jumaat.

Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama bagi menangani masalah kerana ia adalah tanggungjawab kita bersama.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 08 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: