PENGUNJUNG SETIA

22 Julai 2013

HAK RAKYAT DIPERTAHAN



Oleh Hai Rozzaman Jalal


Ledang: Kerajaan tidak akan sekali-kali menjual maruah negara kepada orang luar apatah lagi sehingga membawa Malaysia bankrap, dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Kota Kinabalu, Sabah, minggu lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Hamim Samuri menegaskan kerajaan sebaliknya, akan terus mempertahankan hak rakyat sebelum menandatangani sebarang perjanjian seumpama itu dengan sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak.

Katanya, banyak pihak mempertikaikan TPPA tetapi kerajaan tidak akan sesekali menjual kepentingan negara kepada pihak luar.

"Malah kita sentiasa berusaha mencari peluang perdagangan untuk meningkatkan pendapatan yang kini mencecah RM200 bilion setahun," katanya berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan dan Wang Zakat SME Bank di Masjid Jamek Bukit Gambir, dekat sini.

Hadir sama Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus; Pengarah Stakeholders Management, Asbullah Adnan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan.

Mengenai bantahan pertubuhan bukan kerajaan di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur terhadap perundingan itu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang menyifatkan ia bermotif politik semata-mata kerana Malaysia belum memuktamadkan rundingan itu.

Katanya, rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan tetap mempertahankan kualiti hidup dan hak mereka dengan mengambil kira semua aspek sebelum membuat sebarang keputusan.

Tak boleh asingkan diri

Sebagai negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, katanya, kerajaan tidak boleh mengasingkan diri, sebaliknya turut bersama menyertai perundingan seumpama itu, tetapi pada masa sama negara lain juga perlu memahami kehendak Malaysia.

Beliau berkata, negara lain yang menyertai perundingan itu juga memahami kehendak Malaysia yang sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat sebelum menyetujui sebarang perjanjian.

SUMBER: BH 22 JULAI 2013

Tiada ulasan: