Sarana ibu bapa dan sarana sekolah merupakan satu
program dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 yang
digerakkan untuk memastikan matlamat Falsafah Pendidikan Negara -
melahirkan individu yang holistik dapat dijayakan dengan efektif.
Program tersebut berusaha untuk mengeksploitasi sarana sedia ada bagi membimbing dan mendidik pelajar.
Sarana adalah segala sesuatu yang dijadikan alat atau cara untuk
mencapai sesuatu. Sarana sekolah termasuk sistem pembelajaran,
pentadbir, guru, dan semua kemudahan yang ada di sekolah.
Namun, kita masih kurang memberi perhatian terhadap sarana ibu bapa,
masyarakat dan pihak swasta dalam pembelajaran dan pendidikan.
Pelajar menggunakan masa yang lebih banyak bersama-sama ibu bapa dan masyarakat.
Oleh sebab itu, ibu bapa dan masyarakat wajar memainkan peranan mereka untuk mendidik anak dengan lebih berkesan.
Ibu bapa bukan sahaja menyediakan kemudahan belajar di rumah dengan
lebih selesa, malah wajar menyediakan emosi dan jiwa untuk belajar
kepada anak-anak.
Ibu bapa wajar memberi kasih sayang melalui tutur kata bersemangat,
tindakan, sentuhan serta bimbingan untuk membentuk disiplin belajar yang
baik.
Sarana tersebut dapat melahirkan kesediaan anak-anak untuk menghadapi pembelajaran di sekolah.
Selain itu, ibu bapa juga boleh memberi sumbangan secara langsung terhadap pembelajaran anak- anak di sekolah.
Bagi tujuan tersebut, jawatankuasa khas dibentuk untuk mengumpul
maklumat tentang sarana ibu bapa, dan perancangan serta pelaksanaan
aktiviti untuk mencapai matlamat program ini.
Hampir setiap keluarga berlanggan surat khabar. Surat khabar
merupakan sumber maklumat dalam masyarakat yang belum dimanfaatkan
sepenuhnya oleh sekolah dan ibu bapa untuk membantu pembelajaran
anak-anak.
Hal ini demikian kerana kebanyakan berita dan rencana dalam surat khabar tidak selaras dengan tahap dan keperluan pembelajaran.
Surat khabar yang disediakan untuk bacaan umum memerlukan suntingan dan ubah suai untuk menjadi bahan pembelajaran.
Tugas ini memerlukan kepakaran dan dedikasi guru. Sesetengah surat akhbar, khususnya Utusan Malaysia telah menyediakan bahan khusus untuk pembelajaran pelajar seperti sisipan ADaP - UPSR, PMR dan SPM.
Bahan tersebut tidak dapat digunakan oleh pelajar tanpa sokongan guru
dan ibu bapa. Hal ini kerana pihak sekolah mungkin tidak dapat
menyediakan setiap pelajar dengan surat khabar berkenaan.
Bukan semua ibu bapa memiliki atau membelikan akhbar berkenaan untuk kegunaan anak-anak di rumah.
Sekiranya ibu bapa yang melanggan Utusan Malaysia mendermakan naskhah ADaP kepada sekolah, sudah tentu pihak sekolah dapat mengumpulkan bahan tersebut untuk kegunaan pelajar di dalam bilik darjah.
Tambahan pula, bukan semua ibu bapa yang melanggan akhbar tersebut mempunyai anak yang memerlukan bahan tersebut.
Oleh itu, aktiviti pengumpulan bahan tersebut akan dapat memanfaatkan sarana yang disediakan oleh akhbar untuk pelajar.
Sumber maklumat melalui papan kenyataan, poster dan sebagainya di
sekolah dapat dilihat dan dibaca oleh pelajar setiap masa memerlukan
penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Guru dan pelajar mungkin tidak cukup masa untuk menggantikan
bahan-bahan dengan lebih kerap. Ibu bapa dan masyarakat boleh mengambil
inisiatif untuk mengemas kini maklumat secara lebih kerap.
Ibu bapa boleh membuat keratan akhbar tentang berita-berita yang
sesuai untuk melengkapi papan kenyataan di bilik darjah atau sekolah.
Langkah ini jika dapat dilaksanakan akan menceriakan bilik darjah dan memberi motivasi kepada pelajar untuk belajar.
Aktiviti tersebut yang melibatkan ibu bapa dan menggunakan surat
khabar merupakan langkah untuk mengeksploitasi sarana sedia ada bagi
kegunaan pelajar di sekolah.
Aktiviti ini adalah antara cadangan yang boleh dilakukan dalam
program Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah. Ahli jawatankuasa yang
dilantik boleh memikirkan aktiviti lain sebagai usaha untuk memupuk
semangat belajar yang lebih kental kepada pelajar.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan secara
berperingkat-peringkat bagi melaksanakan transformasi pendidikan wajar
dihayati oleh semua pihak.
Ibu bapa dan masyarakat wajar mengambil tanggungjawab bersama dengan
pihak sekolah untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani, dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
MD ISHAK A. RAHMAN
SMK Ledang, Johor.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 JULAI 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan