KAEDAH moden menggunakan mesin pengacau dodol dalam penghasilan gula Melaka yang diusahakan terbukti membantu perusahaan mereka berkembang maju.

Bukan sekadar memendekkan tempoh penghasilan daripada satu jam 30 minit kepada 45 minit, malah purata pengeluaran produknya kini boleh mencecah hampir 1,300 sehari.

Kini perusahaan yang diusahakan Nor Azizah Omar, 33, bersama suaminya, Nazri Rusli, 40, iaitu Ayizah Nur Enterprise yang beroperasi di Kesang Laut, Ledang semakin dikenali ramai dan produknya sudah dijual di beberapa lokasi di Melaka selain kawasan berhampiran.

Nor Azizah berkata, mesin itu merupakan sumbangan bantuan Jabatan Pertanian Daerah Ledang sejak enam tahun lalu, hasil idea suaminya yang ingin melakukan inovasi terhadap perniagaan mereka.

Menurutnya, perusahaan berkenaan adalah warisan keluarga suaminya.

“Kini suami mengambil alih sepenuhnya perniagaan yang sudah menjangkau usia hampir 20 tahun lalu. Sejak suami mendapat pekerjaan dalam sektor awam dua tahun lalu, saya pula menguruskan sepenuhnya perusahaan ini.

“Kesibukan suami dengan tugas barunya itu sedikit sebanyak menghalangnya untuk memberikan tumpuan, tetapi dia akan bantu saya pada waktu cuti ataupun hujung minggu,” katanya, di sini.

Nor Azizah berkata, berbanding dahulu, penghasilan produknya dilakukan secara tradisional menggunakan kuali kawah dan tangan untuk mengacau bahan yang dimasak selama satu jam 30 minit.

“Saya tidak terfikir akan terbabit dalam bidang ini apatah lagi tidak pernah melihat proses penghasilan gula Melaka.

“Minat ini muncul selapas mendirikan rumahtangga apabila sering ikut suami ke bengkel dan terdedah dengan pembuatan produk ini,” katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia lapan tahun itu berkata, dia ingin mengekalkan perusahaan berkenaan yang semakin dilupakan kerana sebelum ini, penghasilan gula Melaka didominasi oleh generasi lama.

“Orang-orang muda tidak minat perusahaan ini kerana mungkin mereka tidak nampak peluang cerah dalam bidang ini jika ia dilakukan secara serius.

“Saya berhasrat untuk kembangkan perniagaan ini, tetapi berhadapan masalah dari segi tenaga kerja. Saya tidak ada pekerja yang tetap, jadi usaha untuk mengeluarkan lebih produk sedikit sukar,” katanya.

Nor Azizah berkata, produknya dihasilkan dengan  kombinasi 50:50 yang  menggunakan air nira dan gula pasir sebagai bahan utama.

“Air nira amat penting untuk mengekalkan rasa keaslian pada gula Melaka,” katanya.

Katanya, meskipun penat kerana perlu melakukan sendiri tugas bermula dengan proses penghasilan produk sehingga pengedaran kepada peruncit, beliau tetap berasa puas kerana usaha keras semakin membuahkan hasil.

Nor Azizah berkata, perusahaannya turut mendapat perhatian pengusaha inap desa dari Melaka yang membawa pelancong luar untuk melihat proses penghasilan gula Melaka yang sukar ditemui.
 
SUMBER: SINAR HARIAN, 04 NOVEMBER 2013