LEDANG 20 Nov. - Sepasang suami isteri maut
selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh
sebuah tembok di tepi jalan di Kilometer 9.5, Lebuh Raya Alor
Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Parit Pajar, Kesang di sini hari
ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Shahril Yusof,
42, yang bekerja sebagai juruteknik terbunuh di tempat kejadian
manakala isterinya, Roslina Mahmod, 40, meninggal dunia semasa dirawat
di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar, dekat sini.
Difahamkan, pasangan yang memiliki empat anak berusia antara empat
hingga 15 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 5,
Tanjung Gading, selepas menjemput Shahril yang bekerja di sebuah kilang
di Merlimau, Melaka.
Setibanya di situ, MPV jenis Proton Exora yang dipandu Roslina dari
arah Melaka ke Muar hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok tepi
jalan sebelum terbalik dan sebahagiannya masuk ke dalam parit.
Difahamkan, kejadian berlaku hanya kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod
berkata, pihaknya mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua
mangsa yang tersepit di tempat duduk.
"Usaha mengeluarkan mangsa sukar berikutan keadaan kenderaan
berkenaan yang terbalik," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Supritendan
Mohd. Salleh Razak ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kes
disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Dalam pada itu, abang kepada Shahril, Idris, 47, berkata, dia
mengetahui insiden menimpa adiknya selepas menerima panggilan telefon
daripada rakan kepada lelaki tersebut yang kebetulan berada di tempat
kejadian.
"Kali terakhir jumpa arwah petang semalam di kedai makan yang
diusahakannya bersama Roslina berdekatan dengan rumah mereka," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 NOVEMBER 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan