LEDANG 4 Feb. - Seramai 80 penuntut Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) menimba pengalaman baharu apabila menjadi anak
angkat beberapa keluarga di sekitar Serom, dekat sini baru-baru ini
bagi mengenali tradisi dan budaya masyarakat negeri ini.
Program Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) 10 Penjuru Darul Takzim
2014 itu anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Johor (Permaj) dan dilancarkan
di lapan kawasan di negeri ini secara serentak.
Majlis penyerahan anak angkat itu dilakukan di Sekolah Kebangsaan
Serom 3 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir.
Hamim Samuri dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom,
Abd. Razak Minhat.
Daerah ini dipilih untuk pelancaran program selama lima hari itu
melibatkan keluarga angkat di Kampung Serom 1, 2, 3, dan 4 dan
istimewanya turut disertai seorang peserta antarabangsa.
Penuntut kursus Pengajian Bahasa Asing, Universiti Tokyo, Jepun,
Atsonori Fujii, 22, tertarik dengan keunikan masyarakat berbilang kaum
di negara ini dan menjadi anak angkat dalam program itu merupakan
peluang untuknya mengenali lebih dekat masyarakat Melayu.
Dia yang sedang mengikuti kursus jangka pendek selama enam bulan bagi
mempelajari Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) di
UKM menyifatkan masyarakat desa masih berpegang teguh kepada
nilai-nilai kemelayuan yang kaya dengan adab dan budaya sopan santun.
"Saya akui pada awalnya berasa kekok dengan gaya hidup masyarakat di
kampung terutama menikmati hidangan menggunakan tangan selain terpaksa
bertanya berulang kali kerana tidak memahami perbualan mereka.
"Bagaimanapun hasil bantuan rakan-rakan, semua halangan itu dapat
diatasi dan memang diakui, hati berat untuk meninggalkan keluarga angkat
selepas lima hari di rumah mereka," katanya yang boleh bertutur dan
memahami bahasa Melayu.
Antara pengalaman menarik dilaluinya adalah berpeluang mengacau dodol
yang dimasak penduduk dan jika berpeluang dia ingin kembali lagi ke
kampung berkenaan dengan membawa bersama keluarganya.
"Saya kagum kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan
budaya berbeza dapat hidup dengan aman harmoni serta saling memahami dan
menghormati antara satu sama lain.
"Ini membuatkan Malaysia istimewa berbanding negara lain di Asia,"
katanya sambil memberitahu pensyarah UKM memanggilnya dengan nama Harith
bagi mendekatkan lagi dirinya dengan masyarakat di negara ini.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 05 FEBRUARI 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan