LEDANG 2 Feb. - Kerajaan merancang membina gerai
rakyat menggantikan kesemua 45 gerai di sepanjang Jalan Tangkak-Muar
untuk dijadikan satu produk pelancongan baharu selepas bandar Tangkak
dikenali sebagai bandar tekstil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat berkata,
gerai yang terlibat ialah dari Parit Bunga sehingga ke Pekan Rawang yang
menjual makanan laut, buah-buahan tempatan, air jambu, pisang goreng
dan barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
"Gerai-gerai tersebut akan disusun semula dan ditempatkan di satu
kawasan yang sudah dikenal pasti di antara Parit Bunga dan Rawang.
Kawasan perniagaan tersebut akan dilengkapkan dengan tempat meletak kereta dan kemudahan lain.
"Langkah ini juga bagi memastikan lalu lintas tidak terganggu.
Gerai-gerai itu perlu dikumpul di satu kawasan khas bagi
menyeragamkannya kerana ketika ini kedudukannya berterabur," katanya
ketika ditemui di Pusat Khidmat DUN Serom, di Pekan Serom 3, di sini
hari ini.
Beliau berkata, ketika ini kebanyakan mereka berniaga di hadapan
rumah masing-masing dan terdapat gerai kelihatan uzur serta situasi itu
memberi imej kurang baik kepada pihak luar yang pertama kali berkunjung
ke daerah ini.
Katanya, kedudukan laluan tersebut amat strategik untuk dibangunkan
dengan gerai rakyat kerana menghubungkan dua plaza tol di daerah ini
iaitu di Tangkak dan Bukit Gambir selain tidak jauh dari kawasan
rekreasi Gunung Ledang.
Menurut Abd. Razak, projek penempatan semula gerai-gerai berkenaan
akan menjadi satu tarikan baharu terutama 17 gerai makanan laut yang
menjual kupang, lokan, siput serta udang galah yang sememangnya terkenal
di laluan itu sebelum ini.
Dalam pada itu, mulai tahun ini katanya, kesemua peniaga berkenaan
diarahkan menganjakkan gerai masing-masing pada jarak kira-kira tiga
meter dari bahu jalan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan
terjamin.
Abd. Razak berkata, peraturan Majlis Daerah Tangkak (MDT) itu
bertujuan memastikan keselamatan peniaga serta pelanggan bagi memastikan
tidak mengganggu lalu lintas, notis sudah diberikan dan jika ingkar
tindakan tegas akan dikenakan.
"Sebelum ini terdapat gerai yang diletakkan berhampiran dengan bahu
jalan dan ini menimbulkan rasa kurang selesa dan tidak selamat kepada
pengguna jalan raya. Ada pelanggan yang tidak mahu turun dan membeli
dari dalam kereta.
"Begitu juga rungutan mengatakan terdapat gerai yang tidak
mengamalkan kebersihan. Dengan peraturan baharu dikuatkuasakan ini
mereka diwajibkan berniaga di belakang parit besar di sepanjang jalan
itu," ujarnya.
Beliau juga meminta peniaga terutama makanan laut supaya mengutamakan
aspek kebersihan dengan menempatkan kupang dalam bekas khas bagi
mengelak dihinggapi lalat, selain membuang sisa kupang di tempat yang
betul.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 FEBRUARI 2014
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 FEBRUARI 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan