LEDANG 12 Feb. - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Ledang berjaya merampas 436 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis
yang dianggarkan bernilai RM70,000 dalam Ops Limau, Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Mohamad Salleh Abd. Razak
berkata, rampasan tersebut dilakukan secara berasingan pada 2 dan 20
Januari itu, dua lelaki ditahan untuk siasatan.
"Tangkapan pertama pada pukul 4.30 petang 2 Januari lalu, membabitkan
seorang remaja berusia 19 tahun di sebuah rumah di Taman Kangkar Baru,
Sungai Mati, dekat sini.
"Hasil pemeriksaan kita menemui 95 kotak pelbagai jenis mercun dan
bunga api yang disorokkan dalam rumah berkenaan. Bahan terlarang ini
mahu dijual sempena Tahun Baharu Cina," katanya dalam sidang akhbar di
IPD Ledang, di sini hari ini.
Mohamad Salleh berkata, rampasan kedua yang terbesar membabitkan 341
kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM50,000 di sebuah
kedai di Taman Tangkak Jaya.
Dalam serbuan pada pukul 4.15 petang 20 Januari itu, seorang lelaki
tempatan berusia 28 yang dipercayai pemilik kedai berkenaan ditahan
untuk membantu siasatan.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak
memiliki rekod jenayah lampau selaib bebas pengaruh dadah dan dipercayai
baru saja berjinak-jinak dalam aktiviti pengedaran bahan letupan
terlarang itu.
"Dua suspek berkenaan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan
1957. Kita percaya mercun dan bunga api ini dijual secara terus kepada
pelanggan dan juga peniaga," katanya.
Antara jenis mercun dan bunga api yang dirampas itu ialah Happy Boom,
Pop Pop, Match Crackers dan Cactus Rain dipercayai diseludup dari
negara jiran.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bermain
mercun yang dilarang sempena sambutan Chap Goh Meh pada 13 dan 14
Februari ini kerana boleh mengancam nyawa.
"Kita minta kerjasama semua pihak supaya tidak menjalankan sebarang
aktiviti bermain mercun atau melakukan pembakaran terbuka kerana ia
dikhuatiri boleh menyebabkan kebakaran dan boleh memburukkan lagi
keadaan," katanya.
Selaras dengan itu katanya, pihak polis akan mengetatkan lagi
penguatkuasaan selain melakukan rondaan bagi memastikan masyarakat
mematuhi arahan berkenaan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 FEBRUARI 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan