PENGUNJUNG SETIA

08 Februari 2014

REMPUH LORI BAWA MUATAN KIMIA

Wartawan Sinar Harian
        Rempuh lori bawa muatan kimia
Keadaan lori dipandu Khairul Akram selepas merempuh belakang lori yang membawa bahan kimia.                                                      
                     
LEDANG – Seorang pemandu dan kelindan terselamat dalam kemalangan selepas melalui detik cemas merempuh belakang lori yang sarat membawa muatan bahan kimia di Kilometer 145.5 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Plaza Tol Pagoh, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, sebahagian kimia membuat serbuk pencuci yang dibawa lori dua tan terbabit tumpah di lebuh raya berkenaan.

Bagaimanapun, Khairul Akram Sunye, 28, bersama rakannya berusia 20-an serta pemandu lori berumur lingkungan 50-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Khairul Akram yang masih terkejut dengan insiden itu memberitahu, dia bertolak dari Melaka jam 4.30 pagi untuk menghantar bahan membuat garisan jalan raya di Kluang, Johor.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, dia cuba memotong sebuah lori di hadapan, tetapi tidak berjaya menyebabkan kenderaannya hilang kawalan dan merempuh belakang lori terbabit.

“Saya tidak sangka lori yang dilanggar itu membawa bahan kimia dan mengetahuinya apabila lihat cecair tumpah mengalir atas jalan.

“Saya bernasib baik kerana bahan ini (kimia) bukan jenis letupan...jika tidak, pasti perkara lebih buruk berlaku,” katanya.

Khairul Akram berkata, dia bersyukur dapat keluar menyelamatkan diri walaupun bahagian hadapan lori dipandunya remuk akibat pelanggaran itu.

“Insiden ini merupakan pengalaman buruk dan ia pertama kali berlaku sejak enam tahun menjadi pemandu lori di syarikat pengangkutan di Meru, Klang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Rahman Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.22 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima anggota dengan satu jentera.

Katanya, bomba mengambil tindakan pantas membersihkan kesan tumpahan bahan kimia itu di atas lebuh raya kerana kesannya boleh menyebabkan kegatalan jika terkena kulit.

“Kerja-kerja tersebut mengambil masa hampir 30 minit dan operasi berakhir jam 6.54 pagi,” katanya.
 
SUMBER: SINAR HARIAN, 08 FEBRUARI 2014

Tiada ulasan: